23 May 2011

Laungan Allahu Akbar

Kalimah suci mengagungkan yang Maha Besar,
Kalimah Illahi luas tersebar,
Untuk kita berhenti sebentar,
Menunaikan solat dengan penuh sabar....

Wahai manusia,
Janganlah leka, selalulah peka,
Untuk menunaikan tanggungjawab kita,
Menyembah yang Maha Esa,
Agar tidak mengundang murka yang Maha Kuasa,
Supaya selamat dari bala bencana di dunia,
Terhindar dari api neraka, dijamin syurga selamanya...

Wahai sahabat,
Patuhlah perintah, taatlah beribadat,
Untuk kita selamat dunia dan akhirat,
Untunglah mereka yang taat,
Kerana ingat Allah setiap saat,
Rugilah mereka yang sesat,
Kerana cintakan dunia dan lupakan akhirat ...

Allahu akbar, Allahu akbar, Lailahaillah....

21 May 2011

Pakli Dah Masuk

dalam keletihan aku tetap juga mahu update entri.

hmm. baru sampai dari hantar adik aku pakli, aku dah buat sehabis baik untuk dia, dah tolong dia sana-sini, itu-ini. tadi masa lepas tinggalkan dia, agak sebak juga hati ini walaupun dia adik lelaki. sebab kalau kami adik-beradik ada kat rumah memang riuh sekampung. kalau boleh sepanjang masa nak berjenaka tak kira pagi, tengahari, petang, malam, tengah malam, awal pagi. riuh rendah dah macam apa tah. kalau tengok adik-beradik orang lain tak lahh sekepala macam adik-beradik aku.

selain itu, sebab aku memikirkan boleh ke dia hidup di sana tanpa kami sekeluarga di sisinya? kerana dia juga sering kali bergantung pada abah, mama, angah, aku. tapi sekarang ni dia dah kena melakukan seorang diri. dia dah kena berdikari. tapi takpe... sampai bila dia nak mengharapkan orang lain je, jadi mulai tadi dia dah kena berdiri di atas kaki sendiri.

banyak perkara yang aku fikirkan pasal dia. aku harap dia dapat bawa diri dia kat sana. dia boleh bertanggungjawab atas segala harta benda dia di sana. aku sebagai abang aku tetap mengharapkan terbaik untuk dia, aku akan mendoakan kebaikan untuk dia, keselamatan untuk dia. aku harap dia tabah dalam membina kehidupan ini. selamat maju jaya adikku... ~

minggu lepas angah balik sana. minggu ni pakli plak pergi. minggu depan aku plak pergi. hmm. kesian mama. mama mesti sunyi kat rumah sorang-sorang je. adik plak sekolah. kalau petang adik ada kokurikulum memang sampai ke petang laa mama sunyi kat rumah.

hmm. tadi tengok berita, berlaku tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim Al-Takwa Sungai Semungkis Hulu Langat, Selangor. mengikut maklumat mangsa yang terlibat 25 orang, 18 telah dijumpai iaitu 9 masih hidup dan 9 telah pun meninggal dunia. maka baki lagi 7 orang masih belum ditemui. satu berita yang amat menyedihkan hati aku. kepada mangsa dan keluarga mangsa yang terlibat, SALAM TAKZIAH dari aku dan keluarga walaupun penulisan ini pihak mereka tidak membacanya.

tetapi aku bertanggungjawab sebagai manusia lebih-lebih lagi hubungan sesama saudara seIslam. niat hati memang nak pergi sana nak tolong mereka di sana. segala sumber sistem hubungan aku dah guna, aku dah bertanya tentang hal ini kepada pihak tertentu yang diminta ke sana tetapi sehingga penulisan ini ditulis tiada maklum balas. mungkin mereka telah pun bergerak ke tempat kejadian atas arahan ketua mereka dan aku ini cuma rakyat biasa yang ingin berkhidmat untuk manusia hanya dengan menggunakan nama pihak itu sahaja.

tidak perlulah aku kata aku berhubung dengan pihak mana kerana ini akan menyebabkan salah faham. jadi aku masih berharap lagi sekiranya ada mana-mana wakil yang mahu ke sana untuk membantu aku teringin sangat untuk ikut sebab aku nak tolong sangat mangsa-mangsa di sana.

rasanya masih tidak terlambat untuk mengucapkan innalillahi wa inna laihi roji'un. semoga mangsa & keluarga mangsa tabah menghadapi ujian Allah ini. hari ini ujian pada mereka, mungkin esok lusa ujian pada kita pula. harap Allah membalasnya dengan kebaikan. salam takziah pada mereka sekali lagi.

