24 March 2011

Korang... Tahniah!!!

Assalamualaikum semua. Bertemu kita kembali dalam entri terbaru dalam ruangan ini.

Sementara menunggu masuknya waktu subuh ini akan aku karangkan sedikit kata untuk entri terbaru ini. Mula sekali,

ALONG… SELAMAT ULANG TAHUN HARI KELAHIRAN yang ke-2* , semoga Allah panjangkan umur lagi dan memberi kesihatan yang sempurna sepanjang hidup. Tahun ini masuk tahun yang kedua bila harijadi along, faiz tiada di sisi. Tidak bermakna kalau faiz jauh di sini, faiz lupa akan detik bersejarah dalam keluarga kita ini. Mungkin sesetengah keluarga harijadi mak, ayah, adik-beradik mereka pun mereka tak ingat, apatah lagi nak wish.

Ada tu pun, umur adik-beradik sendiri tak ingat sedangkan umur artis… fuhh! cekap. Cakap je artis tang mana, tempatan… antarabangsa…. ingat semuanya. Mungkin wujudnya along menjadikan kita sekeluarga rapat kerana along menyebabkan kami bersatu untuk bersama-sama bertanggungjawab. Selagi nyawa dikandung badan, InsyaAllah keluarga akan menjadi keutamaan. Faiz akan menjaga dan memelihara semuanya walaupun ada kepentingan lain.

Kepada angah dan adik-adik aku yang lain. Walaupun apa terjadi, memang bukan sekarang tapi mungkin pada masa akan datang, kita sama-sama memelihara keakraban kekeluargaan kita ini hingga ke akhirat. Kita bersyukur sebab abah dan mama tak pernah jemu mengasuh dan mendidik kita sehingga hari ini. Tiada istilah kita dah besar, abah dan mama tak boleh nak tegur, tak boleh nak sihat. NO!!! Jangan sesekali beranggapan begitu. Mungkin setengah orang merasakan dah besar sangat, sampai mak ayah tegur pun tak boleh… malah marah lagi dengan tunjuk rasa tak puas hati bila kehendak tak dituruti.

Ingatlah abang dan adik-adikku, terjadinya sahsiah kita sebegini kerana ketika kita kecil dahulu abah dan mama sudah puas membentuk kita sehingga terhasilnya kita hari ini. Dahulu semasa kecil… rotan, tali pinggang, hanger menjadi permainan kita kan? Kalau kita langgar apa yang abah dan mama cakap memang benda tu yang singgah di badan-badan kita. Jadi lihatlah hari ini, kita tak macam orang lain. Kita tak mudah memberontak bila abah dan mama cakap. Apa pun Alhamdulillah sebab abah dan mama berjaya membentuk anak-anaknya.

Nanti jangan pula bila kita buat jahat kita salahkan mereka. Nanti bila malaikat tanya, Allah tanya… janganlah kita salahkan mereka. Solat? Memang perkara yang sangat-sangat-sangat ditekankan oleh abah dan mama. Kata orang solat tiang agama kan? Jadi sendiri fikir lahh. Ada ustaz cakap juga, yang membezakan orang Islam dan kafir ialah solat. Jadi kalau kita tak solat? Sendiri jawab laa ye.

Okayy, masuk cerita lain pula.

Semalam keputusan SPM 2010 dah keluar. Kepada adik aku, Fadhli. Tahniah. Kau dah buat yang terbaik. Apa yang kau usaha selama ini, itulah hasilnya. Walaupun aku tak dapat cerita sebenar lagi, tapi gambaran tu aku dah tahu. Untuk adik-adik aku yang lain, bukan adik kandung laa, piqa dan lea. Tahniah gak. Korang memang gempak!!! Apa yang aku harap kat mereka ini, mereka telah buktikan. Apa pun Alhamdulillah. Yang lain apa cerita aku tak dapat apa-apa lagi. Jadi korang bertiga buat masa ini yang aku tahu, teruskan lahh langkah korang. Korang ada cita-cita yang besar. Jangan lah salah pilih jalan. Allah dah lorongkan perjalanan korang ni.

Piqa, aku tahu kau ada cita-cita yang tinggi. Jadi jangan toleh belakang lagi. Terus mengorak langkah. Lea, hahaha. Alhamdulillah. Apa yang nas cakap selama ini jadi kenyataan kan? Lea je tak yakin dengan diri sendiri. Terkejut kott nas dengar lea dapat result tu. Fuhh! Gempak lahh. Jadi apa tunggu lagi, teruskan apa yang lea target selama ini. Untuk mereka berdua ini, ingat korang anak sulung. Jadi korang kena menjadi pembakar semangat untuk adik-adik dan menjadi contoh yang baik juga. Hmm. Adik aku? Pun sama gak. Teruskan apa yang kau dah impikan selama ini. Aku di sini cukup bangga dengan pencapaian korang, apatah lagi abah dan mama, mak dan ayah dorang. Aku hanya mampu tumpang kegembiraan ini. Jangan kita lupa akan Allah. Allah yang memberi segalanya. Dan aku di sini akan tetap terus berdoa untuk kejayaan korang di dunia dan di akhirat. Agak-agaknya balik nanti boleh laa aku makan besar kan? Ye laa, orang dah berjaya. Mesti kena belanja makan ‘pakar motivasi’ dorang ni. Hahahaha.

Okayy, masuk kisah lain lagi.

Sebenarnya tadi aku terkejut dari tidur sebab aku termimpi sesuatu ini. Seriously, aku tak nak benda tu akan menjadi kenyataan. Aku takut. Aku benar-benar takut kalau benda tu menjadi realiti. Aku harap sangat benda itu hanyalah permaianan tidur. Tak nak aku perkatakan lagi benda ini. Cukup lahh sekadar untuk catatan supaya jika apa-apa berlaku, inilah buktinya.

