07 November 2009

Ratuku

Ratuku...
Inginku luahkan,
Apa yang sudah lama inginku luahkan,
Tentang kebimbanganku ini,
Tatkala melihat bunga-bunga berguguran,
Di petik tangan-tangan yang ganas,
Lagi bernafsu serakah.

Ratuku...
Kebimbanganku ini masih menebal,
Apabila ku dengar,
Dengungan kumbang perosak,
Yang cuba menyedut madumu,
Walau tanpa relamu.

Ratuku...
Kebimbanganku bertambah lagi,
Bila ku melihat,
Bunga yang tidak segan silu,
Melampiaskan kecantikannya,
Ketika sedang mekar,
Melupakan kuntuman,
Yang sebelum ini melindunginya.

Ratuku...
Aku masih terpinga-pinga,
Masih wujudkah lagi,
Ratu idaman hatiku,
Kerana apa yang aku lihat hari ini,
Semakin banyak bunga-bunga gugur,
Bagaikan tibanya musim luruh.

Ratuku...
Bukanlahku harap,
Kau segigih Siti Hajar,
Yang berlari-lari,
Antara Safa dan Marwah,
Bukan juga sesetia Ainul Mardiah,
Yang menanti kekasihnya di pintu Syurga.

Ratuku...
Akuilah hakikat yang tersurat,
Engkau bukanlah Siti Khadijah,
Mahupun Siti Fatimah,
Engkau bukan Aishah,
Bukan juga Rabiatul Adawiyah,
Wanita suci terpuji,
Kerana aku tidak layak,
Berharap sedemikian rupa.

Cukuplah sekadar,
Kau cuba mencontohi,
Bunga-bunga itu,
Kembang mekar mewangi,
Sehingga harumannya,
Melewati pintu-pintu Syurga.

Jangan kau risau ratuku,
Kadang kala musim berganti,
Sehingga bunga tidak dapat berkembang mekar,
Tapi itu,
Hanya ujian buatmu.

Ratuku...
Esok musim bunga pasti akan tiba,
Dan kau akan mampu berkembang lagi,
Cuma yang ku harapkan ketika itu,
Kau jaga kelopakmu itu,
Jangan sampai tangan-tangan kasar,
Memetik mu lagi.

Jangan goda kumbang-kumbang ganas,
Menghisap madumu,
Jangan biarkan,
Gagak-gagak hitam itu,
Merosakkan serimu,
Kerana kau RATU IDAMAN KALBU.

Ratuku..
Aku bukanlah memandang kecantikanmu,
Walaupun kadangkala aku tertarik memandangnya.
Tapi bukan itu yang ku harapkan,
Aku yakin ratuku,
Masih ada sinar harapan,
Yang membuatku tersenyum lega,
Kerana akan ku temui,
RATU yang benar-benar RATU.

InsyaAllah.

Allah Sedang Berkomunikasi

Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dia (Allah) menundukkan (memudahkan) bagi kamu apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi (sebagai kurnia) daripadaNya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir” al-Jaasiah (45:13)

Sebagai orang yang beriman, kita sentiasa dianjurkan supaya memerhatikan keajaiban alam ciptaan Allah Taala dan hikmah di sebalik sesuatu kejadian yang menimpa dengan mata hati.

Apabila berlaku bencana besar pada alam ini, pemusatan fikiran kita bukan hanya kepada banyak mana kemalangan jiwa atau kerugian harta benda yang terlibat, malah pada sebab musabab yang membawa kepada bencana tersebut. Kita mungkin terfikir apakah bencana ini merupakan fenomena alam semulajadi atau ianya suatu bala yang ditimpakan ke atas manusia?

Ilmu manusia tentang rahsia alam amat terbatas. Melalui bantuan peralatan yang canggih mungkin kita mampu mengesan kelajuan angin, pergerakan awan, getaran bumi, ketinggian ombak dan lain-lain fenomena lagi. Namun, manusia tidak mampu menjadi ahli nujum kenapa angin bergerak pada kelajuan tertentu, kenapa bumi bergetar pada skala tertentu atau kenapa ombak bergelombang pada ketinggian tertentu. Persoalan kenapa ini tidak mungkin dapat dijawab kerana ia adalah urusan Allah Taala.

PERINGATAN BUAT YANG BERAKAL

Allah Taala mengutus al-Quran untuk dibaca, diteliti, diambil pengajaran dan dilaksanakan. Kisah-kisah di dalam al-Quran ada menceritakan tentang beberapa kaum atau umat nabi-nabi yang terdahulu ditimpa bencana yang dahsyat sehingga ada yang terus berkubur bersama-sama tamadun yang mereka bina.