Al-Fatihah.........

20 May 2011

Pesanan Abah

Malam tadi seperti kebiasaan, kami sekeluarga akan membaca Yaasin bersama-sama. Tetapi malam tadi sebelum memulakan bacaan Yaasin, abah telah menyampaikan sesuatu amanat yang lebih kepada peringatan dan nasihat kepada kami.

Apa yang membuatkan aku memandang ia peringatan dan nasihat yang sangat-sangat serius kerana ketika abah cakap itu ada 4 buah al-Quran di depan kami. Maknanya apa yang abah katakan ketika al-Quran berada di depan kami. Jadi aku merasakan ia amatlah perlu aku mengambilnya sebagai peringatan dan nasihat yang serius dan aku akui apa yang telah berlaku itu satu kesilapan daripada aku sendiri.

Maka sewajarnya aku mengelakkan perkara yang abah cakapkan itu tidak akan berlaku. Depan al-Quran kann, kitab suci tuu. Takut apa yang diperkatakan menjadi kenyataan plak. Tapi aku akan cuba sentiasa mengingati apa yang abah cakapkan malam tadi. Aku juga harap adik-adik aku akan memegang kata-kata itu dan mengingati apa yang abah cakap tu.

Bagi aku, walaupun kami dah boleh dikatakan besar terutamanya aku yang telah meninggalkan umur belasan, tidak bermakna abah dan mama tidak boleh menegur dan menasihati. Selagi nyawa dikandung badan, aku seharusnya dengar dan patuh apa yang mereka katakan. Lagi-lagi aku lelaki yang sememangnya penuh dan berat tanggungjawab.

InsyaAllah aku akan ingat apa yang diperkatakan. Harap Allah sentiasa membimbing hati aku ini dan memelihara akhlak aku. Aku ingin berubah. Ingin menjadi yang lebih baik. InsyaAllah.

Hidup Lama Atau Hidup Berjasa?

"Adakah engkau ingin hidup selama-lamanya dalam dunia yang akan musnah bila-bila masa?"
Hidup kita di atas dunia ni, selama manapun, pasti ada akhirnya. Selama manapun, sebenarnya singkat. 

Firman Allah:
"(Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya: seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja." - An-Naazi'aat: 46

Allah menerangkan dalam satu ayat lain yang panjang tentang hakikat dunia:

"Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang) juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya." - Al-Hadiid: 20

Penyakit wahan (cinta dunia, takut mati) telah menjerumuskan kebanyakan daripada kita ke dalam angan-angan yang panjang.

Daripada Tsauban RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi SAW menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan'." Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati." - Riwayat Abu Daud

Kalau boleh, kita mahu dunia ni kekal. Kita mahu hidup selama mungkin di atasnya, mahu mengumpul segala harta dan kekayaan, mengecap segala nikmat dan kesenangan. Hakikatnya, kita tidak mungkin tahu berapa lama kita hidup. Namun, kita boleh memilih sama ada ingin melalui kehidupan dengan penuh berjasa atau pergi tanpa membawa atau meninggalkan bekal.

Ada orang yang masih hidup namun mematikan orang lain dengan kehidupannya.
Ada orang yang telah mati namun masih menghidupkan orang lain.

Bukan soal fizikal, tapi soal hati.

Apabila seorang manusia berbuat sewenang-wenangnya seperti yang dia kehendaki, maka pasti akan ada orang yang dizalimi.

Dia hidup, namun mematikan semangat orang lain. Lebih parah kalau dia hidup lebih lama.

Di sisi lain, ada ramai orang yang telah mati, namun membaca sejarah hidupnya dan mengkaji perjuangannya membuatkan jiwa sentiasa hidup, segar dan bertenaga.

Mereka itulah jika hidup walau sekejap, memberi impak maksima. Apatah lagi jika hidupnya lama.
Rasulullah SAW hidupnya 63 tahun sahaja, namun risalah yang dibawanya terus tersebar selama beratus tahun.

Akhlak dan cara hidup baginda tak pernah lapuk ditelan zaman.