Hmm. Sekali lagi tahniah kepada seluruh mantan calon SPM 2010. Hahaha. Ayat nak best je. Okay lahh, ini sahaja yang dapat aku perkatakan. Azan pun sudah berkumandang, Allah telah memanggil dan aku WAJIB pergi bertemu dengan-Nya. Sekian.

Jarum jam menunjukkan pukul 6.10 A.M.

16 March 2011

Selagi Aku Bernafas

Setelah sekian lamanya aku tidak menulis tentang apa yang terpendam di dalam hati ini, akhirnya sekarang ada juga ruang dan masa untuk aku menterjemahkannya melalui ruangan ini. Mungkin disebabkan tiada masa terluang yang tenang untuk aku menulis semua benda-benda nih. Nak cakap sibuk dengan kerja… mungkin, tapi tak tahu lahh seolah-olah seperti hidup aku ni lebih dibebani dengan bermacam-macam hal.

Banyak perkara yang aku mahu perkatakan, dari sekecil-kecil hal sampailah sebesar-besar hal. Tapi takut orang yang tak larat nak baca pulak. Hahaha. Apa pun sesiapa yang dah terbaca entri ini teruskanlah baca, mungkin ada dapat kebaikan daripadanya tapi mana yang tak baik jangan ikut lahh kan.

Pada suatu ketika, hidup aku memang betul-betul seperti telur dihujung tanduk. Duit dalam akaun aku hanya tinggal rm4 sahaja. Dengar macam tak percaya kan? Seolah-olah macam aku cakap main-main kan? Tapi ada orang-orang yang menjadi saksi tengok resit akaun aku tu. Bayangkan dengan baki akaun yang sekecil itu, mana mungkin aku dapat menghabiskan sisa-sisa hidup aku di sini. Memang rasa macam nak menangis ja. Tapi depan orang ramai aku dapat mengawal air muka seolah-olah aku ni tiada apa-apa masalah.

Cuma orang yang 24 jam dengan aku ja nampak sikap dan perangai aku berubah. Berubah bukan kerna apa, kerna mengenangkan nasib aku berbaki 2 bulan lebih lagi ini. Siapa lagi tak lain tak bukan sahabat aku ni lahh, Alip. Tak kurang juga Azri yang memang risau tengok keadaan aku masa tu. Aku memang sangat berterima kasih kepada sahabat-sahabat aku yang memang ambil berat pasal aku, tapi aku memang tak boleh terima korang nak bantu aku. Sebab bagi aku, aku larat lagi meneruskan hidup walaupun duit aku tinggal macam tu. Bayangkan dalam keadaan macam ni, duit pula takdak… memang tension.

Semuanya akibat baju. Baju yang aku tempah untuk kawan-kawan aku ni. Abang tu yang menyebabkan aku jadi seperti ini. Sehingga sekarang baju itu langsung tak dapat lagi. Arghh! Bengang giler bila cakap pasal ni. Cuma apa yang aku mahu cakap sekarang kepada abang tu walaupun dye TAKKAN terjumpa dan terbaca apa yang aku tulis ini.

BANG! Abang menyebabkan saya terseksa seperti ini sekarang. Abang pun cakap tak serupa bikin. Kejap okay, tapi bendanya tak sampai-sampai gak. Apa pun bang, hari khamis ni hari terakhir saya tunggu perkembangan baju itu. Lepas dari itu saya dah malas nak ambik tahu, TAPI ABANG KENA INGAT!!! AKU TAKKAN BERDIAM DIRI BEGITU SAHAJA. SECARA ZAHIR MEMANG AKU NAMPAK OKAYY TAPI BATIN AKU AKAN BERGERAK. BERGERAK TANPA ABANG DAPAT SEDARI. Duit semua memang kami dah bagi kat abang tapi baju langsung tak nampak apa. Jadi secara rasminya selepas hari khamis ini, AKU HARAMKAN DUIT YANG KAU AMBIL TU. KAU SENANG-SENANG GOYANG KAKI, AKU KAT SINI MERANA. Kau kena ingat, duit tu kau bagi anak bini makan. Jangan sampai kau akan cari aku balik suatu hari nanti. Tak pasal-pasal aku kena bayar kat kawan-kawan ini harga bulat. Kau tak rugi apa, pembeli pun tak rugi apa… TAPI aku yang tengah-tengah ni kena. Takpa bang! Hari ini hari kau, tapi bukan esok atau bukan untuk selamanya. Abang kena ingat hukum dunia. Kalau kat dunia ni abang terlepas, KITA JUMPA DI AKHIRAT. BIAR KITA BERLAWAN DI MAHKAMAH AKHIRAT. Mahkamah yang sangat-sangat adil.

Kepada kawan-kawan yang tak faham situasi aku ni, terima kasih gak. Sepatutnya kena fikir sama-sama. Kalau nak rugi, biar rugi bersama. Tapi korang tak fikir semua tu kan? Takpa. Mungkin korang pun perlukan duit. Dengan korang aku tak kisah. Pada sahabat-sahabat aku yang ketahui kisah ini, terima kasih sebab korang banyak bagi aku semangat dan dorongan. Korang pun banyak kali hulurkan pertolongan kat aku, tapi aku yang susah untuk menerimanya kan. Haha. alip, azri , niza, faizah, jehan. Mereka lahh sahabat yang sering aku kongsi apa-apa suka dan duka.

