30 August 2009

Ramadhan Sia-sia Tanpa Fokus

Sepertimana yang telah kita ketahui, bulan Ramadhan ada kelebihannya yang tersendiri yang tidak dapat di dalam bulan-bulan lain disamping tuntutan melaksanakan ibadah berpuasa yang menjadi trademark bulan Ramadhan. Kelebihan yang ada merupakan salah satu daripada banyak-banyak nikmat yang Allah berikan kepada kita diantaranya, Allah menjadikan setiap bulan-bulan Islam itu ada kelebihan dan ceritanya yang tersendiri. Bagi bulan Ramadhan, ibadah puasa dan ibadah-ibadah lain yang dilakukan akan mendapat ganjaran pahala berganda. Ianya juga menjadi titik tolak kepada keberjayaan seseorang dalam mencapai pangkat 'muttaqin' sebagaimana yang disebutkan di dalam firman Allah s.w.t :

"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." (Surah Al-Baqarah, ayat ke-183).

Ya ! Taqwa menjadi kayu ukur kepada pencapaian seseorang itu sebagai hamba Allah. Tanpa taqwa , hidup seribu tahun pun ia tetap tidak berguna. Maka apakah kunci taqwa? Salah satu jawapan yang boleh saya kongsi ialah 'fokus'.

Sebenarnya setiap ibadah yang dilakukan samada di dalam bulan Ramadhan mahupun diluar bulan Ramadhan perlu kepada fokus. Ibaratnya seperti pertandingan menembak. Mata yang memerhati objek itu tidak boleh hilang fokusnya. Sekiranya si penembak gagal mengawal matanya serta anggotanya supaya sentiasa di dalam keadaan fokus, maka objek yang ditembak pasti tidak mengena. Maknanya di sini, fokus boleh diterjemahkan dengan beberapa maksud. Diantaranya ialah khusyu' dan kata kuncinya ialah sebagaimana sabda Nabi s.a.w:

"Engkau beribadah seolah-olah engkau melihat Allah, maka sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, sesungguhnya Allah melihat kamu."

Di awal surah Al-Mukminun, ada menyatakan bahawa fokus itu merupakan salah satu kunci yang membawa kepada kejayaan.

"Berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyu' di dalam solatnya."

Jika kita lihat, semasa bulan Ramadhan, antara ibadah-ibadah utama yang dituntut untuk dilaksanakan ialah berterawih, membaca Al-Quran dan bersedekah. Maka, yang dikatakan pahala amalan akan digandakan ketika bulan Ramadhan adalah bergantung kepada kualiti dan kuantitinya. Kalau terawih kuantiti rakaatnya banyak akan tetapi fokusnya sedikit , maka ganjarannya berdasarkan apa yang dilaksanakan. Apatah lagi, kalau tiada fokus lansung, maka ibadah tersebut menjadi sia-sia. Saya kadang-kadang terfikir, apakah matlamat kita sebenarnya? Kalau kita kata, kita inginkan keampunan, maka keampunan itu tidak akan diperolehi tanpa fokus.

Contohnya, fokus kita hilang ketika berpuasa atau ketika menunaikan solat terawih. Kita mengisi waktu puasa kita dengan perkara sia-sia bahkan lebih teruk lagi kita tuliskan di buku catatan amalan puasa kita dengan perkara-perkara dosa. Sedangkan, jika keampunan adalah matlamat kita, maka fokuslah kearahnya. Manakala solat yang tidak khusyuk itu sebenarnya tidak lebih hanya menyakitkan pinggang kita dan melenguhkan sendi-sendi kaki yang menahan bebanan berat badan. Maka solat kita musnah tanpa sebarang kesan akibat tiada fokus atau kekhusyukan.

Mungkin ada diantara kita, pernah melalui situasi ini, maka beristighfarlah. Saya yakin, syaitan pasti tidak menyukainya. Diantara janji syaitan ialah mereka ingin melihat manusia berada di dalam keadaan faqir. Iaitu faqir pahala manakala sebaliknya mereka berjanji untuk menjadikan kita orang yang kaya dengan dosa. Bulan Ramadhan adalah bulan jihad. Orang kata syaitan tidak ada, tapi kita tahu nafsu masih ada dan takkan melepaskan kita kecuali maut telah tiba. Dan disitulah peranan jihad.

Jihad juga memerlukan fokus kerana jihad tidak terjadi andai tiada ujian dan cabaran. Maka, nafsu adalah cabaran utama bagi orang yang berpuasa. Contoh fokus di dalam jihad ialah, tidak membiarkan minda kita dikuasai kehendak nafsu yang mengurangkan atau menghilangkan pahala puasa ketika kita menurut kehendaknya yang tidak pernah puas. Puasa adalah perisai. Maka fokus adalah perlu bagi memperolehi puasa yang bermakna. Kalau hampir 14 jam kita menahan lapar dalam sehari, janganlah dengan sekelip mata di waktu berbuka, kita menjadi gelojoh. Sebaiknya berbukalah dengan cara sederhana supaya fokus kita berterusan tanpa gangguan nafsu yang sentiasa menggoda. Oleh sebab itu perut yang lapar dapat menajamkan fikiran manakala perut yang kenyang adalah sebaliknya.

Pengalaman berbuka puasa di dalam bulan Ramadhan adakalanya tidak membawa erti apa-apa jika tidak bersederhana. Natijahnya apabila tiba waktu menunaikan solat terawih, kita gagal memberi fokus melainkan hanya merelakan anggota digerak-gerakkan penuh paksa. Allah s.w.t berfirman :

"Celakalah bagi orang-orang yang sembahyang, iaitu orang-orang yang lalai di dalam sembahyang mereka." (Surah Al-Ma'uun : ayat ke-4 & 5)

Bagi diri saya, saya menyedari hal ini kerana adakalanya atau sering saja kita hilang fokus ketika bersolat begitu juga keadaannya ketika berpuasa. Sebenarnya tulisan ini, adalah untuk kita bersama lebih-lebih lagi diri saya. Maka, istighfar dan taubatlah sebagai jalan penghapus dosa. Iaitu dosa di atas fokus yang hilang dan dosa maksiat yang telah dilakukan. Ingatlah bahawa bulan Ramadhan juga adalah bulan taubat dan pengampunan.

"Barangsiapa berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharap pahala, nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu." (HR Bukhari, no. 1901; Muslim, no. 760).

Maka, fokus menjadi aset menuju taqwa. Ramadhan yang dilalui akan menjadi sia-sia tanpa fokus. Bersama jadikan madrasah Ramadhan sebagai momentum perubahan.

Ganjaran Eksklusif Puasa

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Segala lafaz pujian bagi Allah, Tuhan yang Menguasai sekalian alam. Maha suci Allah, Tuhan Pemilik ‘Arasy yang agung. Selawat dan salam ke atas semulia-mulia makhluk, Sayyidina Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam, juga kepada ahli keluarga baginda yang mulia serta para sahabat baginda yang terpuji.

Ayuh, marilah kita sama-sama merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu wa ta’ala kerana dengan keizinan-Nya kita masih lagi diberikan kesempatan untuk melalui madrasah hebat bulan Ramadhan yang mulia ini. Jika Allah Subhanahu wa ta’ala menghendaki untuk kita tidak lagi berkemampuan untuk memanfaatkan bulan Ramadhan ini, sudah tentu hal itu cukup mudah. Boleh sahaja kita diberikan kesakitan yang dahsyat yang dengan sebabnya kita tidak mampu berpuasa. Atau, mungkin sahaja kita ditimpakan kemalangan sehingga kita tidak lagi mampu berdiri untuk solat tarawih serta solat-solat sunat yang lain. Hampir setiap hari kita boleh membaca di dalam surat khabar, atau melihat di kaca televisyen berita tentang kematian melalui kemalangan dan sebagainya. Seharusnya hal tersebut memberikan kita satu pengajaran bahawa seandainya Allah menghendaki untuk menjadikan Ramadhan ini yang terakhir buat kita, maka pasti mudah sahaja untuk Allah mencabut nyawa kita. Justeru, sewajarnya kita bersyukur kepada Allah Subhanahu wa ta’ala atas kesempatan yang masih diberikan kepada kita ini.