Sejarah hidup baginda sentiasa evergreen untuk dikaji, diteliti dan diambil pelajaran. Hanya 23 tahun yang diberikan kepada baginda untuk menyebarkan Islam, namun beratus tahun Islam hidup dan berkembang.
Imam Syafi'i hidup selama 50 tahun lebih sahaja, namun keluasan ilmunya masih begitu bermakna kepada dunia hari ini dan akan datang.

Mus'ab Umair telah membuktikan kesungguhannya berdakwah di Madinah hanya beberapa tahun, bahkan beliau syahid dalam usia yang begitu muda.

Namun asas yang telah dipancangnya menjadi nukleus kepada perkembangan tamadun Islam.
Hassan Al-Banna cuma hidup 40 tahun lebih untuk mengasaskan sebuah gagasan yang membawa gelombang kebangkitan Islam, sebelum beliau syahid dibunuh musuh.

Namun kata-kata beliau masih menjadi rujukan para Da'i hari ini dan pemikiran beliau menjadi bahan kajian di seluruh dunia.

Salahuddin Al-Ayyubi cuma hidup lebih kurang 55 tahun, namun kejayaannya membebaskan bumi Palestin tercatat sehingga kini dan menjadi inspirasi para pejuang Islam.

Begitu juga dengan Sultan Muhammad Al-Fateh, hidup beliau tidak sampai 50 tahun, namun kegemilangan yang telah diukir dalam pembebasan Konstantinopel akan terus menjadi sebutan.

Mereka adalah wira-wira dan pahlawan yang telah menumpahkan bakti yang begitu besar kepada seluruh dunia.

Mereka hidup berjasa, biarpun hidup mereka tidak lama.

Golongan seperti mereka, jika hidupnya lebih lama tentu lebih besar manfaatnya.

Banyak lagi nama-nama yang boleh kita sebutkan, ada yang singkat umurnya, ada yang panjang.
Intinya, jasa mereka begitu besar jika direlatifkan dengan umur yang diberikan kepada mereka.

Bagi kita, apakah sebenarnya yang kita kejar?
Memanjangkan tempoh hayat atau memaksimumkan amal dan jasa?

Tak salah kita berdoa agar dipanjangkan umur, bahkan ia akan lebih bererti jika umur yang dianugerahkan itu kita gunakan sebaik mungkin untuk menumpahkan bakti kepada Umat.

Selama manapun kita hidup, berjasalah! Supaya kita 'hidup' untuk beratus-ratus tahun lagi. Semoga kita hidup dengan petunjuk Allah.

"Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman." - Al-An'am: 125

Duhai Hati, Jangan Kau Terkorban dengan Dunia..

Sesekali hati mengeluh dengan kesusahan dan kepayahan hidup. Terasa pedih dan rapuh, sakitnya seperti tiada hati lain yang mampu mengerti. Namun tidak tersedarkah hati itu adalah ujian dari Tuhannya? Kepayahan itu sesungguhnya adalah bentuk tarbiyahNya kepada hati. Pernah hati bersyukur kerana mendapat perhatian yang sedemikian dari Tuhannya? Terlebih banyak mengaduh dari bertahmid rasanya.

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." -Surah Al-Ankabut ayat 2-3 "
"...dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." -Surah Yusuf ayat 12

Tak tersedarkah hati segala yang diberinya itu adalah nikmat, kebahagiaan adalah nikmat, sakit adalah nikmat, perit itu lebih nikmat, jika hati ingin menerima. Duhai hati, sedarlah, bukannya Tuhanmu tidak mendengar segala jerit perih, betapa pedih peritnya derita apa yang dialami, betapa segala yang hati ingin, tidak semua kan hati perolehi. Bukankah Dia sudah terang-terang berfirman:
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." -Surah Al-Baqarah ayat 216

Nah, Tuhannya sendiri telah siap mengatur segala rencana perjalanan hidupnya hati. Mengapa harus merungut lagi dengan jalan yang ditempuh. Duri-duri dan halangan itu adalah rahmat. Redha dan pasrah, wahai hati, itulah lumrah. Tidak tersedarkah hati bahawa setiap langkah, setiap kudrat, setiap butir bicara, kerlip mata dan denyut jantung selama ini semuanya nikmat yang Tuhannya beri, Tuhannya pinjamkan.