Cakap pasal sahabat pula, banyak kali gak aku bertikam lidah dengan mereka ini. Masing-masing dengan ego sendiri. Tapi takpa, itulah tandanya proses kematangan. Kematangan dalam ikatan persahabatan. Dengan alip dan azri memang banyak kali berperang mulut. Masing-masing dengan ideologi masing-masing. Tapi kalau bertikam lidah kat situ, kat situ je lahh. Habis di situ je. Tak bawa ke mana pun. Profesional kan. Dengan sahabat perempuan ni pula cara lain pulak, tapi selalu dorang yang bermasam muka, tapi aku buat tak kisah ja. Perempuan… biasa laa kan so buat apa aku nak terikut dengan cara dorang. Kita lelaki mesti matang kann. Itu dah lumrah perempuan, jadi kita ni kena lahh berfikiran positif. Kalau dorg dah tarik muka buat apa kita pun nak tarik muka kann? Kalau macam tu sampai bila pon takde kesudahan. Apa pun, aku tak kisah apa-apa yang berlaku kerna yang penting bagi aku ukhwah yang telah terjalin ini mesti kita pelihara.

Ada sorang sahabat ni, sering aku bergaduh dengan dia. Haha. Kalau boleh setiap hari nak bergaduh. Tapi bila dah macam hampir sebulan asyik macam tu ja aku pun muhasabah balik diri. Ingat balik apa sebab boleh jadi seperti ini. Kalau aku cakap perkara tersebut pembaca pun akan berpihak untuk aku. Tapi tu laa, aku ingat buat apa kita asyik nak bergaduh hanya kerna pendirian kita tuh. Jadi aku buat keputusan untuk menjadi orang yang lebih menyimpan. Apa orang nak buat, buat lahh. Tapi aku cuma boleh nasihat ja. Aku nasihat orang untuk orang berfikir yang mana betul yang mana salah. Kalau nak pilih yang salah gak itu sendiri punya pasal lahh kan. Kadang-kadang timbul sedikit kekesalan dalam diri ini bila kita tahu orang buat kita, sedangkan kita sedaya upaya tak buat orang macam tu. Kita lebih memikirkan hati dan perasaan orang. Kenapa susah sangat nak cakap benda yang betul kan? Cakap ja lahh. Aku jarang sekali bila orang yang rapat dengan aku tanya, aku tak cakap terus terang dengan dorang. Sebab bagi aku biarlah dorg tahu, sebab bagi aku… aku dah anggap dorang sahabat yang rapat dan rasa seperti merekalah sebahagian daripada keluarga kita. Suka duka, pahit getir – kalau boleh nak kongsi bersama. Mungkin setengah orang, lain pandangannya plak kann. Lagi pun aku ni jenis open-minded, tak kisah lahh korang nak cerita pasal apa, cerita lahh. Kita dapat berkongsi perasaan, kalau mungkin aku boleh tolong ke kann? Boleh laa aku tolong. Yang penting jujur lahh kan. Buat apa nak selindung-selindung lagi. Kita kan dah akrab.

Hmm, sampai sini je lahh dulu. Mungkin akan ada entri terbaru lagi untuk membicarakan bermacam hal. Ni belum terkeluar semuanya disebabkan memikirkan masa dan kesesuaian. Lagi pun kalau pembaca yang baca pun akan serabut. Hahaha. Kerana banyak sangat kisahnya. Jadi untuk entri kali ini cuma dua ja point besar : pertama pasal SUMBER KEWANGAN , kedua pasal PERSAHABATAN.

13 March 2011

Taqwa Itu Apa?

Kalimah 'Taqwa' asal maknanya adalah mengambil tindakan penjagaan dan memelihara dari sesuatu yang mengganggu dan memudaratkan.

Menurut Syara', 'Taqwa' bererti : "Menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah Ta'ala dengan jalan melaksanakan perintah-perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi larangan-laranganNya serta menjauhi perbuatan maksiat".

Rasulullah s.a.w. pernah menjelaskan hakikat taqwa dengan sabda baginda yang bermaksud :

"Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintah-Nya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupainya, bersyukur kepada-Nya dan tidak mengkufuri nikmat-Nya".
( Riwayat Imam Bukhari dari Abdullah bin Abbas rha. )

Saidina Umar r.a. pernah bertanya kepada seorang sahabat yang lain bernama Ubai bin Ka'ab r.a. makna taqwa. Lalu Ubai bertanya kepada Umar : "Adakah engkau pernah melalui satu jalan yang berduri? Jawab Umar: "Ya". Tanya Ubai lagi: "Apakah yang kamu lakukan untuk melalui jalan tersebut?".

Jawab Umar : "Aku melangkah dengan waspada dan berhati-hati". Balas Ubai : "Itulah yang dikatakan taqwa".

Menurut Ibnu Abbas r.a. : "Al-Muttaqin (yakni orang-orang bertaqwa) ialah orang-orang beriman yang memelihara diri mereka dari mensyirikkan Allah dan beramal menta'atiNya".

Menurut Hasan al-Basri : "Orang-orang bertaqwa ialah orang-orang yang memelihara diri dari melakukan perkara yang diharamkan Allah dan mengerjakan apa yang difardhukan Allah ke atas mereka".

Berkata Abu Yazid al-Bustami : "Orang bertaqwa ialah seorang yang apabila bercakap, ia bercakap kerana Allah dan apabila ia beramal, ia beramal kerana Allah".

Martabat Taqwa

Menurut Al-'Allamah Mustafa al-Khairi al-Manshuri, taqwa ini mempunyai tiga martabat;

Martabat pertama : Membebaskan diri dari kekufuran

Inilah yang diisyaratkan oleh Allah dengan "Kalimat at-Taqwa" dalam firmanNya :

"...lalu Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya, dan kepada orang-orang mu'min dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimat taqwa ...".
(Surah Al-Fath. Ayat : 26)

Maksud kalimah at-Taqwa dalam ayat di atas ialah kalimah : " لا إله إلا الله محمد رسول الله " atau dua kalimah syahadah. Kalimah ini merupakan kalimah iman yang menjadi asas atau punca kepada taqwa.

