17 October 2009

AYUH SELANGOR,TUMBANGKAN TERENGGANU !


Selangor kini harus memberi fokus yang lebih apabila sekali lagi bakal bertemu dengan pasukan jagoaan Pantai Timur - Terengganu. Kempen Piala Malaysia yang sudah pun memasuki fasa suku akhir pasti akan menghadirkan satu saingan yang amat perit buat Selangor.

Pada musim Liga Malaysia tahun ini, Selangor telahpun bertemu dengan pasukan Terengganu sebanyak 2 kali ialtu pada saingan Liga Super. Pada pusingan awal 31 Mac lalu, Selangor tunduk kepada Terengganu 1-2 di Stadium Sultan Mirzan namun berjaya melunaskan dendam kekalahan tersebut di Stadium Shah Alam pada 2 Mei lalu dengan jaringan 3-1.

Secara puratanya, kekuatan masih lagi berpihak kepada Selangor sekiranya merit mata kemenangan diukur, namun kebangkitan Terengganu sejak akhir-akhir ini pada saingan Piala Malaysia tidak seharusnya diambil ringan oleh Selangor. Ini berdasarkan corak kebangkitan mereka apabila melakukan serangan setelah ketinggalan gol. Perlu dingat, Terengganu dilihat lebih gemar melakukan asakan setelah mereka ketinggalan dan ini amatlah merisaukan penyokong kerana Selangor juga dilihat sebagai pasukan yang lambat panas - bermakna Selangor juga gemar bangkit apabila sudah ketinggalan!

Apa yang agak merisaukan adalah masalah di posisi pertahanan yang sekali lagi melanda pasukan Red Giant sebagaimana yang pernah berlaku pada musim Liga-M tahun sebelumnya. Sejak kebelakangan ini, barisan pertahanan Selangor dilihat agak longgar dan amat mudah diperkotak-katikkan oleh jentera serangan pihak lawan.

'Fokus' yang tajam adalah perkara yang amat utama untuk membasmi masalah ini. Pasti Terengganu akan mudah menghidu segala kelemahan Selangor sejak akhir-akhir ini dan sudah pasti mereka akan meragut kemenangan dari Selangor sekiranya sedikit sahaja Selangor melakukan kesilapan. Dan sekiranya Selangor tewas atau seri di Stadium Shah Alam, pasti tugas getir ini akan meningkat berkali ganda apabila Selangor pula berkunjung ke gelanggang mereka!

Faktor kedatangan penyokong juga dilihat boleh menyemarakkan lagi pasukan Selangor untuk terus merentap peluang Terengganu ketika permainan berlangsung di Shah Alam nanti. Sekiranya diamati, kedatangan penyokong Terengganu dilihat agak berkurangan walaupun mereka bermain di halaman mereka sendiri, namun fakta ini mungkin berubah setelah penyokong mereka mengetahui bahawa Terengganu sudahpun melangkah ke peringkat suku akhir, dan pastinya kedatangan penykong mereka akan berlipat kali ganda! Apatah lagi lawan mereka adalah pasukan Selangor, yang mana setiap pasukan di dalam Liga-M pasti mempunyai cita-cita untuk menundukkan pasukan Red Giant dan ini adalah fakta!

Antara faktor lain yang boleh mendekatkan lagi Selangor ke peringkat separuh akhir adalah peranan posisi serangan. Jentera serangan Selangor seharusnya lebih fokus dalam usaha mereka untuk menerobos ke gawang lawan. Setiap peluang yang terhidang seharusnya digunakan dengan sebaik mungkin. Kesilapan-kesilapan mudah di hadapan gawang lawan seharusnya tidak berlaku berulang kali sehingga menyebabkan penyokong bosan dan mencemuh mereka.

Namun apa yang pasti, kerjasama berpasukan haruslah diutamakan. Hanya tinggal 2 langkah sahaja lagi untuk Selangor menggenggam Piala Malaysia musim ini. Peranan yang diamanahkan oleh K.Devan haruslah direalisasikan dengan sehabis baik dan sempurna oleh jentera-jentera Selangor di atas padang agar dapat diterjemahkan ke dalam bentuk kemenangan!! Hanya kemenangan mutlak dengan jumlah jaringan yang selesa bakal mencerahkan lagi peluang Selangor untuk mara ke peringkat separuh akhir. Sekiranya ini tidak berlaku, maka tugas getir pasti akan menemui Selangor apabila berkunjung ke halaman mereka kelak pada pusingan kedua nanti!

Viva Selangor! Ayuh penuhkan Stadium Shah Alam dan gemakan sorakan padu anda di sana pada 20 Oktober ini!






No comments:

Post a Comment