31 January 2011

Iklim Dan Sikap Manusia

Tahukah anda salah satu keadaan yang mempengaruhi perangai manusia adalah iklim? Ia bukan sahaja mempengaruhi perangai dan sikap manusia tetapi juga mempengaruhi cara manusia berfikir dan bertindak. Bagaimana ini boleh berlaku?

Di dunia, kita mempunyai pelbagai jenis iklim atau dengan kata lain cuaca dan musim. Di luar sana kedapatan kepelbagaian iklim seperti 4 musim, tundra, tropika dan panas. Bagaimanakah keadaan ini sangat mempengaruhi manusia?

Ia tidak memerlukan satu penerangan saintifik untuk memahaminya. Adakah mudah untuk memperoleh bekalan air ditengah-tengah padang pasir? Bayangkan seorang perantau yang merentasi padang pasir yang hanya berbekalkan sebotol air mineral, adakah perjalanan ia akan menjadi mudah? Bukankah kalau kehabisan air boleh menyebabkan perantau padang pasir menghadapi risiko maut?

Bagaimana pula di Malaysia, adakah kita risau jikalau hanya membawa sebotol air mineral ketika bermusafir? Andai tiada sebotol air pun di dalam kenderaan, kita langsung tidak pernah risau dan tertekan.Tidak pernah kita mendengar orang mati kehausan di Malaysia ketika bermusafir.

Apakah pilihan yang ada bagi manusia yang tinggal di kawasan yang mempunyai iklim seperti tundra, panas dan 4 musim? Mereka tiada pilihan melainkan menyesuaikan diri dengan keadaan untuk meneruskan kehidupan.

Contohnya perubahan cuaca di iklim 4 musim yang berubah daripada musim panas ke musim sejuk. Musim sejuk kebiasaannya akan membawa masalah bekalan makanan. Jadi sudah menjadi kebiasaan setiap tahun bagi mereka yang duduk di iklim ini sentiasa bersedia untuk menyimpan makanan bagi persediaan musim sejuk. Andai mereka lalai, akibatnya mereka akan kelaparan dimusim sejuk.

Di padang pasir pula, apabila sudah menjadi persepsi asas bahawa air sukar diperolehi, maka orang sedia tahu bahawa mereka perlu sentiasa bersedia dengan bekalan air. Andai putus bekalan air dalam bermusafir, ia mungkin boleh menyebabkan maut. Orang yang tinggal di tundra sentiasa mempastikan mereka mempunyai pakaian yang sesuai dengan kesejukan. Hilang pakaian tebal, maka mereka akan menghadapi risiko kesejukan yang boleh menyebabkan kematian.

Tidak kurang juga mereka yang tinggal di negara beriklim ini sering menghadapi bencana alam. Tidakkah anda melihat mereka tiada pilihan melainkan mencari jalan bagaimana membuat petempatan yang bersesuaian untuk menghadapi bencana-bencana seperti ini?

Apabila kita terlalu banyak pilihan, manusia biasanya banyak menghabiskan masa berfikir untuk memilih. Berbeza dengan mereka yang tiada pilihan, mereka akan menghabiskan masa dengan bertindak.

Inilah yang secara tidak langsung menjadi latihan semulajadi yang membentuk sikap seseorang mengikut keadaan iklim masing-masing. Orang dinegara 4 musim amat terbuka pemikiran mereka terhadap idea kehidupan. Ini adalah kerana idea yang bernas akan memudahkan kehidupan. Kerana itu orang putih kebanyakannya sangat terbuka pemikiran mereka. Ini kerana pada setiap perubahan musim, mereka perlu berbuat sesuatu sebagai persediaan.

Berbeza di iklim tropika seperti di Malaysia. Begitu ramai anak muda segolongan aku yang malas dan membuang masa, termasuk aku. Mengapa? Kerana mereka tidak perlu risau kerana tiada perubahan musim seperti di luar negara. Cuaca di Malaysia tidak akan membuat mereka maut jikalau putus bekalan air. Andai kata tiada kerja sekalipun, mereka hanya perlu pergi ke rumah ibu ayah dan membuka tudung saji.

Bagi negara yang kerap ada bencana alam, rakyatnya sentiasa mempunyai inovasi untuk mencipta sesuatu bagi survival kehidupan. Rekabentuk dan kejuruteraan rumah contohnya bagi negara yang sering mempunyai gempa adalah berteknologi tinggi. Andai gempa berlaku setiap bulan, rumah mereka masih berdiri teguh dan tahan. Di Malaysia, tiada gempa sekalipun, bangunan sudah retak dan bocor. Malah ada yang roboh.

Tekanan adalah perkara yang membebankan. Tiada siapa yang menyukai tekanan. Namun bagi mereka yang memahami, pasti akan menghargai tekanan setelah mengetahui tekanan itu membuat mereka tiada pilihan melainkan menyelesaikan masalah daripada tekanan tersebut.

Masalah adalah peluang. Ia adalah peluang untuk mempelajari bagaimana membuat penyelesaian. Apabila manusia sering lari dari masalah, maka bilakah masanya mereka akan belajar menyelesaikan masalah? Bilakah masanya mereka akan mematangkan diri jikalau sentiasa lari dari situasi ini?