Martabat kedua : Menjauhkan diri dari segala perkara yang membawa kepada dosa.

Martabat ketiga : Membersihkan batin (hati) dari segala yang menyibukkan atau melalaikan diri dari Allah swt.

Martabat yang ketiga inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah;

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati melainkan kamu menyerah diri ( kepada Allah swt )."
(Surah Ali Imran. Ayat : 102)

Muslim yang Berjuang dan Bertaqwa

Merentasi era peradaban modern yang menyaksikan keruntuhan akhlak , moral dan aqidah ummah kini di paras bahaya , memerlukan kuasa taqwa yang tinggi untuk kembali membina struktur asas ummat Islam yang kian runtuh .

Taqwa adalah formula tepat untuk memproses penawar bagi memulihkan kecederaan iman yang sangat parah dewasa kini, khasnya dikalangan mereka yang mengaku muslim .

Kecederaan teruk di bahagian iman inilah yang meletakkan ummat Islam turut terjebak dalam kancah perlecehan akhlak, moral dan aqidah.

Saksikanlah, bagaimana dunia kini amnya dan negara kita khasnya dilanda kehancuran peradaban Insaniyyah, sehingga hilang peri kemanusiaan sebaliknya peri kebinatangan menguasai minda sebahagian besar ummat manusia.

Menyedari realiti dunia dan ummah hari ini, marilah kita mengambil kesempatan daripada ibadah puasa yang dijalani sebulan di bulan Ramadhan untuk membina sahsiyyah muslim yang berjuang dan bertaqwa dengan mendidik jiwa, minda dan seluruh pancaindera agar tunduk dan patuh kepada Allah swt. serta siap untuk menjunjung tinggi segala tanggungjawab mempertahan dan memperjuangkan Islam di persada alam ini .

Kitalah selayaknya memikul tanggungjawab sebagai pejuang untuk menyelamatkan diri , dunia dan ummah dari bahana syahwah yang menyimpang jauh dari Manhaj Ilahi .

Pejuang yang dilengkapi sifat taqwa yang mantap sebagai alat keselamatan dan asas kekuatan diri demi memenangi pertembungan antara iman dan kufur , hak dan batil serta islam dan jahiliyyah.

10 March 2011

Mengapa Muslim Biarkan Hati Mati

Hati adalah organ paling utama dalam tubuh manusia dan ia nikmat paling agung diberikan Allah. Hati menjadi tempat Allah membuat penilaian terhadap hamba-Nya. Pada hatilah letaknya niat seseorang.

Niat ikhlas itu akan diberi pahala. Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik agar tidak rosak, sakit, buta, keras dan lebih-lebih lagi tidak mati. Sekiranya berlaku pada hati keadaan seperti ini, kesannya membabitkan seluruh anggota tubuh manusia. Akibatnya, akan lahir penyakit masyarakat berpunca daripada hati yang sudah rosak itu.

Justeru, hati menjadi amanah yang wajib dijaga sebagaimana kita diamanahkan menjaga mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan sebagainya daripada berbuat dosa dan maksiat.

Hati yang hitam ialah hati yang menjadi gelap kerana bergelumang dengan dosa. Setiap dosa yang dilakukan tanpa bertaubat akan menyebabkan satu titik hitam pada hati. Itu baru satu dosa. Bayangkan bagaimana kalau 10 dosa? 100 dosa? 1,000 dosa? Alangkah hitam dan kotornya hati ketika itu.

Perkara ini jelas digambarkan melalui hadis Rasulullah yang bermaksud:


"Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam."

(Hadis riwayat Ibn Majah)


Hadis ini selari dengan firman Allah bermaksud:

"Sebenarnya ayat-ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka sudah diselaputi kotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan."

(Surah al-Muthaffifiin, ayat 14)


Hati yang kotor dan hitam akan menjadi keras. Apabila hati keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan. Ia akan menjadi penghalang kepada masuknya nur iman dan ilmu. Belajar sebanyak mana pun ilmu yang bermanfaat atau ilmu yang boleh memandu kita, namun ilmu itu tidak masuk ke dalam hati, kalau pun kita faham, tidak ada daya dan kekuatan untuk mengamalkannya.


Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud:

"Kemudian selepas itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Pada hal antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir sungai daripadanya dan ada pula antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya. Dan ada juga antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan."

(Surah al-Baqarah ayat 74)


Begitulah Allah mendatangkan contoh dan menerangkan batu yang keras itu pun ada kalanya boleh mengalirkan air dan boleh terpecah kerana amat takutkan Allah. Oleh itu, apakah hati manusia lebih keras daripada batu hingga tidak boleh menerima petunjuk dan hidayah daripada Allah.

Perkara paling membimbangkan ialah apabila hati mati akan berlaku kemusnahan amat besar terhadap manusia. Matinya hati adalah bencana dan malapetaka besar yang bakal menghitamkan seluruh kehidupan. Inilah akibatnya apabila kita lalai dan cuai mengubati dan membersihkan hati. Kegagalan kita menghidupkan hati akan dipertanggungjawabkan Allah pada hari akhirat kelak.

Kenapa hati mati? Hati mati disebabkan perkara berikut:

* Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah.

Allah berfirman bermaksud:
"Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata."

(Surah al-Zumar ayat 22)


* Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani dengan sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitu juga hati.

Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya. Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri.

Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah (berzikir).

Firman Allah bermaksud:

"Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang tenteramlah hati manusia."

(Surah al-Ra'd ayat 28)


Firman-Nya lagi bermaksud:

"Hari yang padanya harta benda dan anak-anak tidak dapat memberikan sebarang pertolongan, kecuali harta benda dan anak-anak orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera daripada syirik dan munafik."