Seterusnya, seharusnya kita mengambil kesempatan dengan sebaik-baiknya di bulan Ramadhan ini untuk mendapatkan ganjaran dan manfaat dengan sebanyak-banyaknya kerana ibadah puasa di bulan Ramadhan ini dijanjikan dengan ganjaran yang begitu banyak; sehinggakan, sesetengah para ulama menyatakan bahawa sesiapa yang tidak berusaha dengan bersungguh-sungguh membanyakkan ibadah di bulan Ramadhan bagi mengejar dan merebut manfaatnya, maka orang tersebut adalah orang yang bodoh.

Analoginya mudah: bayangkan, ada seseorang datang kepada kita menawarkan kepada kita wang tunai bernilai jutaan ringgit dengan syarat kita melakukan beberapa kerja mudah seperti memujinya, mengucapkan terima kasih kepadanya dan sebagainya. Nah, bukankah orang yang melepaskan peluang duniawi seperti itu, adalah orang yang bodoh. Maka, begitu jugalah orang yang melepaskan peluang mendapatkan ganjaran tidak terhingga yang disediakan melalui ibadah puasa di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Hadith terbaik yang menceritakan kepada kita tentang kelebihan ibadah puasa di bulan Ramadhan adalah sebuah Hadith Qudsi yang dikeluarkan oleh Bukhari dan Muslim di dalam Sahih mereka masing-masing.

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda (yang kira-kira bermaksud):

“Setiap amalan anak Adam itu baginya. Satu kebaikan dibalas dengan 10 ganjaran hingga 700 kali ganda.” Firman Allah ‘azza wa jalla: “Melainkan puasa, sesungguhnya ia adalah bagiKu dan Akulah yang akan membalasnya. Sesungguhnya dia meninggalkan syahwat, makanan dan minumannya semata-mata kerana Aku. Bagi orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan: kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya, dan bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi.” (Dikeluarkan oleh Bukhari, Muslim, Ahmad, an-Nasa’I, Ibnu Majah, al-Darimi)

Di dalam hadith tersebut dijelaskan kepada kita bahawa setiap amal kebaikan yang dilakukan itu adalah untuk kita. Hal ini bermakna, setiap amal kebaikan itu, di hari akhirat kelak, akan menjadi ‘bekalan’ kita ketika dihisab. Di hari akhirat kelak, apabila ada seseorang yang pernah membuat kejahatan atau kezaliman ke atas seseorang, maka orang yang dizalimi atau disakiti itu akan datang kepada orang yang menzalimi atau menyakiti itu untuk menuntut haknya. Lalu, orang yang menzalimi itu akan terpaksa memberikan amal kebaikannya itu tadi kepada orang yang dizaliminya itu. Maka setiap amal kebaikan kita, akan kita jadikan sebagai ‘bayaran’ kepada orang yang pernah kita zalimi seperti orang yang pernah kita curi barangnya, pernah kita tebarkan fitnah atasnya, pernah kita umpat, keji dan sebagainya.

Kecuali puasa, kerana Allah Subhanahu wa ta’ala menyatakan dengan jelas bahawa puasa itu adalah bagi Allah, dan Allah yang membalasnya. Maka, amal kebaikan puasa tidak dibenarkan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala untuk dijadikan sebagai tebusan terhadap kesalahan-kesalahan yang pernah kita lakukan di dunia ini. Mudah-mudahan, andaikata amal kebaikan kita yang lain kelak habis disebabkan banyaknya kejahatan yang kita lakukan, dengan sebab amalan puasa kita itu boleh menjadi penyebab untuk kita dimasukkan ke dalam syurga Allah.

Begitu juga dinyatakan di dalam hadith tersebut, bahawa bagi setiap amal kebaikan yang lain, kita akan diberikan ganjaran antara 10 ke 700 kali ganda ganjaran. Apabila seseorang daripada kita melakukan kebaikan, maka para malaikat akan mencatatkan kebaikan tersebut, bergantung kepada nilai ganjaran yang akan diperolehi berdasarkan kepada keikhlasan dan sebagainya.

Namun, bagi ibadah puasa ini tidak ada hadnya. Oleh sebab itu, tuan guru yang dikasihi, Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki menyatakan bahawa ibadah puasa ini tidak dapat dicatat oleh para malaikat berapakah ganjaran yang hendak diberikan. Maka, ganjaran bagi ibadah puasa ini akan diberikan sendiri oleh Allah Subhanahu wa ta’ala dan oleh sebab itulah dinyatakan juga di dalam hadith tersebut, kegembiraan kedua yang akan diperolehi oleh orang yang berpuasa adalah apabila bertemu dengan Tuhannya kerana pada ketika itu ia akan diperlihatkan dengan ganjaran daripada ibadah puasanya. Inilah ganjaran eksklusif ibadah puasa di bulan Ramadhan ini.

Maka, untuk mendapatkan ganjaran yang hebat tersebut, perlulah kita bermujahadah dan memastikan kualiti ibadah puasa kita berada di tahap yang terbaik.

Ingatlah bahawa Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam ada memberikan satu peringatan kepada kita bahawa di kalangan semua umat Islam yang berpuasa di bulan Ramadhan, begitu ramai sekali yang gagal mendapatkan apa-apa manfaat daripada kelebihan ibadah ini melainkan sekadar merasakan lapar dan dahaga.

Mudah-mudahan kita tidak termasuk di dalam golongan itu. Apa yang penting adalah kita memastikan kita memelihara semua arahan dan suruhan Allah Subhanahu wa ta’ala, dan membanyakkan bersabar. Hal ini demikian kerana sebahagian besar daripada amalan puasa itu adalah sifat sabar dan balasan bagi sifat sabar tiada batasnya. Sabar terbahagi kepada tiga jenis yakni sabar dalam mentaati perintah Allah, sabar dalam meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah, serta sabar dalam menerima taqdir Allah yang perit dan menyakitkan.

Justeru, bagi memastikan kita mendapat kualiti ibadah puasa yang terbaik hendaklah kita bersabar dalam mengerjakan ketaatan kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. Segala yang wajib hendaklah kita laksanakan dan segala yang haram hendaklah dijauhi. Bersabarlah dalam menghadapi keperitan rasa lapar dan dahaga, rasa lemah badan, serta apa-apa sahaja ujian dan dugaan dalam bentuk kesusahan, kesempitan, kerunsingan dan sebagainya yang mungkin dihadapkan kepada kita oleh Allah Subhanahu wa ta’ala dengan tujuan untuk menguji dan melatih keimanan kita. Hendaklah kita yakin dengan janji dan jaminan Allah Subhanahu wa ta’ala kerana janji Allah itu janji yang benar.

Wallahu’alam.

29 August 2009

'Checklist' Amalan di Bulan Ramadhan

4.00 pagi

1.Bangun berdoa kepada ALLAH dengan doa:


“Segala puji bagi ALLAH yang telah menghidupkan aku setelah DIA mematikan aku dan kepadanyalah aku akan dikembalikan.”


2.Berniatlah untuk melaksanakan sebanyak-banyak kebaikan hari itu.
3.Mandi dan membersihkan diri.
4.Mengambil whudu' dan memakai pakaian yang suci untuk beribadah, berwangi-wangian.


4.20 pagi

1.Solat sunat Taubat
Rakaat pertama selepas Al-Fatihah baca surah Al-Kafirun, Rakaat kedua selepas Al-Fatihah baca surah Al-Ikhlas. Selepas sembahyang, angkatlah tangan memohon ampun kepada ALLAH. Menangislah menyesali dosa-dosa.