Masalah akan tetap berlaku dalam hidup. Orang yang bersedia dan terus bertindak mempelajari menyelesaikan masalahnya akan mudah di kemudian hari. Ini adalah kerana masalah-masalah baru lebih mudah diselesaikan dengan pengalaman yang lalu. Berbeza daripada mereka yang suka lari dari masalah. Sekecil-kecil masalah boleh menjadi besar kepada mereka.

Sesungguhnya Allah itu Maha Bijaksana. Dalam benak kita berfikir sukarnya mereka yang tinggal di iklim yang sulit. Tetapi pada mereka ia sudah menjadi kebiasaan. Kebiasaan itu secara tidak langsung mematangkan mereka dengan lebih pantas. Berbeza bagi penduduk tropika yang tiada tekanan dan tidak menghayati perkara ini. Allah memberi mereka kesulitan pada mata kasar tetapi Allah beri kelebihan peluang mematangkan diri dari masalah yang diberi. Mereka lebih berpeluang mencipta ilmu berbanding kita di Malaysia.

Kerana itulah pepatah orang lama berbunyi,'banyak berjalan luas pemandangan'. Kita pasti akan teruja melihat cara orang luar menyesuaikan diri dengan iklim dan mukabumi mereka. Orang Malaysia dan orang beriklim tropika harus bersyukur di atas pemberian tuhan ini kerana iklim dan cuaca di sini adalah satu anugerah yang diidamkan mereka yang tinggal di iklim yang memberi ancaman.

Sesekali belajarlah bersusah-susah dan berani menghadapi susah. Hakikatnya kita mengajar diri untuk menghayati betapa sukarnya kehidupan orang lain dan memahami mengapa orang lain mampu berfikir dan bertindak lebih mantap dari kita.

Renung-renungkanlah kawan. Wallahualam.

30 January 2011

Buih-buih Cinta Dari Seorang Sahabat

Aku menatap matamu dengan penuh asyik...
Agar terbit rasa sayang ini...
Aku belajar melawan rasa tidak enak di hatiku...
Dengan kesilapan kecilmu...
Agar jangan ada robekkan di lantai kepercayaan antara kita.

Aku mula-mula mengenalimu yang pertama meghulurkan segugus senyuman...
Terlihat jelas sepasang lesung pipitmu yang aneh dipandangan...
Namun bagiku, itulah yang mengujakanku yang mampu mendampingimu...
Sebagai sahabat!

Aku mengharapkan agar panas berterusan hingga ke malam...
Kehangatannya aku impi berlarutan!
Tidak hanya di waktu siang...
Malah sampai saat kematian!

Memperhatikanmu, dengan lagak serta gayamu...
Membuat hidupku kian sempurna kini!
Kerana aku bisa menyerap nilai-nilai murni...
Teladan buat diri yang serba kekurangan.

Sejuk mataku tatkala menatapmu, teman...
Benarlah kata orang, tak kenal maka tak cinta...

Namun teman,
Sayangku dan kasihku ini berbeza sekali...!!! Amat berbeza.
Tidak seperti sayang dan kasih seorang kekasih kepada kekasihnya,
Tidak dapat digambarkan sebagai sayang dan kasih seorang suami kepada isterinya,
Bukan jua seperti kasih sayang sesuci ibu mithali...

Teman,
Bersemadi perasaan ini langsung tanpa ada sekatan...
Bercambah terus berputikkan kejujuran dan kepercayaan...
Agar aku menjaga hatimu sepertimana hatiku,
Agar aku mengawasi tingkah lakumu seperti aku mengatur perilaku ku...
Agar sedihmu menjadi sedihku jua...
Kerana apabila kau sakit, aku pun turut serta mengaduh bisanya.
Begitulah hebatnya lempias perasaan ini....!

Yang bersumberkan Ilahi...
Mengikatnya dengan segumpal tali yang bernama 'ketulusan hati'...
Ikhlas.! Adalah tiang utamanya dan kasih sayang adalah atapnya...
Bersatu kita menggenggam buih-buih cinta ini, teman...
Bersama dalam setiap derap langkah dalam menuju halaman Syurga...

BERTEMU TAK JEMU, BERPISAH TAK GELISAH...

InsyaAllah...

29 January 2011

Galas Amanah

Alhamdulillah, akhirnya sampai rumah juga. Setelah meredah beberapa jam sepanjang perjalanan tadi. Sebenarnya balik ni banyak sangat benda yang aku perlu buat, dan aku dapat merasakan cuti untuk kali ini tiada masa untuk aku goyang kaki. Banyak sangat aku perlu buat bagi melaksanakan segala amanah tersebut sehinggakan tadi aku balik pun cuma sehelai sepinggang ja. Baju dengan seluar yang aku pakai masa balik tu laa ja yang aku bawak balik, baju lain tak bawak.

Yang peliknya galas beg baju, sedangkan dalam tu sehelai pakaian pun takdak. hahaha. Dalam tu aku bawa kertas kerja yang perlu aku settlekan. Bukan itu sahaja, tambahan kerja aku untuk order baju bagi menjayakan family day untuk jabatan bangunan aku. Memang sukar sebenarnya tapi aku terpaksa mewakafkan tulang empat kerat ini bagi melaksanakan perkara ini dengan sebaik mungkin.