Cara apa dan bagaimana hati gunakan semua pinjaman tersebut? Setiap langkah dan kudrat digunakan untuk ke jalan kebaikankah? Setiap butir bicara hanya yang baik dan berhikmah sajakah? Kerlip mata dan sisa denyut jantung yang masih ada dimanfaatkan dengan amal ibadahkah? Tuhannya berhak mutlak ke atas hati. Kenapa hati masih perlu persoalkan mengapa ujian diturunkan? Tepuk dahi, tanya minda semula. Layakkah hati-hati ini dengan Syurga milik Allah SWT?

"Hai Kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan sementara) dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal. Barangsiapa mengerjakan perbuatan jahat, maka dia tidak akan dibalasi melainkan sebanding dengan kejahatan itu. Dan barangsiapa mengerjakan amalan yang saleh baik laki-laki maupun perempuan sedang ia dalam keadaan beriman, maka mereka akan masuk syurga, mereka diberi rezeki di dalamnya tanpa dihisab." (Surah Al Mu'min ; ayat 39-40)

Duhai hati, janganlah terkorban dengan dunia...Sesungguhnya hidup hati sebenarnya untuk mencari mati yang sempurna...

19 May 2011

Zikir Kepada-NYa

Adakah kita seringkali terdetik di kalbu, perasaan ingin disenangi oleh Allah?


Sesungguhnya sifat manusia mudah alpa dan leka, hanya menginginkan yang zahir dan duniawi yang terungkap, perasaan ingin dikasihi manusia, sedangkan jika kemahuan untuk mendekat kepada Ilahi itu melangit, memungkinkan lahirnya hablun minannas itu lebih kukuh dan erat, kerana lahirnya keredhaan Allah pada diri kita.


Mengungkap sejarah di zaman Nabi saw, pabila mana seorang sahabat yang bernama Zaid al-Khair bertanyakan kepada Rasulullah saw, akan peri gusar hatinya bila mengenangkan perasaan samada dia disenangi oleh tuhan semesta alam. Perasaan tersebut yang mengganggu hati, diungkapkan kepada Nabi dengan harapan akan reda keresahan yang melanda dengan kata-kata Nabi yang menenteramkan jiwa.


Sebetulnya, tidak pernah Rasulullah saw menggariskan kepada para sahabat akan sebarang tanda, orang-orang yang disenangi dan dikehendaki oleh Allah swt. Lalu Baginda bertanya, “ Bagaimana keadaan kamu pada pagi hari ini wahai Zaid?”


Jawapan Zaid inilah yang patut kita hadapi dan cuba meneladaninya dengan wajar. Pertama kata Zaid akan perasaan senangnya dia pada kebaikan yang berlaku. Kedua, dia berasa senang pada orang-orang yang melakukan kebaikan. Ketiga, dia sendiri berasa senang bilamana dirinya sendiri berbuat kebaikan dan keempat, dia berasa susah hati tatkala kesempatan untuk berbuat kebaikan itu hilang. Rasulullah saw menyambut kata-kata Zaid ini dengan menyatakan bahawa inilah tanda-tanda orang yang dikehendaki dan disenangi oleh Allah swt dengan kehendak yang baik.


Ekoran daripada itu, nama Zaid al-Khair yang membawa maksud al-Khair iaitu kuda telah Rasulullah s.a.w tukar kepada Zaidun al-Khair yang membawa maksud Zaid yang baik. Perasaan yang hakiki pabila merasa diri ini dekat kepada Allah s.w.t, menjadi hamba-Nya yang kukuh iman dan teguh sifat ihsan. Merasa sepi pabila diri tidak sujud syukur di sepertiga malam, gembira menabur bakti kepada segenap ruang kebaikan dan menginsafi akan dosa-dosa yang acapkali mengikat hati ke arah pintu kebatilan.


Dalam surah ar-Furqan ayat 63 hingga 76, telah digariskan satu check–list oleh Allah s.w.t akan sifat-sifat manusia yang layak menjadi hamba-Nya. Layakkah kita, sedari kecil dilahirkan dalam nikmat Islam dan kini telah meniti usia, mengaku hamba di sisi-Nya? Jika tidak, kita hamba siapa?


Suatu ketika, pabila mana Rasullulah s.a.w melintasi sekumpulan sahabat yang duduk sesama mereka lalu Rasullulah s.a.w bertanya, “ Mengapa kamu semua duduk di sini?” Lalu seorang sahabat menjawab, “ Kami duduk berzikir kerana nikmat Islam yang dikurniakan Allah s.w.t kepada kami.” “ Adakah kamu hanya duduk-duduk berzikir sahaja, tiada hal yang lain?” tanya Rasulullah kepada mereka lagi. Jawapan yang diterima mengiyakan soalan tersebut. Lalu Rasullullah saw menerangkan kepada mereka bahawasanya tidaklah Baginda mencurigai perbuatan sekalian sahabat tersebut melainkan Allah s.w.t membangga-banggakan mereka di hadapan para malaikat.