2.Solat sunat Tahajjud.
Rakaat pertama selepas Al-Fatihah baca surah Al-Kafirun, Rakaat kedua selepas Al-Fatihah baca surah Al-Ikhlas. Selepas sembahyang, angkatlah tangan berdoa kepada ALLAH.

3.Solat sunat Hajat
Rakaat pertama baca Al-Fatihah dan ayatul Kursi 1 kali. Rakaat kedua baca Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas 11 kali. Ketika sujud terakhir baca 11 kali surah Al-Ikhlas dan sertakan di dalam hati segala hajat-hajat kita.

4.Solat sunat Witir
Selepas salam, bangun lagi dan sembahyang witir 1 rakaat. Perbanyakkan berdoa kepada ALLAH dengan penuh rasa kehambaan, rendah diri, meminta-minta, merintih-rintih, agar ALLAH ampunkan dosa-dosa kita, terima taubat kita, terima amalan kita, memperkenankan doa dan permintaan kita.


5.00 pagi

1.Makan sahur
2.Mengosok gigi dan membersihkan sisa-sisa makanan di mulut.


5.30 pagi

1.Bersiap menunggu waktu Subuh dengan membaca Al-Quran atau berselawat. Sembahyang sunat Subuh, sembahyang Subuh berjemaah. Selesaikan wirid harian di tikar sembahyang atau baca Al-Quran hingga terbit matahari.

2.Elakkan tidur selepas Subuh, kerana waktu itu adalah waktu paling berkat untuk memulakan pekerjaan.


7.00 pagi

1.Membuat persiapan ke tempat kerja. Melangkah ke tempat kerja dengan membaca Bismillah dan dengan berniat dengan niat yang baik-baik.

2.Mulakan kerja dengan Bismillah dan doa kepada ALLAH agar semua aktiviti kita diberkatiNYA, Sentiasa berselawat kepada Rasulullah SAW samada menyebutnya atau di hati.

3.Banyakkan istighfar/meminta ampun. Melaksanakan kerja dengan bersemangat dan penuh bertanggung jawab. Datangkan rasa bahawa ALLAH sentiasa memerhati kerja-kerja yang dilakukannya dan yakinlah DIA akan membalas segala kebaikan yang kita buat.


10.00 pagi

1.Sembahyang sunat Dhuha, Ia adalah sumber rezeki yang berkat kalau istiqamah diamalkan.

2.Penuhi masa rehat tengahari dengan menambah ilmu atau membaca Al-Quran. Elakkan sungguh-sungguh dari melakukan dosa walaupun kecil dan perkara yang sia-sia.
Contoh dosa-dosa : Mengumpat mengutuk,menyindir yang menyakitkan orang,bergaul bebas tanpa menjaga syariat seperti berbual dengan yang bukan muhrim mengenai perkara yang tiada sangkut paut dengan kerja


12.45 tengah hari

1.Bersiap untuk solat Zohor.
2.Menunggu waktu sembahyang dengan berselawat. Solat Zohor berjemaah.
3.Laksanakan juga solat sunat Rawatib Bersujud syukurlah setelah selesai sembahyang sunat dan wirid sebagai berterima kasih kepada ALLAH yang memberi kita nikmat besar dapat menyembahNYA.


4.15 petang

1.Bersedia untuk solat Asar.
2.Solat Asar berjemaah. Laksanakan juga solat sunat Qabliyah.
3.Bersujud syukurlah setelah selesai sembahyang sunat dan wirid sebagai berterima kasih kepada ALLAH yang memberi kita nikmat besar dapat menyembahNYA


5.30 petang

1.Membeli barang-barang keperluan berbuka dan sahur tanpa berlebih-lebih. Ingatlah walaupun Syaitan dirantai tetapi nafsu masih ada dalam diri kita!




6.30 petang

1.Memperbanyakkan doa sebelum berbuka kerana di waktu itu adalah masa yang mustajab doa. Ingatlah sabda Rasulullah SAW : "Ramai orang yang berpuasa, yang mereka dapat hanya lapar dan dahaga", merintihlah kepada ALLAH memohon agar amalan kita diterima.

2.Apabila masuk waktu Maghrib, bacalah doa berbuka :


“Wahai Tuhan, kerana Engkaulah aku berpuasa, kepada Engkaulah aku beriman dan dengan rezki engkaulah aku berbuka.”


3.Berbuka puasa dengan makanan yang manis seperti buah kurma dan jangan makan terlalu banyak.

4.Seeloknya setelah memakan kurma dan meminum air, terus menunaikan solat maghrib berjemaah, setelah itu barulah makan makanan yang berat.


8.00 malam

1.Solat Isya' berjemaah dan diteruskan dengan solat Taraweh
2.Cuba pertahankan solat taraweh walau bagaimana keadaan sekalipun kerana fadhilatnya amat besar. Bacalah Al-Quran dengan penuh tawadhuk, seeloknya baca dengan bertadarus (berkumpulan bergilir-gilir, seorang baca, yang lain menyemaknya), cuba khatamkan membaca Al-Quran paling kurang satu kali sepanjang ramadhan. Kebanyakan imam-imam besar mengkhatamnya dua kali dalam sehari (60 kali sebulan Ramadhan)


11.00 malam

1.Memperbanyakkan istighfar sebelum tidur.
2.Berniatlah untuk puasa esok hari.
3.Tidur awal agar dapat bangun awal untuk beribadah.
4.Bacalah doa tidur :


"Dengan namaMU Ya ALLAH! Aku hidup dan mati. Ingatlah tidur adalah mati yang sementara, kemungkinan kita dipanggil ALLAH ketika tidur."

28 August 2009

Adakah H1N1 Merupakan Konspirasi Kapitalis?

Berikut merupakan artikel yang ditulis oleh Hishamuddin Rais:

Saya selalu mendengar cerita bagaimana di beberapa selekoh di lorong-lorong motosikal, akan ada paku-paku tajam ditaburkan. Ia bertujuan membocorkan tayar.

Tidak berapa jauh dari tempat paku itu, ada pula iklan "tukar tiub".

Saya juga diberitahu oleh kawan baik saya bahawa di jalan menuruni terowong lebuh raya Karak sering ditaburkan minyak. Pernah sekali keretanya tergelincir.

Tidak jauh dari terowong ini, ada lori tarik kereta menunggu.

Cerita ini contoh taktik untuk menjalankan perniagaan - cara mencari pelanggan. Dalam dunia perniagaan, rukun imannya ialah keuntungan. Semua peniaga ingin mendapat untung.

Lebih banyak untung, lebih cepat jadi kaya.

Hari ini kita semua tahu bagaimana seramai 71 orang telah ditewaskan oleh virus selesema A (H1N1). Wabak ini sedang menular bukan sahaja di negara kita, malah di seluruh dunia.

Apa sebenarnya semua fenomena ini?

Pada 1963, satu persidangaan diadakan di Iron Mountains, tidak jauh dari Hudson New York. Ketika ini Amerika Syarikat sedang bertarung di Vietnam, Laos dan Kemboja.

Persidangan para pemikir ini untuk membuat dasar bagi pihak kuasa imperial Amerika Syarikat. Pemikir-pemikir ini ingin mencari jalan bagaimana sistem ekonomi kapitalis dunia ini dapat diteruskan tanpa berlaku peperangan.

Laporan dari Iron Mountains telah mengajukan:

- Pertambahan penduduk di bumi akan membawa laba kepada kaum korporat,
- Perang wajib berlaku untuk tujuan ekonomi, politik dan perkembangan sosial,
- Melahirkan musuh sebagai strategi politik.

Dari sinilah lahir keinginan untuk mengawal genetik dan pembunuhan besar-besaran dalam usaha untuk mengawal manusia bagi memastikan keuntungan terus dapat dikaut oleh kaum kapitalis.

Di sini juga bermulanya apa yang akan kita kenali sebagai keganasan biologi – bioterrorism. Teknologi hayat akan digunakan sebagai senjata untuk mengawal umat manusia.