Selasa lepas tolong dalam menjayakan program aktiviti taklimat KP kami. Aku dan empat orang lagi rakan bersama-sama berkerjasama badi program tu berjalan lancar, dan alhamdulillah semuanya berjalan lancar sepertimana yang diharapkan. Kami orang yang terawal datang kat situ dan kamilah juga orang yang terakhir tinggalkan tempat tu.

Naik cuti ini pula aku terlibat untuk aktiviti induksi. Giliran untuk RAGGING budak-budak part 1. Yeah!!! Lepas tu aktiviti untuk family day. Ini betul-betul cabaran terbesarr. Sejak awal-awal lagi dah bermacam ranjau yang telah kami lalui selaku ajk bagi family day building ini. Selain itu, aku asalnya cuma menjadi penasihat je untuk Project Manager Family Day Building. Tapi aku akhirnya kena gak handle sebagai ketua bahagian makanan.

Aku memang taknak, tapi disebabkan orang yang asalnya pegang portfolio ini tak sanggup pikul tugas ini maka akulah dengan sukarela jadi disebabkan kesiankan rakan aku ni sebagai Project Manager(PM). Setelah aku sendiri sanggup menggalas amanah itu, aku teruskan gerakan mencari caterer utk family day nanti. Sekarang ini aku dah dapatkan semua maklumat dan kertas kerja telah pun tunjuk pada penasihat persatuan pagi tadi.

Pastu beliau sarankan untuk cari caterer lain bagi mengurangkan lagi kos perbelanjaan. Bajet yang diberikan pada persatuan kami pun tak seberapa. Jadi kami kena menganggarkan sebaik mungkin untuk menggunakan bajet yang telah diberi itu. Namun bukan itu dijadikan alasan bagi kami untuk tidak melaksanakan perkara itu sebaik mungkin.

Lepas dari itu, untuk aktiviti dinner persatuan. Ini tak tahu samada terlibat sama ke tak sebab masa meeting tu aku tak g sebab ada kerja lain. Tapi mengikut kata, ajk terlibat masa taklimat KP akan diserap masuk terus. Fuh!!! Bila fikir balik memang sukar. Sebab ada bermacam risiko. Yang pasal order baju untuk krew family day pun asalnya takdak org nak buat, tapi best ke kalau ada satu-satu event takdak baju yang membezakan krew dengan peserta?? Mesti tak best kan. Jadi itu pasal laa aku sekali lagi dengan sukarelanya nak handle. Fuhh. Berat bhai.

Belum cerita lagi bab kerja dalam akademik lagi, ada ja yang kena buat. Sabar... sabar... Dalam perjalanan hidup mana ada erti senang lenang kan. Yakin Boleh!!!

Hmm, esok pula Liga Malaysia bermula. Yang menjadi tumpuan perlawanan Selangor-Kelantan bagi merebut Piala Sumbangsih. Yang pasti aku nak turun stadium esok. Nak lepaskan giant bhai. hahahaha. Selangor!! Buat yang terbaik!!!!

Awak..
Mungkin masa saya tulis ini awak belum sampai rumah kan??
Saya dah sampai dah awak..
Tadi saya hampir tertinggal bas sebab nak hantar awak..
hahaha..
Sayu hati masa tinggalkan awak tadi..
Aduyai..

Awak..
Awak jaga diri elok-elok tau kat sana..
Kalau boleh kan, saya nak ja............
Apa pun, terima kasih taw awak atas semuanya..
Tadi terlupa nak bagi awak duit untuk belikan jersi saya..
Tapi awak boleh dulukan duit awak kan???

25 January 2011

Kalau Ingin, Belajarlah

Kalau ingin dimaafkan, belajarlah untuk memaafkan.

Kalau ingin dihormati, belajarlah untuk menghormati.

Kalau ingin difahami, belajarlah untuk memahami.

Kalau ingin disedari, belajarlah untuk menyedari.

Kalau ingin disayangi, belajarlah untuk menyayangi.

Kalau ingin dikasihi, belajarlah untuk mengasihi.

Kalau ingin diterima, belajarlah untuk menerima.

Kalau ingin dihargai, belajarlah untuk menghargai.

Kalau ingin disenangi, belajarlah untuk menyenangi.

Bukan orang lain yang perlu berubah mengikut kehendak kita tetapi kitalah yang sebenarnya perlu mengubah diri kita.

Memuaskan hati semua orang itu tidak mudah tetapi berubah untuk memuaskan hati semua orang itu tidak mustahil.

Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalan. InsyaAllah Dia akan permudahkan. Jadikan ini sebagai platform untuk anda semua.

Dan awak,.................. saya sangat............ :)

20 January 2011

Islam Bukan Sains Dan Sains Bukan Islam

Istilah mengIslamkan sains seakan-akan menjadi satu gelombang baru untuk para saintis Islam membuktikan kebenaran Islam. Pengislaman sains ialah satu cara untuk memaparkan ilmu sains sebagai selaras dengan ajaran Islam.

Gerakan ini menggunakan penemuan-penemuan sains moden dan memadankannya dengan ayat-ayat Al-Quran yang difikirkan boleh diterima akal. Di antaranya ialah penemuan sains berkenaan bumi ini bulat dan memadankannya dengan ayat ke-19 Surah Al-Hijr atau memadankan Surah Ar-Rum ayat ke-48 dengan pemahaman sains berkenaan kitaran hujan.