Alangkah berbahagianya mereka kerana ibadat zikrullah itu diterima Allah dan disampaikan pujian melalui lidah Rasullullah s.a.w sendiri ketika masih hidup di dunia. Itulah antara faedah zikir kepada Allah swt.


Tidakkah kita ingin Allah berasa senang kepada kita, malah lebih daripada itu sebenarnya kita inginkan kerana kecintaan Allah kepada hamba-hambaNya adalah yang teragung, manakan terbanding dengan cinta manusia yang bersifat sementara.


“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang” (13:28)

Tidak kira di mana dan apa jua yang dilakukan, ingatilah Allah kerana Allah itu Maha Pemberi, setiap kurniaan berbentuk nikmat malahan azab juga adalah pemberian Allah, bertujuan membawa dekat hati manusia yang menjauh.


Dikurniakan ibadah zikir kepada manusia, agar manusia menggunakannya sedaya mungkin, menjadikan Allah sebagai pusat segala kebajikan, ibadah dan perilaku. Ianya inti yang terbit daripada rasa syukur yang melangit, menyejukkan hati dan sentiasa mengingatkan akan kekerdilan manusia yang hina. Ianya pertolongan daripada Allah dan dengan ketaatan tersebut akan Allah balas dengan kecintaan, suatu yang sungguh mahal dan hanya mereka yang istiqamah dalam menempuh jalan rohani (as-salik) sahaja mampu menggapai makrifah Ilahi ini.


Abu Darda r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w bertanya kepada para sahabatnya r.a,


“Mahukah aku khabarkan kepada kamu mengenai sebaik-baik amalanmu yang amat suci di sisi ALLAH yang meninggikan darjatmu keperingkat yang tertinggi sekali, yang lebih mulia daripada menafkah emas dan perak (di jalan ALLAH), yang lebih utama daripada menghadapi musuh di tengah-tengah medan jihad, maka kamu tanggalkan lehernya atau mereka menanggalkan lehermu?


Para sahabat berkata bahkan: “Apakah itu Ya Rasulullah?” Sabdanya: ” Zikrullah.”


Kehidupan di dunia yang bersifat sementara ini sewajarnya diisi dengan kelazatan nurani berzikir kepada-Nya. Di setiap desah nafas menyebut nama-Nya, ganjaran pahala laksana gunung pastinya menguntungkan kita di akhirat kelak.


Hadis daripada Muaz bin Jabal r.a. bahawasanya Rasulullah saw bersabda:


“Bahawa penghuni-penghuni syuga setelah tibanya di syurga tidak akan menyesal dan tidak akan berdukacita mengenai suatu apapun kecuali masa yang telah berlalu dalam dunia tanpa zikrullah.”

Bersegeralah kita berzikir pada ketika dan saat ini juga kerana masa yang diibaratkan air yang mengalir, meninggalkan kita yang tidak berusaha menakungnya dengan besarnya takungan taqwa kita terhadap-Nya. Di dunia, jadikan ia takungan ibadat, menuang iman yang bakal menghamparkan salju daripada percikan api neraka di akhirat kelak.

18 May 2011

Fitnah


melihat dunia kini kian meruncing, aku terpanggil untuk menulis tentang apa yang aku nampak sekarang dalam perspektif ini. maknanya bukan secara menyeluruh tetapi dalam satu sudut sahaja yang melibatkan seluruh manusia. haa, faham ke tak faham?

sepertimana yang kita sendiri ketahui, fitnah adalah suatu perbuatan yang sangat berat sehinggakan ada pepatah mengatakan DOSA FITNAH LAGI BESAR DARIPADA DOSA MEMBUNUH. fitnah terhasil dari mana? lidah kann? ini pun sehinggakan wujud pepatah LIDAH MANUSIA LEBIH TAJAM DARIPADA MATA PEDANG. jadi kita nampak sekarang? andai kita fitnah orang ia bermula daripada lidah. daripada lidah tu laa yang menyampaikan ke telinga orang kedua. dan orang kedua pula melakukan perkara yang sama maka ia adalah perbuatan yang berulang kepada semua orang yang menyebarkannnya iaitu DENGAR DARIPADA TELINGA lalu menyebarkannya MENGGUNAKAN LIDAH kepada orang lain.