Pada 1970 telah keluar satu memo, National Security Memo No: 200. Memo ini ditulis oleh Henry Kessinger yang menimbulkan bagaimana wajib dikawal ledakan penduduk yang semakin bertambah dalam dunia hari ini.

Memo No: 200 ini mencadangkan agar dijalankan usaha untuk mengurangkan penduduk dunia.

Petikan sebahagian kandungan memo tulisan Kessinger:

"There is a major risk severe damage to world economy, political and ecological syatem begin to fail to our humanitarian values. The urban slums dwellers (though apprently not recent migrants) may serve as a volatile, violent force which threatened political stability.

International relation - population factors are crucial in and after determinants of violent conflicts in developing areas. There is no single approach which will solve the population problem.

The complex social and economic factors involved call for comprehensive strategy… At the same time action and program must be tailored to specific countries and group."

Dalam bahasa mudah, Kessinger melihat manusia miskin – penduduk miskin kota - sebagai sampah dan perlu dikawal dan dibersihkan. Ia samalah dengar dasar 'setinggan sifar' yang selalu diuar-uarkan dalam negara kita ini.

Justeru, hari ini ada berpuluh-puluh lembaga, badan dan makmal sedang membuat kajian biologi. Ada yang bergantung rapat dengan universiti. Ada yang berkait rapat dengan kaji selidik tentera. Ada yang diwujudkan oleh syarikat pembuat ubat.

Malah semua makmal penyelidikan ini kait-mengait antara satu sama lain. Lembaga-lembaga ini semuanya mendapat dana daripada syarikat pembuat ubatan-ubatan dan mendapat kontrak daripada Jabataban Pertahanan Amerika Syarikat.

Semua lembaga dan makmal ini adalah lembaga kapitalis. Tujuan penyelidikan ilmiah mereka untuk membuat keuntungan maksimum. Ilmu pengetahuan mereka bukan digunakan untuk kesejahteraan umat manusia tetapi untuk mencari jalan agar perniagaan mendapat untung besar.

Syarikat ubat-ubatan bernabikan keuntungan. Lagi ramai yang sakit, lagi baik untuk ubat dijual. Kesihatan ialah perniagaan – inilah dasar kaum kapitalis.

Justeru, jangan terperanjat jika saya nyatakan bahawa virus AIDS, HIV, Ebola semuanya lahir dari bilik makmal.

Seperti memerangkap Mat Rempit agar tayar motosikalnya bocor, begitu jugalah kajian biologi di bilik-bilik makmal yang sedang dilakukan oleh kaum kapitalis ini.

Kaum kapitalis multinasional ini ingin memerangkap – bukan dengan menjual tiub. Mereka melepaskan virus-virus ini dengan dua tujuan:

1 – mengurangkan penduduk dunia, dan
2 – menjual ubatan.

Tidak masuk akal? Ia hanya teori konspirasi? Ia pandangan gila Hishamuddin Rais? Sabar dahulu.

Cuba fikirkan pula bagaimana depleted uranium (DU) sedang digunakan dalam perang di Iraq dan Afghanistan. Peluru-peluru baru yang dibuat oleh syarikat persenjataan menggunakan DU dalam peluru yang dapat meledakkan apa sahaja – dari kereta perisai hingga ke tembok-tembok tebal.

DU ini, daripada apa yang diheboh-hebohkan, adalah uranium yang telah mandul kuasanya. Justeru tidak berbahaya kepada manusia. Kenyataan ini bohong!

Kajian demi kajian telah dijalankan yang menunjukkan DU ini masih membawa padah dan malapetaka yang maha hebat kepada umat manusia.

DU akan melahirkan barah. Anak-anak yang baru lahir di Iraq dan Afghanistan – apabila ibu atau ayahnya telah terhidu DU – akan lahir bukan seperti bayi.

Ada yang berkepala besar. Ada yang bermata satu. Ada yang bengkang-bengkok. Bayi-bayi ini gergasi cacat yang dimunculkan oleh teknologi kaum imperial Anglo-Amerika.

Tujuan penggunaan DU ini cukup jelas. Penduduk akan berkurangan. Yang hidup akan terus-menerus memerlukan ubatan – ertinya mereka akan terus membeli ubat.

Ini pandangan karut daripada Hishamuddin Rais? Kerana DU juga terkena kepada tentera mereka juga. Betul?

Memang betul ada beribu-ribu tentera British dan soldadu Amerika yang telah mengambil bahagian dalam perang Desert Storm dan sedang menghadapi apa yang dipanggil Gulf Syndrom.

Ia adalah penyakit baru - pengidapnya akan mati perlahan-lahan. Pada akhir 1980-an, para veteran Desert Storm di United Kingdom menuntut agar Golf Syndrom ditakrif sebagai penyakit.

Permintaan ini telah ditolak oleh kerajaan. Kerajaan menafikan wujudnya penyakit ini.

Para veteran – satu demi satu mati. Anak-anak mereka yang baru lahir ramai yang cacat sama seperti yang terjadi di Iraq dan Afghanistan.

Jangan hairan, kaum kapitalis memang tidak berhati perut. Apa yang penting, keuntungan besar. Dan ini juga selari dengan dasar yang telah dibincangkan di Iron Mountains.

Ia juga dasar yang sedang dijalankan mengikut Memo No: 200 yang disarankan oleh Kessinger.

Umat manusia perlu dikurangkan dalam dunia ini agar mereka yang kaya terjamin kesempurnaan hidup mereka - samalah seperti mengawal penduduk Kampung Kerinchi daripada berpindah ke Country Height atau menggodam setinggan di Kampung Berembang atau Buah Pala agar mereka tidak berani membuat rumah di Bukit Tunku.

Juga, hampir kesemua soldadu yang berperang itu adalah anak-anak kelas bawahan. Mereka ini, seperti kata Kessinger, sampah yang akan membawa masalah.

Soldadu Amerika hampir 80 peratus berkulit hitam dan Latino. Menghantar mereka ke medan perang cara terbaik untuk mengurangkan jumlah mereka.

Anak-anak orang kaya tidak akan masuk menjadi tentera. Malah George W Bush sendiri telah mengelak daripada pergi menyertai Perang Vietnam.

Apabila saya membaca, mengkaji dan meneliti dokumen yang "dibebaskan" atau yang telah dibocorkan, maka ternyata virus terbaru Influenza A (H1N1) ini juga telah menetas dari bilik makmal.

Dasar pengurangan umat manusia di bumi ini sedang berjalan dengan baik. H1N1 ini adalah sebahagian dari strategi itu.

Jika kurang yakin tentang apa yang saya cuba nyatakan di sini – atau menganggap ia hanya teori konspirasi – sila cari dan baca mana-mana artikel.

Ada berjuta-juta bahan kajian ilmiah dan tulisan-tulisan para penyelidik yang menimbulkan isu ini. Semua ini amat senang untuk ditemui dalam internet.

Pada ketika ini, telah diheboh-hebohkan tentang satu vaksin yang akan muncul untuk melawan H1N1. Ia juga pengiklanan besar dari kaum kapitalis.

Untuk sementara waktu kita diberitahu bahawa vaksin ini masih dalam kajian.

Bayangkan, mula-mulanya kita ditakut-takutkan. Kemudian kita diberitahu jangan takut, ada jalan selamat. Tetapi jalan selamat ini wajib dibayar. Cukup senang untuk memerangkap.

Sama seperti menabur paku di jalan raya untuk membocorkan tayar motosikal Mat Rempit. Beginilah sifat kapitalis. Beginilah cara kaum kapitalis membuat untung.

Dalam sistem ekonomi sosialis - ubatan adalah untuk kesihatan, bukan untuk keuntungan. Dalam sistem ekonomi sosialis, hospital milik rakyat, bukan untuk diswastakan.

Dalam ekonomi sosialis, perubatan untuk semua dan bukan untuk yang kaya.