Kesan-kesan peninggalan yang wujud sehingga hari ini menjadi bukti kebenaran kisah di dalam al-Quran itu. Kaum Nuh di sekitar Iraq dan Mesir musnah dalam banjir dan ribut taufan. Kaum Luth di Sadum musnah setelah diterbalikkan bumi dan bertukar menjadi Laut Mati. Kaum Tsamud mati di dalam kota-kota yang dipahat di dalam bukit-bukit batu akibat bayu pembunuh yang dikirim oleh Allah Taala kepada mereka.

Bencana itu pula berlaku di hampir semua negara bermula dari China di utara hingga ke Australia di Selatan, di negara yang didiami umat Islam atau negara yang majoritinya bukan Islam.

Allah Taala tidak menyegerakan balasan ke atas kejahatan yang dilakukan oleh umat Muhammad. Balasan itu ditangguh atau diringankan supaya manusia sedar dan bertaubat. Adakalanya bala itu datang dalam bentuk kekurangan rezeki setelah mengalami kemarau, banjir atau penyakit tanaman, rasa takut dan gelisah, malapetaka seperti kebakaran, tanah runtuh, kemalangan jalan raya dan sebagainya.

Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” at-Taghabun (64:11)

AMBIL PENGAJARAN

Allah Taala menciptakan manusia di atas satu konsep yang cukup penting supaya perjalanan hidup semasa di dunia, dipandu oleh satu sistem yang menjamin masa depan mereka agar tidak terus alpa kerana akan tiba suatu saat kelak, mereka pasti dijemput untuk menerima buku amal catatan dan pembalasan di atas apa yang mereka kerjakan.

Konsep menyembah (dengan melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang) dan bertindak sebagai khalifah di muka bumi merupakan dua agenda penting yang harus dipikul oleh manusia sebagai suatu amanah besar dalam kehidupan yang sementara ini, dan bukan untuk berseronok semata-mata. Bahkan manusia tidak dijadikan hanya untuk hidup di dunia yang kecil dan binasa ini sahaja, tetapi mereka dijadikan untuk kehidupan yang kekal abadi, iaitu di akhirat.

Muhasabah lebih baik ketika ini, daripada mencari punca kejadian dan meratapi sedih di atas musibah. Moga dipelihara kita dari musibah berpanjangan sebelum sempat kita kembali kepada-Nya.

06 November 2009

Devan , Amri Ungguli Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2009 FAM-100PLUs

Sekalung tahniah buat Kapten pasukan Selangor-Amri Yahyah kerana berjaya merangkul 'Anugerah Pemain Tengah Terbaik' dalam majlis penganugerahan Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2009 FAM-100PLUS yang telah berlangsung di sebuah hotel di ibukota. Dengan kemenangan ini juga secara amnya telah meletakkan Amri Yahyah sebagai pemain yang seharusnya diberi pujian atas kerajinan serta kesungguhannya sepanjang musim 2009 untuk mengawal bahagian tengah skuad Selangor. Syabas!

Sementara itu, majlis tersebut juga telah memberi Anugerah Jurulatih Terbaik buat arkitek pasukan Selangor iaitu K.Devan. Sememangnya Devan wajar diberi penghargaan tersebut kerana berjaya membimbing Selangor sehingga mampu mendominasi beberapa piala pada musim 2009 ini. Kesungguhan dan strategi beliau sepanjang Liga Malaysia musim ini jelas tidak dapat ditandingi oleh mana-mana jurulatih pasukan lain.

Walaupun demikian, Safee Sali, Hamsani Ahmad serta Khairol Anuar Baharom gagal untuk merangkul anugerah bagi kategori masing-masing.

Dengan keputusan ini, maka Selangor pada musim ini berjaya merangkul 3 anugerah utama yang dipertandingkan iaitu Anugerah Persatuan Bolasepak Negeri Terbaik, Anugerah Jurulatih Terbaik dan juga Anugerah Pemain Tengah Terbaik.