Terkini, apabila teori letupan agung (Bing Bang) oleh Edwin Hubble mulai diterima oleh masyarakat sains kontemporari menggantikan teori steady-state oleh Fred Hoyle, pada masa yang sama dikeluarkan juga dalil daripada Al-Quran (ayat ke-30, Surah Al-Anbiya) yang telah lama menyokong penemuan saintifik ini.

Para pengusul dalil ini membuat tafsiran berdasarkan dua kata dasar bahasa Arab dalam ayat tersebut, 'ratq' bermaksud 'bercantum' dan fataq yang bermaksud 'memisahkan atau membelahkan'.

Dengan erti kata lain, Islam itu sendiri sudah lama membuktikan teori gelombang agung kerana ianya sudah dinyatakan didalam ayat Al-Quran yang berumur lebih daripada 1400 tahun.

Cara pemikiran ini dirancakkan lagi di dalam buku-buku karya Harun Yahya dari Turki.

Pembaharuan berfikir secara saintifik di dalam membuktikan kebenaran Islam sebenarnya adalah satu trend yang sihat sebagai satu lagi wadah dakwah yang mencerminkan budaya umat Islam berfikir sudah berubah. Sebagai contoh nilai bantu wadah dakwah ini, apabila bukti saintifik yang menunjukkan satu rekahan yang begitu panjang di permukaan bulan sepadan dengan mukjizat Nabi Muhammad SAW yang telah membelah bulan apabila diminta oleh orang-orang Quraisy telah membuatkan manusia barat berbondong-bondong menjadi 'saudara baru' memeluk Islam.

Pembaca Pasif

Sebenarnya, umat Islam adalah pembaca-pembaca yang pasif walaupun ayat-ayat Al-Quran itu sendiri mengajak mereka untuk berfikir secara kritis dan inovatif.

Sebagai contoh, teori letupan agung telah berada di dalam dada Al-Quran selama lebih daripada 1400 tahun tetapi tiada seorang pun umat Islam yang menyedari akan tujuan sebenar ayat tersebut.

Surah ini sudah dibaca oleh berjuta-juta umat Islam dari dulu sehingga sekarang tetapi tiada seorang pun yang berhenti sejenak dari bacaan mereka dan merenung dengan kritis maksud di sebaliknya. Kemudian dengan sabarnya menunggu waktu malam untuk melihat langit di atasnya untuk memerhati apakah ayat itu cuba menyampaikan sesuatu berkenaan langit dan bumi. Mungkin dulu ianya satu. Selepas membuat pemerhatian dan mendapat keyakinan bahawa langit dan bumi mungkin pada suatu masa dahulu bercantum, mulai mencipta radas-radas dan alat-alatan saintifik untuk membuktikan pemerhatiannya sekaligus membenarkan ayat-ayat-Nya.

Tugasan ini mungkin rumit dan meletihkan tetapi ianya juga salah satu wadah jihad untuk sarjana-sarjana Islam. Sebaliknya, apa yang berlaku adalah hampir kesemua sarjana dan pemikir Islam kontemporari hanya menunggu 'durian runtuh' dan menikmati hasil penat lelah pemikir-pemikir yang mencipta penemuan tersebut.

Jika kita membilang sudah berapa banyak penemuan sains yang sepadan dengan dalil-dalil Al-Quran yang dibaca oleh Muslim setiap hari, mungkin sudah ramai penerima hadiah Nobel terdiri daripada umat Islam dan bukannya orang Yahudi.

Di dalam artikel ini, aku akan cuba memperkenalkan cara untuk memanfaatkan kaedah-kaedah sains untuk menyelesaikan permasalahan umat Islam masa kini. Mungkin ada sarjana-sarjana Islam akan membantah kerana Islam tidak boleh di'sains'kan sepertimana ilmu laduni (ilmu yang diturunkan oleh Allah secara langsung kepada manusia). Dalam erti kata lain, Islam tidak boleh diukur oleh radas-radas dan alat-alat saintifik.

Sebenarnya, Islam itu sendiri mempunyai cabang ilmu yang bersifat mengukur iaitu ilmu fikah. Ilmu fikah menyerupai ilmu fizik di dalam sains di mana ianya melibatkan akal kerana sains lebih bersifat akal. Ini bermakna fiqah adalah cabang ilmu di dalam Islam yang mengkaji suatu permasalahan ummah yang boleh diukur, dikaji dan diulangi.

Menentukan Arah Kiblat

Kebanyakkan saudara baru selalunya merujuk kepada buku oleh Ahmed Galwash yang menyatakan untuk mencari arah kiblat yang betul adalah dengan mengunakan peta Mercator, kemudian letakkan satu hujung pembaris ke arah si pencari berdiri dan satu hujung pembaris lagi pada arah Mekah, buat satu garisan menggunakan pen dan itulah arah kiblat.

Ramai juga muslim menggunakan konsep bulatan agung (Great Circle concept) yang selalunya digunakan dalam penerbangan. Jarak bulatan agung ditakrifkan sebagai jarak terpendek di antara dua titik pada permukaan satu sfera. Kaedah pencarian arah kiblat yang tepat menggunakan konsep bulatan agung telah dicipta oleh Fred Sawyer III, seorang ahli matematik.