Dalam sistem masyarakat sosialis, umat manusia penjana tamadun, bukan sampah yang perlu dihapuskan. Fikrah manusia digunakan untuk kebaikan, bukan untuk keuntungan..

Apa pendapat anda??

p/s : pada pagi 25 Ogos 2009 dapat mesej drpd mak aku.Mak aku bg tahu yg slh sorg kwn aku ada kena syak virus ni.Mase tu aku bru blk solat subuh.Aku pon tkjut ar.Mak aku menangis dpt tahu brite ni.Pstu mak aku ckp beliau mntk tlg aku doakn.Aku sbnrnya nk bwat solat hajat agar beliau cpt sembuh dan dhindarkan penyakit ni.Tp dsbbkn lps subuh merupakan antare wktu haram mlakukan solat sunat,aku trus bacakan surah Yaasin utk beliau dgn harapan Allah makbulkan segala doaku.Isyaallah beliau akan sembuh dan sehat spt sedia kala.

22 August 2009

ISA Haram Di Sisi Islam

“Kerajaan tidak cadang kaji ISA” – Itulah keputusan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagaimana disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 19/10/08. Beliau berkata, “tumpuan saya ialah untuk membentangkan tiga rang undang-undang ini (suruhanjaya pelantikan hakim, pencegahan rasuah dan aduan khas) di Parlimen dan oleh itu tolong jangan soal saya tentang langkah untuk mengkaji ISA kerana akta hampir sama juga masih diguna pakai di Amerika Syarikat (AS) dan Britain”, tegasnya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-55 di Kuala Lumpur pada 18 Oktober lepas. Perdana Menteri nampaknya langsung tidak mahu tunduk kepada bantahan yang ditimbulkan dari pelbagai pihak termasuklah dari parti komponen BN sendiri untuk memansuhkan Akta zalim tersebut.

Siapa tidak kenal ISA? Akta Keselamatan Dalam Negeri (yang lebih dikenali sebagai ISA iaitu akronim nama Bahasa Inggerisnya, Internal Security Act) merupakan undang-undang tahanan pencegahan yang berkuat kuasa di Malaysia sejak 1960 lagi. Akta yang telah benar-benar digunakan kerajaan untuk menyelamatkan hegemoni politik mereka ini membolehkan sesiapa sahaja ditahan oleh polis selama 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan untuk tindak-tanduk yang disyaki atau dipercayai mengancam keselamatan negara atau mana-mana bahagian daripadanya. Selepas 60 hari, seseorang tahanan itu boleh ditahan lagi selama tempoh dua tahun jika diluluskan oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri, dan sekali gus membolehkan penahanan terus tanpa perbicaraan. Dan Menteri boleh menyambung dan terus menyambung tempoh tahanan ‘ikut suka beliau’ selama tempoh yang tiada hadnya, selama beliau masih berkuasa atau masih bernyawa.

Secara umumnya akta hasil pemikiran penjajah ini mengenepikan kuasa kehakiman dan bercanggah dengan kebebasan individu yang dijamin oleh Perlembagaan yang diagungkan oleh mereka sendiri. Ringkasnya, individu yang ditahan di bawah ISA (i) tidak memerlukan waran tangkap atau apa-apa arahan dari mahkamah (ii) tidak perlu dan tidak akan dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan atau dibuktikan kesalahannya (iii) kuasa mutlak untuk ‘menjatuhkan hukuman’ terletak kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri (iv) ‘kuasa mutlak’ untuk menyeksa tahanan terletak pada polis cawangan khas (SB) yang tidak pernah mengenal erti kemanusiaan. Sautun Nahdhah kali ini bukanlah ingin membincangkan fakta-fakta kezaliman ISA dan mereka yang telah ‘menjadi korbannya’ sejak sekian lama, kerana sememangnya risalah kecil ini tidak akan dapat memuat segala penderitaan tersebut. Namun apa yang ingin kami utarakan adalah hukum syarak mengenai akta gubalan tangan manusia ini yang mana para penggubal dan pengamalnya langsung tidak memikirkan hukuman dan azab Allah yang bakal menimpa mereka satu hari nanti dek kezaliman yang mereka lakukan.

Kaedah Penghakiman/Keadilan Dalam Islam

Sebagai sebuah ad-Din yang sempurna, agama Islam yang diturunkan oleh Allah ini mencakupi segala perkara dan tidak ada satu pun yang tertinggal darinya. Dalam bab pengqadhian (penghakiman), Islam telah menggariskan hukum dan kaedah yang lengkap yang wajib diikuti oleh umat manusia. Antara kaedah syarak yang masyhur di dalam bab penghakiman/keadilan Islam adalah “Al-Aslu bara’atu zimmah” yang bermaksud “seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah” (innocent until proven guilty). Mengikut kaedah ini, oleh sebab hukum asal bagi seseorang itu adalah tidak bersalah sehinggalah dibuktikan sebaliknya, maka seseorang itu tidak boleh dikenakan hukuman melainkan dengan keputusan mahkamah (setelah dibicarakan dan dibuktikan), dan seseorang itu tidak boleh sama sekali (secara mutlak) dihukum (punish) oleh mana-mana pihak selagi dia tidak disabitkan kesalahan [Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Muqaddimah ad-Dustur, Fasal 13].

Perkara pertama: Al-Aslu bara’atu zimmah. Kaedah ini diambil dari hadis Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam iaitu, “(Beban) pembuktian adalah di atas pendakwa, dan sumpah (penafian) adalah di atas yang tertuduh” [HR Baihaqi dan Mutafaq alaih]. Imam Nawawi ketika mensyarah hadis ini mengatakan, “Pembuktian terletak di pihak pendakwa kerana ia menyalahi perkara yang zahir. Ini adalah kerana asasnya seseorang itu adalah ‘bebas dari kesalahan/liabiliti’ (bara’atu zimmah), sedangkan bagi tertuduh (accused/defendant) cukup dengan sumpah sahaja di pihaknya kerana dia meminta mengekalkan status quo, sesuai dengan asalnya iaitu bara’atu zimmah (tidak bersalah)” [Syarah Matan Arba’in, ms 153]. Hadis ini dengan jelas menerangkan bahawa hukum asal bagi seseorang itu adalah tidak bersalah (innocent), dan pendakwa hendaklah membawa/menunjukkan bukti bahawa si tertuduh bersalah. Jika dia gagal membuktikan, maka si tertuduh tetap berada dalam keadaan asalnya yakni tidak bersalah. Justeru, menjatuhkan hukuman tanpa bukti, malah tanpa dakwaan sedikit pun seperti yang berlaku dalam kes ISA adalah bertentangan sama sekali dengan hadis ini. Dengan kata lain, perbuatan ini telah menyalahi hukum yang telah ditetapkan oleh Rasulullah.

Perkara kedua: Seseorang tidak boleh dijatuhkan hukuman kecuali dengan keputusan Qadhi (Mahkamah). Dalil untuk hal ini dapat dilihat dalam Hadis Nabi, “Maka barang siapa yang telah terambil hartanya olehku, maka inilah hartaku, maka silalah dia mengambilnya dan barang siapa yang telah aku tersalah sebat belakangnya maka inilah belakangku untuk disebatnya, maka hendaklah dia mengambil keputusanku ini” [HR Baihaqi]. Dalam kes ini, kita mesti ingat bahawa Rasulullah S.A.W mengatakan hal ini dalam kapasiti baginda sebagai seorang pemerintah dan juga hakim. Ini bermaksud bahawa sesiapa sahaja yang telah dihukum (oleh hakim) secara salah, maka dia boleh menuntut pembalasan yang serupa. Hadis ini menjadi dalil yang tidak membenarkan pemerintah menghukum rakyatnya tanpa terbuktinya dakwaan terhadapnya yang melayakkan dia dihukum. Oleh itu, seseorang tidak boleh mendera orang lain kecuali dengan keputusan hakim dan adalah haram bagi seseorang hakim untuk menghukum (sama ada mengambil harta, mendera atau memenjara) orang lain tanpa hak.