(Surah al-Syura ayat 88-89)


Tanda-tanda hati mati

Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah:

1. Mengaku kenal Allah SWT, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.

2. Mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi mengabaikan sunnah baginda.

3. Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.

4. Memakan nikmat-nikmat Allah SWT, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.

5. Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.

6. Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.

7. Mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.

8. Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.

9. Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.

10. Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya. Semoga dengan panduan yang di sampaikan itu akan dapat kita sama-sama mengambil iktibar semoga segala apa yang kita kerjakan akan diredai Allah SWT.

Menurut Sheikh Ibni Athoillah Iskandari dalam kalam hikmahnya yang berikutnya;

Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan juga tidak menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa.

Mati hati itu adalah kerana tiga perkara iaitu;

* Hubbul dunia (kasihkan dunia)

* Lalai daripada zikirullah (mengingati Allah)

* Membanyakkan makan dan menjatuhkan anggota badan kepada maksiat kepada Allah.

Hidup hati itu kerana tiga perkara iaitu;

* Zuhud dengan dunia

* Zikrullah

* Bergaul atau berkawan dengan aulia Allah.

09 March 2011

Riak Perosak Amal

Allah tidak mengukur amalan hambaNya berdasarkan kuantitinya tetapi berdasarkan kualitinya. Allah tidak menerima ibadat daripada seseorang yang beribadat bukan keranaNya, sebaliknya ibadat yang dilakukan adalah untuk mengaburi mata masyarakat yang memandang.

"Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum. Dan jika mereka berkata kamu mendengarkan perkataan mereka. Mereka adalah seakan-akan kayu yang tersandar. Mereka mengira bahawa tiap-tiap teriakan yang keras ditujukan kepada mereka. Mereka itulah musuh (yang sebenarnya) maka berwaspadalah terhadap mereka; semoga Allah membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka sampai dipalingkan (dari kebenaran)?"
[Surah al-Munafiqun:4]

Berdasarkan ayat di atas, Allah menerangkan salah satu ciri orang-orang munafik. Mereka merupakan seorang yang hebat pada pandangan manusia tetapi tidak pada pandangan Allah. Mereka beribadat dan beramal soleh bukanlah untuk mendapat keredhaan Allah tetapi demi kepentingan sendiri.

Allah telah merakam perbuatan mereka dengan menurunkan surah al-Munafiqun kepada Rasulullah saw. supaya Baginda dan para sahabat berjaga-jaga dengan mereka dan menjauhi sikap mereka.

Telah menceritakan kepadaku dari Malik dari Yahya bin Said dari Muhammad bin Ibrahim bin Al Harits At Taimi dari Abu Salamah bin Abdurrahman dari Abu Sa'id dia berkata;

Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Akan keluar dari kalian suatu kaum, yang solat kalian tidak ada apa-apanya dibanding solat mereka. Juga puasa kalian dibanding puasa mereka. Amalan kalian dibanding amalan mereka. Mereka membaca Qur'an, namun bacaannya tidak melampaui kerongkongan mereka. Mereka keluar dari agama ini sebagaimana anak panah yang melesat dari busurnya. Kamu melihat ke hujung anak panahnya namun kamu tidak melihatnya. Kamu melihat ke busurnya namun kamu tidak melihatnya. Kamu lihat ke pangkal anak panah dan kamu tidak dapat melihatnya. Kamu saling mendustakan dalam pangkal anak panah." Telah menceritakan kepadaku dari Malik telah sampai kepadanya, bahawa Abdullah bin 'Umar tetap mempelajari surat al-Baqarah selama lapan tahun."
[Riwayat Malik:428]

Rasulullah saw. telah memberi peringatan kepada kita akan ada kaum yang kita tidak dapat tandingi solat mereka, puasa mereka dan amalan mereka. Tetapi segala amalan mereka itu hanyalah sia-sia, langsung tidak diterima oleh Allah.

Inilah ciri-ciri orang yang riak dalam melakukan amal soleh. Mereka menunjuk-nunjuk bahawa merekalah yang paling kuat amalannya, paling ikhlas dan paling tawadduk.

Sedangkan Allah Maha Mengetahui akan niat sebenar mereka yang berpura-pura ingin mendapatkan perhatian dan pujian manusia semata-mata.

Riak bukanlah hanya pada orang yang beramal soleh, tetapi setiap daripada kita boleh memiliki perasaan riak tanpa kita sedari.

Contohnya bagi orang yang berilmu, mereka menunjukkan kepandaian mereka dan mencari ilmu hanya untuk diperlihatkan kepada orang ramai betapa pandainya dia dan betapa tingginya ilmu di dada.

Lantaran jika terdapat orang yang berbeza pandangan dengan mereka, mereka akan cepat-cepat membalas dengan hujah yang sangat ilmiah dengan niat supaya orang akan mengagumi kehebatan mereka.

Walau bagaimanapun, sukar untuk kita ketahui niat mereka. Hanya Allah sahaja yang mengetahui apa yang terkandung dalam hati mereka. Kita perlu berbaik sangka terhadap mereka kerana jika kita berburuk sangka, syaitan akan menyelinap dan menghasut kita dengan hasutan yang jelek lagi jijik.

Seperti sabda Rasulullah saw.;

Telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Maslamah dari Malik dari Abu Az Zinad dari al-A'raj dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Jauhilah oleh kalian buruk sangka, sebab buruk sangka adalah sejelek-jelek perkataan. Jangan saling mencari tahu (aib orang lain) dan jangan saling mengata.
[Riwayat Abu Daud:4271]

Begitulah, kita seeloknya diamkan sahaja dan berilah nasihat yang memadai andaikata terdapat ciri-ciri jelas orang yang riak pada kenalan kita mahupun sesiapa sahaja.