pernahkah kita membayangkan kita di pihak orang yang TERfitnah? atau kita telah merasainya? kalau fitnah yang kecil pun kita sudah tak tahan menanggungnya, apatah lagi fitnah yang besar. yang melibatkan maruah diri dan keluarga. kesian. pihak yang terfitnah akan menanggungnya selama mana yang mungkin.

pernahkah kita terfikir, apa perlu kita yang 'terdengar' fitnah itu lalu kita pula yang mmenyebarkannya. tidakkah kita rasa bersalah? yaa.. memang.. mulut tempayan boleh kita tutup, manusia siapa yang mampu tutup. tapi ia bergantung pada diri seseorang. andai dia kuat pegangan prinsip memang dia takkan sebarkannya, tetapi orang yang suka melihat maruah orang jatuh. suka mengaibkan orang lain, maka ia memang gemar menyebarkan fitnah.

wahai saudaraku sekalian, aku tulis ini sebenarnya aku mengingatkan diri aku sendiri terutamanya dan para pembaca. hurm. kalau fitnah itu kita sebarkan dan orang yang mendengar fitnah kita itu mempercayainya maka secara langsung kita telah menempah tiket untuk tergolong dalam golongan ORANG YANG MEMAKAN DAGING SAUDARANYA SENDIRI. cuba bayangkan kalau orang yang dengar fitnah kita tu sebarkan lagi. tak ke kita punya dosa dah berlipat kali ganda? oii. takut kalau direnungkan semula.

sepatutnya kita mendengar fitnah kita jangan sebarkannya. malah kita harus diam dan kita pun tidak boleh mempercayainya. kita jangan menghukum selagi mana bukti tidak disertakan. ingatlah wahai manusia sekalian, andai kita menghukum orang yang tidak bersalah apakah balasannya? kita sendiri boleh fikir kann? tambah-tambah lagi wartawan, pembaca berita. sekali dia baca berita, sekali dia tulis dalam surat khabar, BERATUS RIBU MANUSIA mendengar dan membaca. andai semuanya percaya? fuhh.. berat... berat...

cuba kita lihat dalam sudut kehakiman pula. andai hakim menjatuhkan hukuman pada orang yang tak bersalah? allahuakbar.. nampak tak kita bagaimana keadaan ini? orang yang tak salah kita sabitkan kesalahan. tambah-tambah lagi hukumannya gantung sampai mati. na'uzubillahi min zalik.

apa yang aku nak sampaikan, kita jangan laa mudah mempercayai andai ada fitnah. lagi-lagi nak sebarkan. jangan laa weyy kawan-kawan. kita ni bukannya banyak pahala. lagi nak tambah dosa. cukuplah kita tengok je. tapi jangan sesekali kita mempercayainya.

kalau kita nak percaya pun, kita tengok latar belakang orang yang difitnah. andai yang difitnah tu kawan baik anda, sedangkan anda tahu latar belakang seorang yang baik. takkan anda mudah nak percya? lagi-lagi kalau keluarga dia semuanya baik, tiada rekod buruk. heyy. common laa. amda semdiri boleh menilaikan.

lain laa kalau orang yang difitnah tu dia pernah teguk arak, pencuri, perompak, perogol, penjenayah, pembunuh. itu pun kita jangan senang percaya orang cakap. cuba lihat situasi ini, anda dengar orang cakap " weyy! aku dengar cerita mamat A tu ada bunuh orang semalam, padahal dia baru lepas dari penjara 2 tahun lepas atas sebab kes yang sama ".

Kalau macam itu laa, orang yang dengar mesti cakap " alaa.. dia tu dah memang pembunuh.. sebelum ni pun da ade kes.. ape nak dihairankan.. ". haa, kan dua situasi yang berbeza tu. orang baik dengan orang jahat. persepsi orang ramai sendiri akan tahu menilai. jadi kita ni takkan laa nak percaya orang yang mempunyai rekod bersih melakukan benda itu.

penulisan ini sekadar perkongsian. tiada kena mengena dengan sesiapa marilah kita sama-sama berubah menjadi lebih baik. alangkah amannya dunia andai semua manusia baik-baik belaka.

sekian...
doa mohon dijauhkan fitnah.