Tambahan pula ada dalil lain di dalam kes li’an, yang mana seorang perempuan yang dituduh oleh suaminya bersekedudukan dengan orang lain kemudian perempuan ini dibawa ke hadapan Rasulullah (sebagai hakim), tetapi dia telah teragak-agak dalam melakukan penafian. Dalam kes itu, perempuan tersebut terselamat dari direjam kerana dia telah melakukan sumpah li’an. Namun Rasulullah bersabda, “Seandainya aku boleh merejam seorang itu tanpa bukti, nescaya aku akan merejamnya” [HR Muslim, Ahmad, Baihaqi dan Thabrani]. Ini menunjukkan bahawa tidak boleh merejam (menghukum) seseorang apabila tidak ada bukti jelas meskipun anda kesamaran dalam penafian perempuan tersebut. Jika Rasulullah sendiri justeru memanggil bicara dan tidak menghukum tanpa bukti yang jelas (walhal baginda diberi wahyu tentang perkara tersebut), maka alangkah hebatnya kuasa seorang Menteri (dan polis-polis yang terlibat) melampaui batas yang ditetapkan oleh Rasulullah, apabila mereka dengan mudahnya terus menghumban suspek ISA ke Kamunting dan menyeksa tahanan tanpa bicara dan tanpa bukti yang kukuh!

Dalam keadaan di mana individu tersebut disyaki melakukan kesalahan, Islam sememangnya membenarkan pihak polis menahan seseorang tertuduh (seperti tahanan reman) bagi membolehkan mereka mengumpul maklumat sebelum melakukan dakwaan. Bagaimanapun, penahanan ini hanya boleh dilakukan dengan syarat mendapat akuan/perintah dari Mahkamah dan masa penahanan adalah pendek dan terhad. Hal ini berdasarkan dalil hadis dari Bahz bin Hakim dari bapanya, dari datuknya, “Bahawa Nabi SAW menahan seorang lelaki kerana tuduhan kemudian dia dibebaskan” [Riwayat Lima kecuali Ibn Majah] dan dari Abu Hurairah ia berkata, “Rasulullah SAW menahan seorang individu selama sehari semalam dalam satu kes pertuduhan”. Perlu difahami bahawa penahanan tersebut bukanlah satu bentuk ‘hukuman’ tetapi ia bertujuan untuk mendapatkan maklumat dan keterangan (tempoh siasatan), dan tidak boleh sama sekali mendera atau menyeksa tertuduh pada waktu ini.

Perkara ketiga: Hukuman hanya boleh dikenakan selepas sabit kesalahan. Tidak boleh (haram) melaksanakan hukuman kepada si tertuduh sebelum disabit kesalahannya. Dalilnya adalah berdasarkan hadis Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam “Seandainya aku boleh merejam seorang itu tanpa bukti nescaya aku akan merejamnya” [HR Muslim, Ahmad, Baihaqi dan Thabrani]. Meskipun (berdasarkan riwayat dari Ibnu Abbas) perempuan tersebut memang diketahui telah melakukan zina, namun ternyata Rasulullah tidak menyeksa atau melakukan apa jua tindakan agar perempuan itu mengaku. Tambahan lagi, jikalau hukuman boleh dikenakan kepada si tertuduh semata-mata kerana kesalahannya ‘diketahui’, maka sudah tentu perempuan itu dihukum oleh Rasulullah kerana kejahatannya memang sudah pun diketahui ramai. Namun ternyata hakikatnya tidak demikian. Ini menunjukkan bahawa secara mutlak tidak dibolehkan (haram) melaksanakan hukuman terhadap si tertuduh tanpa disabitkan kesalahannya. Oleh yang demikian, adalah haram mengugut, memukul, mendera, memenjara atau mengenakan apa jua bentuk hukuman (punishment) selama mana tertuduh masih belum disabitkan kesalahan.

Hal ini disokong lagi oleh hadis dari Ibnu Abbas bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam tidak menghukum seorang yang mabuk kerana tidak ada bukti. “Ibnu Abbas berkata, seorang lelaki telah meminum khamar dan mabuk dan dilihat terhuyung hayang. Lelaki ini dibawa kepada Rasulullah dan ketika menghampiri rumah Abbas, dia terlepas lalu masuk ke rumah Abbas dan berselindung di situ. Apabila hal ini sampai kepada Rasulullah, baginda tertawa seraya bertanya, ‘Adakah dia melakukan semua itu?’ Dan (kata Ibnu Abbas) Rasulullah tidak memerintahkan apa-apa pun dalam perkara ini”. Hadis ini menunjukkan bahawa Rasulullah tidak menjatuhkan hukuman kepada peminum khamar kerana tidak ada pengakuan dari tertuduh dan dakwaan ke atasnya juga tidak terbukti. Ini bermakna dia telah ‘dituduh’ mabuk tetapi tidak dapat dibuktikan (bahawa dia minum arak). Rasulullah tidak mengugut atau menyeksa atau mendera dia agar mengaku, dan Rasulullah juga tidak menjatuhkan hukuman ke atasnya hanya semata-mata kerana adanya ‘tuduhan’. Oleh yang demikian, adalah haram untuk mengenakan sebarang bentuk tindakan ke atas tertuduh selagi kesnya tidak disabitkan oleh Mahkamah. Dengan kata lain, selagi tidak ada sabitan, statusnya tetap sebagai tertuduh (accused) dan bukannya pesalah (guilty) dan tidak ada seorang pun, baik polis atau menteri yang boleh menghukum (punish) orang yang ‘dituduh’. Berdasarkan hadis ini, hukuman tahanan 60 hari dan juga dua tahun penjara (dan diseksa) yang dilakukan di bawah ISA oleh Menteri Dalam Negeri dan juga pihak polis adalah teramat jelas menyalahi perbuatan Rasulullah dan ternyata haram hukumnya ditinjau dari aspek mana sekalipun.

Selain ketiga perkara di atas, terdapat banyak hadis di mana Rasulullah berpesan, “Jika dua orang yang bersengketa di hadapkan di hadapan engkau (hakim) maka janganlah engkau menjatuhkan keputusan sehingga engkau mendengarkan dari pihak yang satu lagi sebagaimana engkau mendengar dari pihak pertama” [HR Ahmad]. Malangnya di dalam kes ISA, suspek langsung tidak dihadapkan di hadapan hakim dan langsung tidak diberi hak untuk berbicara. Suspek hanya ‘dipaksa’ menerima keputusan Menteri yang dibuat tanpa (Menteri tersebut) melihat kepada syariat Islam sedikit pun dan suspek terus dikategorikan sebagai pesalah. Kita sungguh sedih menghadapi kekejaman undang-undang ini tatkala melihat ia dilakukan oleh pemerintah yang mengaku bahawa mereka adalah beragama Islam. Islam manakah yang diikuti oleh mereka walhal hadis-hadis Rasulullah dalam hal ini mereka campakkan kesemuanya?