Satu kaedah bergeometri juga diperkenalkan dengan menggunakan ukuran darjah satu sudut di antara utara dan kedudukan seseorang kearah Kaabah. Sudut itu dipanggil azimuth, daripada perkataan Arab samt yang bermakna arah.

Walaubagaimanapun, permasalahan arah kiblat kebanyakkan diselesaikan oleh mereka yang dilahirkan Muslim lebih bersifat santai dan boleh dibahagikan kepada dua kategori; mengikut cara tradisi dan menggunakan kaedah bermatematik.

Kompas kiblat sebenarnya adalah evolusi daripada kaedah bermatematik.

Kaedah tradisi termasuklah, "Jika anda boleh melihat Kaabah, maka itulah arah kiblat' atau 'Jika anda berada di Mekah, ikut arah di mana penduduk asal itu menghadap'.

Tetapi masalah menjadi semakin rumit apabila seseorang Muslim itu tidak tinggal di Mekah. Maka pelbagai petua dicipta seperti mengikut arah angin tertentu atau teruskan solat tanpa mengetahui arah kiblat kerana empat dinding Kaabah mengala ke semua arah.

Kemudian kaedah bermatematik dicipta, atau kuasi-matematik. Secara sejarahnya, masalah paling utama dalam menggunakan kaedah bermatematik adalah tiada ilmuwan boleh menentukan longitude sesuatu tempat secara tepat. Maka, kaedah bermatematik adalah paling berkesan tetapi dilemahkan dengan fakor geografi. Oleh kerana itu, walaupun kaedah bermatematik lebih maju dan tepat, tetapi keputusannya -- mengikut penemuan terkini – tersasar.

Ada usaha fuqaha beraliran sekular menggunakan pengiraan trigonometri. Ianya dikira menggunakan lokasi koordinat seorang Muslim, koordinat Kaabah (atau Mekah), dan satu formula trigonometri bersfera mudah untuk menentukan bulatan agung yang di antaranya menggunakan kaedah trigonometri seperti sine dan cosines dan kadangkala menggunakan sektor kuadran tangents dan cotangents.

Perpecahan Umat Islam

Sepanjang sejarah Islam, ahli-ahli astronomi Islam telah menghabiskan masa mereka untuk menentukan arah kiblat dan mencipta alat-alat seperti astrolabe, di mana kemudiannya menjadi alat yang terpenting untuk pelayaran dan penjelajahan. Perlu diingati, kiblat pertama umat Islam sebenarnya bukan Kaabah tetapi Jeruselam dan umat terdahulu berkongsi arah dengan orang Yahudi dan kemudiannya arah kiblat telah berubah selama-lamanya ke Kaabah oleh Nabi Muhammad SAW.

Perubahan ini memberi identiti sendiri kepada umat Islam supaya berbeza daripada orang Kristian dan orang Yahudi. Oleh itu, kiblat menjadi urat nadi umat Islam.

Persoalan arah kiblat menjadi mudah di negara di mana penduduknya adalah majoriti Islam kerana telah dijawab beratus tahun dahulu oleh nenek moyang mereka yang juga beragama Islam. Tetapi oleh kerana proses mobiliti dan penyebaran populasi yang dibawa oleh sejarah pengkolonian, pembaharuan oleh era globasisi dan penghijrahan umat Islam secara besar-besaran telah mencipta satu keperluan untuk menentukan arah kiblat yang lebih tepat di negara-negara yang mempunyai Islam minoriti seperi Amerika, Australia dan New Zealand.

Contohnya,kebanyakkan masjid-masjid pendatang di Detroit, Amerika, ketika dulu menghadap Timur atau tenggara. Kemudiannya pada tahun 1978 seorang Fuqaha Islam, S. Kamal Abdali, telah mencadangkan bahawa arah kiblat bagi Amerika Utara adalah di Timur Laut dan cadangan ini diterimapakai di Amerika Utara sehingga kini.

Malangnya, permasalahan arah kiblat menjadi semakin rumit apabila melibatkan perbezaan mazhab dan pada akhirnya umat Islam berpecah-belah.

Lebih memalukan, di dalam era matematik, geografi dan komputer ketika sains pelayaran, pengiraan dan Cartography mencapai kemuncaknya, dan dengan penciptaan teknologi terkini, orang bukan Islam tidak menemui masalah di dalam mencari arah untuk belayar sehingga ke kutub utara dan mengembara hingga ke bulan, walhal umat Islam masih tidak mempunyai persetujuan di dalam isu yang kecil ini.

Diceritakan cara menentukan arah kiblat bagi masjid baru di Tierra del Fuego adalah dengan memanggil seorang Fuqaha dari Algeria dan mendengar pendapatnya dan apabila masjid itu siap dibina seorang lagi Fuqaha ternama Islam melawat masjid tersebut telah memberi pendapat yang berbeza berkenaan arah kiblat.

Fatwa secara subjektif ini telah membuatkan Islam amat sukar diterima di benua Amerika. Kaedah memberi fatwa secara subjektif ini juga telah mencipta jurang baru sesama umat Islam dan akhirnya mengakibatkan perpecahan. Sewajarnya, kaedah memberi fatwa yang bertunjangkan ijtihad bersandarkan dengan fakta yang lebih bersifat saintifik supaya mudah diterima akal.