Keputusan penuh bagi Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2009 FAM-100PLUS

PEMAIN HARAPAN TERBAIK
Mohd Muslim Bin Ahmad (Harimau Muda)

PENJAGA GOL TERBAIK
Farizal Marlias (Perlis)

PEMAIN PERTAHANAN TERBAIK
Aidil Zafuan Abdul Razak (Negeri Sembilan)

PEMAIN TENGAH TERBAIK
Mohd Amri Yahyah (Selangor)

PEMAIN PENYERANG TERBAIK
Indra Putra Mahayuddin (Kelantan)

KELAB BOLASEPAK TERBAIK
Pasukan Johor FC

JURULATIH TERBAIK
K.Devan dari (Selangor)

PERSATUAN BOLASEPAK TERBAIK
Persatuan Bolasepak Selangor (FAS)

PEMAIN PALING BERNILAI
Indra Putra Mahayyudin (Kelantan)

KELAB PENYOKONG TERBAIK
Kelab Penyokong Pasukan KL Plus

Semoga dengan kejayaan serta pencapaian Selangor dan FAS pada musim ini diharap dapat meningkatkan lagi prestasi serta menjana pelbagai kejuaraan pada musim Liga-M yang akan datang! Tahniah dari kami di penokong setia Selangor!

Viva Selangor! Viva Selangor! Viva Selangor!

Tipuan Duniawi

Demi umurku.
Pemuja dunia akhirnya akan menyesal juga.
Bila dunia pergi dia merasa rugi.
Bila dunia datang keinginan pun terus memuncak.

Demi Allah.
Bila dunia datang padaku
Dan melimpahkan rezekiNya
Tentulah orang merdeka tetap menghinakannya
Bagaimana tidak, ia batang yang bakal pula..

Herdiklah dunia dan hari-harinya
Ia hanyalah membawa duka
Kehausannya tidak pernah terpenuhi
Terus saja ingin memiliki
Sungguh menghairankan
Ia musuh tapi dirindukan.

Ada orang berkata
Kulihat hari memberi cela kepada manusia
Menghalangi kemuliaan dan keutamaannya
Kukata kepadanya ambillah apa adanya

Banyak aku berusaha yang haram
Ia temukan kejahatan di atas kejahatan
Tanyakan pada hari-hari
Apa yang engkau perbuat dengan raja dan singgahsananya?

Adakah engkau bahagiakan mereka?
Tidak pula yang pandai mahupun yang bodoh

Wahai orang-orang tertipu oleh dunia!
Siang kau tidur dan malas malam pun kau tidur
Dan hina kau tertipu oleh sesuatu yang fana
Kau bahagia dalam khayalan persis orang tidur
Yang tertipu dengan kelazatan
Akhirnya kesibukanmu hanyalah kebosanan..

Sesiapa menyintai dunia dan mengagungkannya,
Hilanglah ketakutan terhadap akhirat dari hatinya..

01 November 2009

Remaja Suluhan Ilahi

Masa remaja adalah zaman yang penuh dengan cabaran. Golongan remaja dengan keadaan fizikal yang segar bugar, ketika inilah gelombang syahwat sangat bergelora. Tidak mudah untuk mengawal segala dorongannya, apatah lagi jika kehidupan mereka tidak terikat dengan keimanan dan batas-batas syariat.

Kesempatan untuk bergaul bebas sentiasa terbuka, lebih-lebih lagi hidup dalam negara dan masyarakat yang tidak melaksanakan hukum dan undang-undang Allah SWT. Budaya maksiat yang sengaja disuburkan melalui pelbagai konsert yang mendorong mereka menjadikan artis sebagai sanjungan dan ikutan, bukan sahaja meruntuhkan akhlak remaja, bahkan menyebabkan mereka menganggap maruah dan kehormatan seolah-olah tidak bernilai. Dengan mudah mereka menyerah kepada seseorang lantaran runtunan hawa nafsu.

Budaya barat bersalut dengan kekufuran dan kemaksiatan sentiasa mengalir melalui media elektronik, termasuk juga video lucah menjadikan remaja sebagai sasarannya. Dalam suasana yg begitu onar, mungkin terdapat segelintir remaja yang hidup terasuh dalam keluarga yang berteraskan tarbiah Islam, mendampingkan diri dengan kelompok yang berpegang teguh dengan ajaran Islam. Dengan suasana yang murni itu, mereka memiliki daya tahan daripada ancaman pengaruh mungkar.

Tidak mudah untuk menjadi seorang remaja mukmin dan berakhlak mulia, lebih-lebih lagi dalam suasana negara dan pemerintahannya mengabaikan peraturan Allah SWT. Dengan pengaruh persekitaran yang lebih menjerumus kepada dunia hiburan yang melampau, hanya remaja yang mendapat taufik dan hidayah Allah SWT serta asuhan dan bimbingan daripada ibu bapa yang berpegang teguh dengan hukum Allah SWT sahaja akan selamat daripada segala bencana itu.