Mencari-cari kesalahan itu ditegah oleh Rasulullah saw. kerana syaitan selalu mengambil kesempatan atas peluang itu. Namun, hendaklah kita jauhi sifat riak ini kerana riak merupakan salah satu daripada pecahan syirik.

Sebagaimana sabda nabi Muhammad saw, maksudnya;

Dari Mahmud bin Lubaid dia berkata: Telah keluar Rasulullah saw. sambil berkata, "Wahai sekalian manusia, jauhilah olehmu perbuatan syirik yang tersembunyi." Para sahabat bertanya, "Ya Rasulullah, apakah syirik yang tersembunyi itu?" Baginda menjawab, "Iaitu seseorang berdiri menjalankan solat lalu dia menghiasinya (memanjangkan) solatnya dengan bersungguh-sungguh kerana manusia melihatnya. Itulah syirik yang tersembunyi."
[Sahih Targhib wa Tarhib 1/17]

Seperti dalam hadis yang disertakan, perbuatan menunjuk-nunjuk solat kita kepada orang lain adalah perbuatan riak. Selain perbuatan amal soleh, perbuatan lain juga terdapat riak di dalamnya jika kita tidak ikhlas melakukannya demi Allah sepertimana hadis ini;

Dari Abu Musa al-Asyari dia berkata: "Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah saw. lalu bertanya, "Seorang berperang kerana marah, seorang berperang kerana keberanian dan seorang lagi berperang kerana riak. Manakah antara mereka yang berada di jalan Allah?" Rasulullah menjawab, "Barangsiapa yang berperang agar kalimatullah menjadi tinggi maka dia berada di jalan Allah."
[Riwayat Bukhari dan Muslim, Tirmizi:1646, Ibn Majah:2783]

Jihad pada Allah juga dikhuatiri riak jika niat kita bukan untuk memperjuang agama Allah, dan tidak ikhlas keranaNya.

Bagi yang niat kerana selain daripada Allah adalah amat rugi sekali amalan dan pekerjaan yang mereka lakukan. Ini kerana mereka hanyalah mendapat pujian dan sanjungan manusia sementara sahaja di dunia ini tetapi di akhirat kelak tidak menjamin kedudukan mereka bahkan mungkin akan dicampakkan ke neraka. Wallahualam.

Elakkanlah perasaan bangga diri dan seumpanya. Ikhlaskanlah diri untuk Allah semata-mata. Bimbang kita termasuk dalam golongan yang dibicarakan oleh hadis tersebut.

"Kesombongan adalah selendangKu dan kebesaran (keagungan) adalah sarungKu. Maka barangsiapa melepaskan dariKu satu dari dua tersebut, nescaya akan aku lemparkan ke neraka Jahanam."
[Riwayat Abu Daud:4090, Ibn Majah:4174]

Bagi para penuntut ilmu pula tuntutlah ilmu dengan niat kerana Allah. Bukan niat kerana untuk menambah koleksi sijil lantas menampalnya di rumah, di pejabat dan tempat lain untuk menunjuk kepada orang lain bahawa dialah yang hebat.

Namun, jika ingin mendapatkan sijil supaya menyenangkan proses mencari pekerjaan yang halal demi hidup di atas jalan Allah, itu adalah diharuskan.

Sabda Rasulullah saw.;

"Barangsiapa belajar satu ilmu yang seharusnya hanya mencari redha Allah semata, tetapi dia tidak belajar melainkan untuk mendapatkan keduniaan, maka dia tidak akan mendapatkan walaupun bau syurga di akhirat nanti."
[Riwayat Abu Daud:3664, Ibn Majah:252, Ahmad II/338]

"Janganlah engkau belajar satu ilmu untuk bermegah-megah di hadapan para ulama, mempermainkan orang bodoh serta untuk menguasai majlis. Maka barangsiapa berbuat demikian maka apilah (nerakalah) berhak baginya."
[Riwayat Ibn Majah:254, Ibn Hibban:90, Hakim I/86]

Wallahualam.

08 March 2011

Balaslah Kejahatan Dengan Kebaikan

Di satu sudut pasar Madinah Al- Munawarah ada seorang pengemis Yahudi buta. Hari demi hari apabila ada orang yang mendekatinya dia selalu berkata, "Wahai saudaraku janganlah kamu dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya kalian akan dipengaruhinya."

Namun tanpa disedari pengemis Yahudi buta, setiap pagi Rasulullah SAW mendatanginya dengan membawa makanan. Tanpa berkata sepatah kata pun Rasulullah SAW menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun pengemis itu selalu berpesan agar tidak mendekati orang yang bernama Muhammad. Begitulah yang dilakukan oleh baginda pada setiap hari sehinggalah ke saat kewafatannya.

Setelah kewafatan Rasulullah SAW, tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu. Suatu hari Abu Bakar Radhiallahu Anhu (RA) berkunjung ke rumah anaknya Aisyah. Beliau bertanya kepada anaknya, "Anakku adakah sunnah kekasihku yang belum aku kerjakan?"

Aisyah menjawab pertayaan ayahnya, "Wahai ayahanda, engkau adalah seorang ahli sunnah dan hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayahanda lakukan kecuali satu sunnah saja."

"Apakah itu?", tanya Abu Bakar RA.

"Setiap pagi Rasulullah SAW selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang berada di sana," kata Aisyah.

Keesokan harinya Abu Bakar RA pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikannya kepada pengemis itu. Beliau mendatangi pengemis itu dan memberikan makanan itu kepadanya.

Ketika Abu Bakar RA mulai menyuapkan nasi, si pengemis itu marah sambil berteriak, "Siapakah kamu?"