15 January 2011

Pemain VS Pengkritik

Setiap permainan ada gelanggang. Untuk bermain, kita harus masuk ke dalam gelanggang, merasa segala sepak terajang di dalamnya.

Umpama bermain bola, kita harus berada di dalam gelanggang untuk dapat menjaringkan gol. Jika kita menjadi pengkritik, kita takkan menjulang piala kemenangan. Pasukan A melawan pasukan B, salah satu akan menang.

Mungkinkah pengkritik menang? Pengkritik boleh mengulas sesuka hatinya tentang tindakan pemain, namun dia takkan pernah merasai apa yang dilalui pemain, selagi dia belum terjun ke dalam gelanggang menjadi pemain.

Gelanggang Kehidupan

Dalam kehidupan, banyak gelanggang yang ketandusan pemain, atau mungkin pengkritik yang ada lebih banyak daripada pemain. Mungkin itu berlaku dalam perlawanan bola sepak, biasa. Namun dalam kehidupan nyata, haruskah seperti itu? Jika dunia itu sendiri adalah gelanggang atau arena, maka kitalah pemain-pemain yang berada dalam gelanggang kehidupan. Apakah ertinya?

Kitalah Pemain

Ertinya status kita adalah pemain! We are all players! Segala sepak terajang dalam kehidupan ini akan kita lalui, bahkan harus kita lalui. Bagaimanakah agaknya keadaan apabila seorang pemain mempunyai mentaliti pengkritik? Seorang penjaga gol duduk saja dan mengkritik, lupa bahawa hakikatnya dia adalah seorang penjaga gol. Gawang gol terbiar. Perlawanan takkan terhenti. Penjaga gol terus mengkritik dan tidak menjaga gol. Maka terseksalah pemain-pemain yang serius dan bersungguh-sungguh bekerja, terbeban dan terhakislah potensi pemain pertahanan. Hakikatnya, kita adalah pemain dalam gelanggang kehidupan. Jika kita tidak bekerja dan terus mengkritik, siapakah yang akan terbeban dan terseksa? Potensi siapakah yang kita sedang kikis? Itulah realiti.

Apakah Pilihan Kita?

Tidak tepat jika kita persoalkan sama ada kita ingin menjadi pemain atau pengkritik. Hakikatnya kita adalah pemain! Kita punya amanah dan tanggungjawab dalam melahirkan generasi yang soleh dan bertaqwa. Kita punya peranan dalam mempertahankan kebenaran dan menyebarkannya. Kitalah pemain dan pekerjanya. Itu termaktub dalam perjanjian yang telah kita buat dengan Allah.

Pilihan sebenarnya adalah sama ada kita ingin bekerja dengan serius dan bersungguh-sungguh atau ingin menjadi pekerja yang tidak bekerja dan memanipulasi potensi pekerja lain. Kerja itu adalah kerja kita. Berdakwah adalah kerja kita. Mengajak orang ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah kewajipan kita. Bukan lagi persoalan kita perlu buat atau tidak, tetapi kita ingin buat atau tidak. Firman Allah:

"Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata". (Al-Ahzab, 33:36).

Jika ditanya kepada kita "siapakah yang akan memperjuangkan agama Allah?" Apakah jawapan kita?

Jawablah "Nahnu Ansharullaah!" (Kami Tentera Allah!)

6 Persoalan Hidup

Suatu hari, Imam Al Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya. Lalu Imam Al-Ghazali bertanya,

1 - Pertama, "Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?"

Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, teman dan kerabatnya.

Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah "mati". Sebab itu sudah janji Allah SWT bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati.

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (Surah Ali Imran, 185)

2 - Lalu Imam Ghazali meneruskan pertanyaan yang kedua. "Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?"

Murid-muridnya ada yang menjawab negara China, bulan, matahari dan bintang-bintang. Lalu...

Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar adalah "masa lalu". Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak boleh kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.

3 - Lalu Imam Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga. "Apa yang paling besar di dunia ini?"

Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi dan matahari. Semua jawapan itu benar kata Imam Ghazali. Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah "nafsu"

Justeru nafsu yang menguasai diri , menyebabkan manusia gagal menggunakan aqal , mata , telinga dan hati yang dikurniakan oleh Allah swt. untuk hidup berlandaskan kebenaran . Fenomena ini menyebabkan mereka terjerumus ke dalam api neraka Jahanam .

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. (Surah Al A'araaf, 179)

Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka .

4 - Pertanyaan keempat adalah, "Apa yang paling berat di dunia ini?"

Ada yang menjawab baja, besi dan gajah. Semua jawapan hampir benar, kata Imam Ghazali, tapi yang paling berat adalah "memegang amanah"

Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan. (Surah Al-Ahzaab, 72)

Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah SWT, sehingga banyak dari manusia masuk ke neraka kerana ia tidak dapat memegang amanahnya.

5 - Pertanyaan yang kelima adalah, "Apa yang paling ringan di dunia ini?"

Ada yang menjawab kapas, angin, debu dan daun-daunan. Semua itu benar kata Imam Ghazali, tapi yang paling ringan di dunia ini adalah meninggalkan solat. Gara-gara pekerjaan, kita tinggalkan solat, gara-gara meeting kita tinggalkan solat.