Hanya golongan remaja yang memiliki benteng pertahanan iman, serta berakhlak yang mulia, merupakan golongan yang telah berjuang sepenuh upaya untuk menjadi remaja yang bermoral tinggi. Allah SWT amat menghargai kesungguhan remaja seperti itu. Oleh sebab itulah apabila mereka tiba di padang Mahsyar, mereka akan disambut dengan segala pujian dan sanjungan daripada para malaikat. Malah kehadirannya akan disambut oleh Allah SWT dengan ucapan "selamat datang wahai para remaja yang baik".

Demikianlah penghargaan dan balasan Allah SWT terhadap para remaja yang bekerja keras serta bersungguh-sungguh mengawal diri daripada segala pengaruh buruk yang sedang bermaharajalela di sekitar mereka. Berkat kesabaran menahan diri daripada hidup berseronok dan berfoya-foya yang bersifat sementara di dunia ini, mereka akan mendapat keseronokan yang abadi di Akhirat kelak.

Setelah Allah SWT mengucapkan selamat datang kepada para remaja yang berakhlak mulia itu, lalu diperintahkan para malaikat supaya menempatkan para remaja itu di sebelah kanan. Untuk mereka, disediakan bendera berwarna hijau, lalu Allah Taala menyeru Nabi Yusuf AS untuk menerima bendera tersebut bagi mengetuai para belia yang mukmin, berakhlak, sabar dan mempunyai ilmu pengetahuan. Nabi Yusuf terpilih menjadi ketua para belia yg baik budi pekerti kerana Baginda adalah seorang Nabi yg sangat kacak dan tampan.

Ketampanannya menggoda ramai wanita, hingga ada wanita yang tertawan dan cuba menggodanya. Namun, Nabi Yusuf berjaya mengatasi semua halangan dan godaan itu. Ulama' tafsir menyifatkan kecantikan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia di dunia ini hanyalah separuh daripadanya ada pada Nabi Yusuf AS. Dalam Al-Quran terdapat satu surah khas yang bernama "Surah Yusuf", yang bukan sahaja menceritakan paras rupa Nabi Yusuf yang tampan dan menawan, tetapi juga menceritakan segala kebaikan dan kelebihan Baginda. Alangkah bertuahnya para belia itu kerana mendapat ketua seorang Nabi yang termasyhur, iaitu Nabi Yusuf AS.

Bersesuaian dengan ketabahan dan kekuatan hati Baginda yang berjaya menghadapi fitnah wanita. Maka demikian jugalah para remaja yang berjaya menghadapi segala godaan dan cubaan alam remaja, maka mereka akan bersama-sama Nabi Yusuf di bawah panji-panji hijau di Akhirat kelak. Setelah itu, Allah SWT memuliakan orang-orang yang menjalinkan hubungan baik sesama manusia semata-mata kerana Allah SWT. Mereka berkawan bukan kerana wang ringgit yang selalu diterima atau kerana pertolongannya semasa mendapat kesusahan, tetapi hubungan baiknya hanya atas dorongan hati yang ikhlas. Justeru, mereka mendapat ganjaran yang besar daripada Allah SWT kerana sifat yang terpuji itu. Sifat kasih mesra sesama insan itu merupakan benteng penghalang daripada segala persengketaan dan pemusuhan.

Sahabat...

Sahabat,
Perjuangan ibadah kita,
Hakikat insan dihidupkan,
Dimatikan bila tugas selesai,
Itulah janji Tuhan...

Sahabat,
Apa lagi yang tak pasti,
Kebatilan akan pastinya runtuh,
Islam akan tertegak atas kebenaran,
Tegakkan keyakinan...

Sahabat,
Apa lagi yang kau ragukan,
Inilah sunnah Rasulullah,
Yang sedikit akan pasti menang,
Dengan bantuan Allah...

Sahabat,
Apa lagi yang kau sedihkan,
Darjatmu tinggimu disisi Allah,
Kiranya engaku insan bertaqwa,
Kiranya engkau insan beriman...

Sahabat,
Setinggi mana pun kau belajar,
Sebesar mana pun jawatan kau pegang,
Sebanyak mana pun harta kau miliki,
Ia tidak berguna jika Islam kau tidak daulatkan..

" Hidup sebagai pejuang bukan sekadar seronok berkata-kata atau membincangkan pengalaman semata-mata, malah lebih dari itu sebenarnya adalah penghayatan diri para pejuang untuk merenung sama ada betul atau tidak niat di hati untuk berjuang demi agama Allah yang syumul ini."

Rahsia Solat Di Awal Waktu

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Aku rasa fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi, betul tak?

Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Di sini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat di awal waktu. Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (Isyraq & Dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak?

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta di mana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan. Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh. Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di’kurniakan’ syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hamba-Nya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukan-Nya. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya.

Wallahualam.