Abu Bakar RA menjawab, "Aku orang yang biasa."

"Bukan! Engkau bukan orang yang biasa mendatangiku," jawab si pengemis buta itu.

"Apabila dia datang kepadaku, tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapkan aku tetapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut," pengemis itu melanjutkan perkataannya.

Abu Bakar RA tidak dapat menahan air matanya. Beliau menangis sambil berkata kepada pengemis itu, "Aku memang bukan orang yang biasa datang padamu, aku adalah salah seorang daripada sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada lagi. Beliau adalah Muhammad Rasulullah SAW."

Setelah pengemis itu mendengar cerita Abu Bakar RA, dia pun menangis dan kemudian berkata, "Benarkah demikian? Selama ini aku selalu menghinanya dan memfitnahnya. Dia tidak pernah memarahiku walau sedikit pun, malah dia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi. Dia begitu mulia.."

Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadah dihadapan Abu Bakar RA.

06 March 2011

Pemilikan Hakiki

"Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi..." (Surah Al-Baqarah: 284)

"...Kepunyaan Allah-lah perbendaharaan langit dan bumi..." (Surah Al-Munaafiquun:7)

Merasa bahawa kita memiliki sesuatu secara mutlak akan mengundang kesengsaraan jiwa kerana apa yang ada pada kita itu boleh hilang pada bila-bila masa sahaja. Justeru, kita tidak akan redha atau berpuas hati dengan sebuah kehilangan, dan akan menjadi tertipu dengan sebuah pemilikan yang sementara.

Kita tidak memiliki apa-apa dan kita juga bukan milik siapa-siapa selain Dia. Allah lah yang memiliki jiwa-jiwa kita dan segala yang ada di langit dan di bumi. Sedarlah bahawa kita akan kembali, kerana pemilikan Dia adalah sebuah pemilikan tunggal, hakiki dan abadi.

Adapun istilah "milik" yang kita gunakan dalam pembicaraan sehari-hari itu hanyalah sebuah kata yang hakikatnya merujuk kepada sesuatu yang dianugerahkan Allah kepada kita buat sementara, sebagai pinjaman. Setiap sesuatu yang diberikan kepada kita untuk dimiliki di dunia ini pasti akan hilang apabila Dia menentukannya.

Tidak ada sesuatu pun yang berada di atas muka bumi ini yang terlepas daripada pemilikan Allah. Semuanya adalah kepunyaan-Nya secara mutlak, dan hanya Dia yang berhak menentukan dan mengizinkan sesuatu itu berlaku terhadap segala isi bumi. Dia adalah pemilik mutlak yang tunggal, yang mengatur segala perjalanan dunia ini.

"Sekiranya ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah, tentulah keduanya itu telah rosak binasa. Maka Maha Suci Allah yang mempunyai 'Arsy daripada apa yang mereka sifatkan." ( Surah Al-Anbiyaa':22)

Atas kesedaran bahawa kita adalah milik Allah, kita harus mengembalikan segala urusan kepada Allah. Hanya dia yang berkuasa memberikan keputusan terhadap diri kita. Hanya dia yang tahu apa terbaik untuk kita lalu memerintahkannya, dan apa yang buruk untuk kita lalu melarangnya.

Apabila Dia memiliki kita, adakah kita punya hak untuk menentang? Setelah seorang tuan memiliki seorang hamba, tugas seorang hamba adalah ikut dan tunduk patuh kepada tuannya dengan ketaatan yang tiada berbelah bahagi.

Segalanya yang kita miliki adalah milik mutlak Allah. Sekalipun kita merasa teramat sayang terhadapnya, ia tetap akan kembali kepada Allah. Isteri atau suami adalah anugerah Allah. Kita memilikinya hanya untuk sementara dalam melayari perjalanan di atas muka bumi. Bila-bila masa sahaja Allah boleh mengambilnya daripada kita tanpa perlu meminta persetujuan atau kebenaran kita, kerana sememangnya itu adalah miliknya.

Anak-anak adalah anugerah bernilai daripada Allah untuk sementara dan kita takkan selama-lamanya bersama mereka. Kemungkinan Allah memanggil kita kembali sebelum mereka, atau mereka yang diambil pergi.

Harta adalah kurniaan Allah. Apa jua cara ia luput daripada kita bukan permasalahannya. Intinya adalah ia pasti akan luput sedikit demi sedikit kerana Allah yang memberikan kita harta dan Dia menghilangkan daripada kita sepertimana yang dikehendaki-Nya. Hatta jiwa kita adalah hak mutlak Allah dan pasti kembali kepada-Nya. Apa yang tidak menjadi milik-Nya daripada sekian perkara yang kita 'miliki'? Semuanya, adalah kepunyaan Dia.

"Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi..." (Surah al-Baqarah: 284)

Jika kita adalah pemilik mutlak kepada sesuatu, maka semestinya kita boleh menghalang ia hilang daripada kita. Kita pasti tidak akan pernah mampu berbuat demikian. Kita mungkin boleh berbicara dengan yakin, bahawa kita memiliki sesuatu secara pasti, namun kita akan tersadung apabila takdir Allah mendahului kehendak kita.

Hilang, lenyap, luput, mati, tamat, semuanya akan berlaku dan kita sedikit pun tidak dapat menghalangnya. Takut kehilangan dan berusaha untuk terus memiliki sesuatu adalah tanda yang jelas bahawa kita tidak memiliki sesuatu tersebut. Jika kita memilikinya, kita takkan pernah bimbang dan takut.

Dalam memahami pemilikan hakiki ini, Islam mengajar kita untuk bersikap sederhana dalam segala sesuatu. Apabila kita mencintai, janganlah sehingga melampaui batas dan ingin mendahului ketentuan Allah. Apabila kita memiliki sesuatu harta (yang hakikatnya adalah pinjaman), janganlah terlalu bakhil untuk menginfak di jalan Allah. Islam tidak melarang kita daripada berusaha untuk mendapatkan kurnia daripada Allah, kerana dia memberi apabila dia berkenan.