6 - Lantas pertanyaan ke enam adalah, "Apakah yang paling tajam di dunia ini?"

Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang... Benar kata Imam Ghazali, tapi yang paling tajam adalah "lidah manusia". Kerana melalui lidah, manusia dengan begitu mudah menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

Fikir-fikirkanlah tentang keenam-enam persoalan ini, adakah kita lepas kesemua hadangan ini?

14 January 2011

Jepun

Malam semalam sampai rumah. Sememangnya tak dirancang untuk balik rumah. Memang aku target sebelum raya cina taknak balik. Tapi disebabkan ada kerja yang berkaitan kena buat terpaksa balik.

Mulanya kami plan nak g cari pelan hari ini selepas kelas, tapi disebabkan semalam kelas habis awal dorg pun tiba-tiba terkeluar idea untuk tundakan kelas hari ini. Jadi lect tu pun bagi lampu hijau. Lepas tahu kelas postpone kami fikir punya fikir macam mana. Jadi kami pun dengan keputusan berani mati terus rancang balik sebab nak g putrajaya.

So lepas ni kami dah nak gerak. Aku sempat tulis sikit je. Mungkin balik nanti aku tulis lagi. Dah macam tak sempat je. haha. Aku taknak org cakap janji Melayu. Aku nak janji Jepun.

12 January 2011

Kembali Bernafas

Hmm.. Sudah seminggu lebih ruangan Pengembara Ilmu ini sunyi tanpa bicara. Sarang labah-labah pun sudah bersarang dalam ruangan ini. Semua serangga telah mewujudkan penempatan di sini. haha. Lama dah jari-jemari ini tidak menari di atas papan kekunci ini. Apabila mulut tutup terkunci rapi, hati mula berkata-kata, dan jari-jemari yang menterjemahkannya.

Sememangnya apabila dah mula perjuangan ini, masa memang menjadi buruan aku. Dalam perjuangan tidak ada sebarang alasan untuk kita berundur. Wahai hati ini, walau apa yang telah berlaku dan mungkin akan berlaku.. harap engkau gagahkan untuk teruskan langkahmu. Pantang berundur sebelum bertempur.

Dah seminggu lebih tak online, nak menjengah ruangan ini pun tak.. apatah lagi buka facebook. Tapi tadi aku baru buka facebook aku tu. Aku kunjungi sesetengah profile sahabat-sahabat dan kawan-kawan. Banyak juga perkara yang aku ketinggalan tentang apa yang mereka update kan pada wall mereka biarpun baru seminggu lebih aku tak online.

Untuk blog ini pun mereka semua dah banyak update entri terbaru, cuma aku je tak mengakses masuk ke ruangan ini. Agak banyak gak aku ketinggalan tentang apa yang mereka tuliskan. Apa pun setelah ada masa ini aku takkan melepaskan peluang untuk update kan entri terbaru aku.

Hmm. Buat masa ini setelah seminggu lebih di sini, rasanya okay gak. Yang paling lega roommate bukan seorang yang perokok. Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya kali ini tidak laa sedut asap rokok tu hari-hari tak kira masa. Cuma ada satu dua perkara yang sedikit sebanyak merencatkan perjalanan ini. Tapi jangan pandang isu itu sebagai satu penghalang atau penyebab jika berlaku sesuatu. Mana ada manusia yang dapat lari dari masalah.

Ikut tahun, kini usia aku mencecah 20 tahun. Ikut mata kasar, umur belasan tahun aku sudah tiada lagi. Nak undur kan masa balik memang tak dapat laa. Walau sesaat, yang berlalu tidak dapat diulang kembali. Jadi aku kini sudah memasuki alam yang lebih dewasa dari sebelum ini.

Dalam hal situasi semasa pun, apabila ada di sini.. maklumat dan infomasi terkini tentang seluruh dunia samada di dalam mahupun di luar negara memang sukar mendapat maklumat. Kalau kat rumah tu, kita tadah telinga je maklumat dan infomasi dapat. Tapi bila dah ada kat sini kita yang perlu mencari benda tu. Contohnya, pengurus Liverpool dah bertukar pun aku tak tahu. Bila msg dengan angah baru tahu.

Cakap pasal Liverpool.. hahaha. Tapi boleh bagi 1 je? Aduyai. Pada masa perlawanan itu aku tak dapat tengok game tu. Punya bengang aku. Semua buka AJL. Apa ada kat AJL tu? Aduhh. Tak habis-habis dengan hiburan. Kat sini semua tv bukak rancangan tu. Kalau ada 100 tv, 100 tv tu bukak rancangan yang sama. Ikut maklumat dari member yang dok luar pun sama, semua restoran bukak AJL.. Cuma satu je bukak game tu. Hiburan 24 jam macam mana bangsa tak rosak. Bila bangsa dah rosak, agama hancur. Makin lalai.. makin leka. Aku cakap ni aku berpesan pada diri aku sendiri ini yang sering lalai dan leka.

Hurm, benda ini aku dah lama nak buat. Cuma tunggu masa yang sesuai sahaja. Aku belum nyatakan perkara ini kat semua orang, hanya orang-orang tertentu sahaja. Bagi aku.. aku rasa aku dah nak delete account facebook aku tu, tapi ada orang cakap account facebook tak boleh delete. Jadi apa masalahnya. Aku ada cara lain nak buat. Aku rasa dalam masa terdekat ini, aku akan buang semua gambar-gambar dan maklumat-maklumat aku di situ. Bila dah buat semua tu maknanya aku dah tak aktif lagi dalam facebook.