Apa yang paling penting adalah menyerap makna pemilikan hakiki oleh Dia dan tidak merasakan bahawa kita adalah pemilik mutlak kepada segala sesuatu. Dia adalah pemilik dan kita adalah peminjam, kitalah yang berhajat kepada apa yang menjadi milik-Nya, dan dia sama sekali tidak rugi dengan apa yang diberikan-Nya kepada kita.

"Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dialah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji." (Al-Fathir: 15)

Kita selalu merasa ingin memiliki sesuatu. Apabila kita telah memilikinya, kita selalu ingin agar ia tidak luput daripada kita. Kita selalu lupa bahawa ia adalah pinjaman yang pasti diambil kembali. Hai jiwa yang sering tidak puas dengan apa yang ada, dan sentiasa mengejar sesuatu yang bukan milik kita, sedarlah bahawa Dia adalah pemilik hakiki segala yang ada di langit dan segala yang ada di bumi. Apabila engkau meminta, mintalah kepada Dia. Apabila engkau ingin memberi, berilah kerana Dia.

Wallahua'lam.

05 March 2011

Menjawab dan Membuat Panggilan

"Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kamu, dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dikumpulkan." (QS Al Anfaal : 24)


2+4+4+3+4 Rakaat Sehari

Solat merupakan "talian" penghubung dan komunikasi hamba dengan Allah SWT. Solat beerti doa dalam istilah syara' dan doa adalah permintaan. Bagaimanakah kita boleh mencintai jika kita tiada talian penghubung dan komunikasi yang kerap?

Apa itu Solat?

Solat ialah beberapa perkataan dan perbuatan yang didahului dengan takbir dan diakhiri salam dengan syarat-syarat tertentu. Sebelum melakukan ibadat solat, seseorang itu mestilah terlebih dahulu menyucikan diri daripada hadas dan najis. Sekiranya ibadat solat itu dilakukan dalam keadaan dirinya kotor, maka amalan tersebut tidak sah. Solat merupakan tanda pertalian terus seorang hamba dengan Allah. Islam memfardhukan ke atas umatnya melaksanakan solat wajib sebanyak lima waktu sehari semalam.

Solat Subuh sebanyak 2 rakaat , Solat Zohor sebanyak 4 rakaat, Solat Asar sebanyak 4 rakaat, Solat Maghrib sebanyak 3 rakaat, Solat Isyak sebanyak 4 rakaat

Ingatlah Allah SWT Sentiasa

فَإِذَا قَضَيۡتُمُ ٱلصَّلَوٰةَ فَٱذۡڪُرُواْ ٱللَّهَ قِيَـٰمً۬ا وَقُعُودً۬ا وَعَلَىٰ جُنُوبِڪُمۡ‌ۚ فَإِذَا ٱطۡمَأۡنَنتُمۡ فَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ‌ۚ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتۡ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ كِتَـٰبً۬ا مَّوۡقُوتً۬
Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya. Surah An-Nisa , ayat 103

Solat adalah suatu cara istimewa dalam interaksi dengan Allah Satu daripada tujuan umat berkomunikasi dengan-Nya adalah untuk memohon pertolongan. Firman-Nya:

وَٱسۡتَعِينُواْ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِ‌ۚ وَإِنَّہَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى ٱلۡخَـٰشِعِينَ
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.
Surah Al-Baqarah: Ayat 45

03 March 2011

Petua Mencuci Hati

Segala aspek kehidupan ini bermula daripada hati. Oleh itu di bawah ini ada beberapa cara bagaimana hendak mencuci hati. Diolah oleh pakar motivasi Datuk Dr. Haji Fadzilah Kamsah.

1. Dirikan solat dan banyakkan berdoa – Ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan. Semasa berdoa turut katakan "Ya,Allah jadikan hatiku bersih"

2. Selawat keatas Nabi Muhammad s.a.w paling minima 100 X sebelum tidur – Ini merupakan satu pelaburan yang mudah dan murah. Disamping dosa-dosa diampunkan, otak tenang, murah rezeki, orang sayangkan kita dan mencetuskan semua perkara kebaikan.

3. Solat taubat – Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati dan menenangkan minda.

4. Membaca Al-Quran – Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa, penyembuh, penenang, terapi. Sekurang- kurangnya bacalah "Qulhu-allah" sebanyak 3X.

5. Bermaaf-maafan sesama kawan dan orang sekeliling setiap hari.

6. Bisikan kepada diri perkara yang positif – Jangan sesekali mengkritik, kutuk diri sendiri, merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri.katakan lah "Aku sebenarnya......(perkara yang elok-elok belaka)

7. Program minda/cuci minda – Paling baik pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata, katakan di dalam hati : "Ya, Allah cuci otak aku, cuci hatiku, esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif". Menurut kajian psikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya – cubalah!!

8. Berpuasa – Sekiranya dalam berpuasa terhindar dari melakukan perkara-perkara kejahatan.

9. Mengingati mati – Sekiranya hendak melakukan sesuatu kejahatan, tidak sampai hati kerana bimbang akan mati bila- bila masa.

10. Kekalkan wuduk.

11. Bersedekah.

12. Belanja orang makan.

13. Jaga makanan – jangan makan makanan yang shubhah.(diragui halal dan haramnya.)

14. Berkawan dengan ulama'.

15. Berkawan dengan orang miskin (menginsafi.)

16. Pesan pada orang, jadi baik.

17. Menjaga pacaindera (mata, telinga, mulut dan lain-lain.)