Banyak sebab aku rasa aku nak buat macam tu DAN aku rasa benda-benda macam tu dah tak perlu dalam hidup aku. Entahlah. Kadang-kadang benda tu yang menyebabkan kita ni menjadi…… Tapi bagi aku facebook aku tu tetap tak boleh biarkan macam tu je. Sebab dari situ gak aku dapat maklumat merata dunia. Dari hal isu semasa, sukan, politik, dan info-info lain lagi yang dapat menambahkan ilmu pengetahuan aku.

Hmm, cakap pasal ilmu pengetahuan. Ahad lepas aku ada program LDK. Dalam group aku tu ada lebih kurang 13 orang, semua tak tahu nama penuh MB Perak. Aduhh. Aku sebenarnya paling tak suka dengar benda macam ni. Takkan benda tu pun tak peka. Common laa. Bila tanya nama-nama artis, tahu je. Tarikh lahir, nama penuh, cerita panas, album terbaru, lagu terbaru, filem terbaru.. semua tahu. Tapi bila tanya tentang benda-benda yang memang perlu tahu macam isu-isu semasa.. tak tahu. Tu laa aku cakap, tak habis-habis dengan hiburan.

Walaupun kita dari parti mana pun, mesti kena ambil tahu. Aku rasa kalau cuba tanya sesiapa suruh sebutkan semua nama Menteri Besar dan Ketua Menteri kat Malaysia ni mesti ramai yang sangkut. Dalam sepuluh, dua je yang lepas(pendapat aku laa). Tambah-tambah lagi golongan sekitar umur aku ni. Hampeh! Bila cakap isu semasa sikit, ada je yang bersuara “ hal politik aku tak ambil tahu.. aku tak suka politik..”. Kepala otak hang! Ini bukan cakap suka taksuka. Tapi isu semasa, takkan tak ambil peduli. Kalau nak ikut apa yang kau suka memang musnah negara. Silap-silap kena jajah sekali lagi. Golongan muda penentu masa depan negara bhai.

Selain tu, aku rasa macam nak jadi macam dulu balik laa. Jadi seorang yang tak banyak cakap. Penyenyap. Patut laa ada potongan hadith berkata yang kalau rasa kita cakap tu tak bermanfaat lebih baik kita senyap. Kerana senyap itu adalah lebih baik. Takde orang tak puas hati dengan kita kan. Lebih baik apa yang kita nak cakap kita tulis je macam ni. Takde sapa nak marah. Kalau ada orang marah gak, bodoh orang tu. Aku tulis sini pun nak mara. Tempat aku, ruangan aku, peduli laa apa aku nak tulis. Yang kau nak baca pahal? Ehh. Ni aku tak tuju kat sesiapa pun, ni cuma lakonan semata-mata.

Sejak ada kat sini, aku memang dah tak bersukan. Lama dah tak berpeluh. Tu laa sebelum balik sini aku main puas-puas walaupun lutut ni sakit. Sekarang bila ada kat sini tiba masa untuk membuat rawatan lutut ni. Biar rehat betul-betul, boleh pulih sepenuhnya sebelum raya cina ni, InsyaAllah.

Ada benda yang sekarang ini aku rasa yang memerlukan aku menyimpannya tanpa pengetahuan sesiapa. Benda tu aku perlu meletakkan di suatu sudut yang memang orang tak boleh jumpa. Benda tu akan dikeluarkan apabila betul-betul tiba suatu saat yang sangat sesuai. Tapi buat masa ini, aku rasa benda tu takkan dikeluarkan sampailah keadaan memang stabil, ia mungkin untuk jangka masa yang panjang. Dalam masa 5 tahun lagi kott. Itu pun kalau benda tu masih segar untuk aku.

Awak! Best laa awak ada. Banyak benda yang saya nak kongsi bersama awak. Tapi masa tak sesuai kott. Ditambah pula untuk menjaga hati-hati makhluk yang bernama MANUSIA. Biarlah orang tak nampak, namun antara kita sahaja yang ketahuinya kan. Mungkin suatu masa awak jauh lebih pandai dari saya. Tapi masa awak dah berjaya tu, jangan lupa saya pulak taw. Bila masa memang dah betul-betul kuat, masa tu lahh baru kita tunjuk hakikat sebenar. Haha.

Hmm, sekian saje laa. Mungkin lain masa lagi akan diketemukan lagi. Mungkin ada masa aku akan buatkan penulisan tentang menambahkan ilmu rohani dan jasmani kita yang jauh lebih bermanfaat.

Wasalam….

01 January 2011

Permulaan Serba Ringkas

Sudah masuk tahun 2011. Jadi perlu kuat untuk menempuhi pelbagai dugaan yang mungkin mendatangkan. TQ to all my friend. Sahabat-sahabat yang disayangi. InsyaAllah kita bertemu lagi.

Tak banyak yang nak dicakapkan. Ini pun lagi sikit aku dah nak gerak. Mood pun..... Sekali lagi aku ulangi. Sahabat-sahabatku, aku menyayangi anda semua. I Love You All Very Much!!! TQ.