Sesungguhnya keharaman ISA adalah ibarat cahaya matahari. Bagi mereka yang jahil agama sekalipun, semua tahu bahawa ISA adalah undang-undang buatan manusia di Parlimen yang diluluskan dengan cara majoriti. ISA bukan berasal dari wahyu, malah jelas bertentangan dengan apa yang diwahyukan. Jika dulu ISA digubal untuk menghalang kebangkitan komunis, dan ternyata ia telah berjaya melumpuhkannya. Kini setelah hilangnya pengaruh ideologi tersebut, ISA digunakan pula untuk menghalang kebangkitan dan penerapan Islam, dengan ditangkap dan dipenjarakan pendakwah-pendakwah yang ingin menegakkan agama Allah dan siapa sahaja yang berjuang ke arah menggantikan kerajaan sekular ini dengan Islam.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Kita semua tahu bahawa ISA adalah sebuah akta yang memang terkenal zalim. Namun, sebagai seorang Muslim, kita hendaklah mengukur ‘zalim’ itu dari perspektif Islam semata-mata, bukannya dari perspektif emosi. Apabila kita memandang dari kaca mata Islam, maka kita akan mendapati bahawa bukan sahaja ISA, malah hampir kesemua undang-undang yang dibuat oleh manusia yang diamalkan di Malaysia hari ini adalah zalim. Ini kerana semua undang-undang itu adalah undang-undang yang bertentangan dengan Islam yang hanya diluluskan dengan mudah melalui sistem demokrasi berdasarkan suara majoriti. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala, “Dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim” [TMQ al-Ma’idah (5):45]. Oleh itu, kita hendaklah memahami bahawa kezaliman ISA itu adalah kerana keharamannya, sama sebagaimana undang-undang haram lain yang bertentangan dengan Islam yang diamalkan di negara kita. Justeru, ISA dan juga akta-akta gubalan manusia wajib dihapuskan dan diganti dengan undang-undang Islam yang berasal dari wahyu. Wallahu a’lam.

Seloka ISA

ISA (Internal Security Act)..
Akta yang dibuat oleh British..
Untuk menangkap suspek Komunis..
Nampaknya akta ini berjaya menyekat Komunis dari terus berkuasa..
Walaupun sebenarnya Britishlah yang menjajah kita..
Aku pun keliru siapakah yang berjasa..

Sejak tahun 1987,
Ancaman komunis sudah tiada..
Aang ada hanya ancaman politik..
Akta ini diguna sewenang-wenangnya untuk kepentingan politik..
Operasi lalang.. majoritinya tangkapan politik..
Tangkap.. sumbat.. senyap !
Yang zalim terus berkuasa..

Pada tahun 2003,
Kononya ancaman dari Jemaah Islamiah (JI)..
Suspek-suspek ditangkap...
Tiada perbicaraan..
Dan mereka tidak perlukan perbicaraan kata mereka..
Kerana mereka ancaman negara..
Walaupun sudah 6 tahun ditahan tanpa bicara..

Sedang penagih dadah,
Perogol,
Pembunuh nyata,
Pengedar dadah,
Perempit motor,
Pembuat maksiat,
Jika ditahan sekalipun,
Ianya dibicarakan..
Hak mereka tidak pula dinafikan..
Sedang perbuatan mereka itu telah nyata kesalahannya..
Namun, jika hendak jatuhkan Hudud atau Qisas atau Takzir,
Ada pula yang simpati terhadap mereka..
Sedang yang ditahan tanpa bicara tiada kesan bagi mereka..
Kerana mereka adalah ancaman negara..
Walaupun tidak terbukti lagi kebenarannya..

Ada yang kata ISA perlu untuk mengawal keselamatan di dalam negara..
Tidak mengapa mengurung sedikit nyawa untuk kemashalatan bersama..
Sedang kita berseronok di rumah berjamu selera,
Kerana itu bukan saudara kita,
Biarlah mereka ditangkap tanpa bicara,
Polis sudah tentu mempunyai alasan mereka,
Tapi yang pelik kenapa tidak digunakan alasan untuk membicarakan mereka,
Mana bukti BOM yang mereka rancang untuk cipta..
Tunjukan bukti perbualan telefon,akses internet,plan rancangan mereka sebagai bukti..
Itu semua boleh kerajaan dapatkan..
Jika terbukti mereka benar berbahaya,
Bicarakan mereka, hukumlah mereka selayaknya.

Ada yang kata jika ISA tiada, negara akan huru hara,
Seolah-olah jika ISA tiada, BOM-BOM akan kerap kedengaran di sana sini..
Seolah-olah, jika tangkap mengunakan tahanan jenayah , dan tidak dapat dibuktikan,
Esok mereka akan terus mengebom..
Logikkah ?
Tidak cekapkah polis ?
Polis tidak membuat pengawasankah terhadap suspek?
Kecekapan pihak berkuasa yang harus kita tingkatkan..
Jaringan maklumat yang harus diperbaiki..

Tahanan politik,
Lihat sahaja berapa ramai ditangkap,
Ancaman negarakah mereka-mereka ini ?
Ancaman negara atau ancaman parti berkuasa ?
Kononnya, isu perkauman dimainkan..
Kita semua dapat menilai,
Secara logik, isu perkauman hanya dimainkan oleh parti berpaksikan perkauman,
Siapa dia parti berpaksi perkauman yang ada di negara ini ?
Anda sendiri lebih tahu..
Aku tidak terkejut merekalah yang menyokong akta ini untuk kepentingan politik mereka..
Hal ini tidak dapat dinafikan..
Bekas PM sendiri mengakuinya..
Dan,
Sejarah telah membuktikan..

Ayuh.. Mansuhkan ISA !

Darihal Puasa, Iman dan Taqwa

Kalau solat menjadi tanda aras dan kayu ukur penganut ajaran Tauhid, nescaya hal ini sukar kita bincangkan. Ini kerana, sukar kita melihat penganut agama, selain Islam melakukan solat.

Walaupun sesekali kita pernah terdengar dan membaca bahawa di sana, ada beberapa penganut agama Yahudi misalnya pernah bersolat seperti penganut Islam juga. Tetapi, dalam realiti sekarang, sulit untuk kita perhatikan gerak laku solat penganut agama lain yang mirip kepada Islam.

Al-Qur'an yang merincikan solat penganut agama lain dengan penganut Islam terletak pada surah Ali Imran ayat 43. "Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan solat) bersama-sama orang-orang yang rukuk."

Ada riwayat yang menyatakan bahawa solat yang mempunyai rukun rukuk di dalam solat ialah solat penganut Islam yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w. Ini kerana solat penganut Nasrani tidak mempunyai rukuk. Wallahu'alam..

Menurut sesetengah pendakwah dan penceramah yang dahulunya Kristian Nasrani, pernah menyatakan bahawa Nabi Isa a.s menunaikan solat; suatu upacara keagamaan, ajaran Tauhid yang berasal daripada Ibrahim a.s.

Bagaimanapun, ciri-cirinya yang asli telah luput ditelan gelombang putaran ganas dan keasliannya rupa parasnya telah pudar dilapah arus masa.

Oleh kerana, dialog mengenai agama di negara kita belum mencapai tahap yang baik, maka ada beberapa hal perbincangan yang tidak dapat kita lanjutkan di sini.

Bagaimanapun, tetap sahaja ada amalan agama Islam yang masih sama dan mirip kepada ibadat penganut Islam, iaitu puasa.

Manakala, amalan-amalan lain seperti solat, zakat dan menunaikan fardhu haji tidak mirip kepada amalan penganut lain.

Seperti yang difirmankan Tuhan di dalam al-Qur'an, "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." (Al-Baqarah: 183)

Pertamanya, dari nas ini umat Islam dapat mengenali agama-agama lain sebagai agama samawi dengan merujuk amalan berpuasa itu. Antara agama-agama yang memiliki ciri persamaan dari sudut amalan ini, iaitu berpuasa ialah Buddha, Hindu, Kristian dan juga Yahudi. Bagaimanapun, cara bagaimana amalan berpuasa dilaksanakan, ada sedikit perbezaan.

Jenis dan martabat berpuasa itu juga berbeza-beza mengikut agama, adat budaya bangsa dan martabat kerohanian seseorang itu.

Lantaran itulah, Tuhan menyatakan di hujung ayat itu, dengan harapan, amalan berpuasa yang kita lakukan itu dapat meningkatkan martabat kerohanian kita ke darjat ketaqwaan, iaitu darjat yang teragung dan paling tinggi.

Beriman atau bertaqwa?

Disebutkan dalam al-Qur'an, bahawa Tuhan menyeru orang yang beriman agar mencapai darjat ketaqwaan. Ini kerana, orang yang beriman, belum tentu dapat mencapai darjat ketaqwaan. Tapi, orang yang bertaqwa, sudah pastilah mereka beriman.

"Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benarnya, dan janganlah kamu mati melainkan berada dalam Islam. (Ali Imran: 102)

Juga kepada orang yang beriman itu, Allah s.w.t meminta mereka bertaqwa dengan cara menyatakan perkara yang benar walaupun pahit didengar. Ini kerana, orang yang beriman pun belum tentu dapat menyatakan perkara yang benar.

"Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, maka Allah memperbaiki bagi amalan-amalanmu, dan mengampuni bagimu dosa-dosamu.." (Al-Ahzab: 70 - 71)

Maka, hendaklah orang-orang yang beriman itu berjuang mendapatkan tempat di martabat ketaqwaan. Ini kerana, hanya yang mampu menyatakan kebenaran itulah yang layak digelar mencapai darjat ketaqwaan.

Orang-orang yang beriman turut diseru mencapai darjat ketaqwaan dengan menyediakan amalan sebagai bekalan untuk hari akhirat mereka. Ini kerana, ramai orang beriman, tetapi seperti tidak mengendahkan amalan mereka untuk akhirat.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dan yang salah, dan menghapuskan segala kesalahan kamu serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar." (Al-Anfal: 29)

Kita biasa berdepan dengan kebuntuan hidup dalam kehidupan. Seolah-olahnya mereka gagal mengenal mana satu berlian dan permata, yang mana intan dan yang mana kaca. Mana yang betul dan salah.

Dan, kita seperti tidak berupaya mencari penyelesaiannya. Kenapa jadi begitu, walhal kita telah mengaku beriman kepada Tuhan? Mustahil Tuhan akan meninggalkan orang-orang yang beriman itu teraba-raba dalam mencari jawapan terhadap setiap permasalahannya itu.

Maka, jawapannya ialah - orang yang beriman yang ditimpa permasalahan tadi, masih tidak mencapai darjat ketaqwaan. Dan jika orang yang beriman itu bertaqwa, maka nescaya Tuhan menunaikan janjinya dengan cara memberikannya petunjuk.

Allah s.w.t mengingatkan kita dalam firmanNya, "Hai orang-orang yang beriman! Jauhi banyak berprasangka. Sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu dosa. Dan jangan kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah antara kamu suka memakan bangkai saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang." (Al Hujuraat: 12)

Perbezaan lain antara orang yang beriman dan bertaqwa itu ialah insan yang beriman itu masih lagi tidak membebas diri daripada sikap prasangka, mengumpat dan mencela saudara mereka, mencari-cari keaiban orang lain untuk dihebah.

Maka, orang yang beriman dan telah sempurna jiwanya kerana kerohaniannya melompat ke darjat ketaqwaan itu, akan bersih lidahnya daripada mengumpat dan telinganya dibersihkan daripada mendengar keaiban orang lain.

Ada banyak lagi perbezaan sikap antara orang yang beriman dan bertaqwa ini. Dan, seperti yang termaklum, amalan puasa itulah antara salah satu daripada amalan yang mampu meletakkan kerohanian seseorang ke darjat ketaqwaan jika diamalkan dengan penuh keikhlasan dan kewaspadaan.

Orang yang berpuasa, digalakkan untuk tidak mencampuri urusan mendengar keaiban orang lain, selalu menyibukkan dirinya dengan zikrullah dan wirid.

Jika semua ini tercapai, maka lahirlah sikap suka menegakkan kebenaran, menyatakan yang benar di depan pihak berkuasa, kerap muhasabah tentang bekalan akhirat dan lain-lain ciri ketaqwaan yang lain.

Puasa telah menyebabkan anggota kita letih untuk melakukan maksiat dan amalan kerohanian itulah yang akan menguatkan kembali jiwa dan raga kita untuk meneruskan kehidupan.

Amalan berwirid dan berzikir di bulan Ramadhan akan menyebabkan kita kembali kepada fitrah yang suci dan asal, jika dilakukan dengan sempurna dan ikhlas menuju rahmat Allah.

17 pengkhianatan Umno kepada Melayu

Dalam kesibukan Umno melaung-laungkan 'Anwar Pengkhianat', mereka lupa bahawa Umnolah yang sebenarnya pengkhianat kepada orang Melayu.

Datuk Kamaruddin Jaafar, AJK PAS Pusat menyenaraikan 17 pengkhianatan Umno kepada orang-orang Melayu yang bermula semenjak zaman pemerintahan Mahathir lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap di dalam Majlis Hi-Tea anjuran PAS Kawasan Gombak untuk mengutip dana bagi PAS kawasan berkenaan di Markaz Tarbiah PAS Pusat, Taman Melewar.

"Jangan kita lupa, Umno telah melakukan pelbagai pengkhianatan terhadap orang-orang Melayu semenjak pemerintahan Dr Mahathir sehingga sekarang di bawah Najib," kata Kamaruddin.

"Pada zaman Dr Mahathir, beliau telah menghapuskan imuniti raja-raja Melayu. Institusi Raja Melayu adalah simbol ketuanan orang Melayu dan Umno telah merosakkannya," katanya.

Seterusnya, pengkhianatan Umno yang kedua, dengan merosakkan sistem kehakiman negara yang juga dilakukan oleh Dr Mahathir.

Beliau telah campur tangan di dalam sistem kehakiman negara, yang menjadi simbol kedaulatan undang-undang negara dan krisis ini membawa kepada pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas.

Kemudian, selepas pilihanraya umum 1999 yang menyaksikan Terengganu jatuh ke tangan PAS, kerajaan Umno menarik balik royalti minyak di sana.

Walhal, majoriti besar rakyat negeri Terengganu adalah daripada orang-orang Melayu dan Umno sanggup berbuat demikian demi membalas dendam akibat kalah teruk dalam pilihanraya berkenaan.

Pada zaman Dr Mahathir juga, pengkhianatan ke empat yang Umno lakukan adalah dengan memperkenalkan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik di dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang secara terang melanggar Perlembagaan Malaysia dan Dasar Bahasa Melayu.

Ia secara lansung melemahkan pencapaian anak-anak Melayu di dalam kedua-dua subjek berkenaan; Sains dan Matematik.

Kemudian, pengkhianatan ke-5 Umno apabila menarik geran peruntukan untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang menjadi tempat belajar anak-anak orang Melayu.

"Seterusnya, pengkhianatan Umno terhadap orang Melayu apabila memperkenalkan dasar meritrokrasi," kata Kamarudin yang juga anggota Parlimen Tumpat itu lagi.

Jika dahulu, anak-anak Melayu berpeluang menyambung pelajaran ke menara gading, tetapi sekarang peluang tersebut semakin tipis apabila dasar meritrokrasi diperkenalkan oleh Dr Mahathir.

Berikut adalah 17 pengkhianatan Umno terhadap orang Melayu

1. Melemahkan institusi raja-raja Melayu yang menjadi simbol ketuanan Melayu.

2. Melemahkan sistem kehakiman negara.

3. Menarik balik royalti rakyat petroleum rakyat Terengganu yang majoriti orang Melayu.

4. Memperkenalkan PPSMI; menghapuskan bahasa Melayu.

5. Menarik peruntukan geran kepada Sekolah Agama Rakyat, tempat belajar agama anak-anak Melayu.

6. Memperkenalkan meritrokrasi; mengurangkan peluang belajar anak-anak Melayu.

7. Memperkenalkan PTPTN dan mengurangkan biasiswa kepada anak-anak Melayu.

8. Persempadanan semula pilihanraya pada 2002; mengurangkan kawasan majoriti orang Melayu.

9. Menafikan hak royalti rakyat Kelantan yang majoriti Melayu.

10. Memperkenalkan Islam Hadhari yang mengelirukan orang Melayu.

11. Menyenaraiawamkan syarikat TH Plantation yang dahulunya dimiliki 100% oleh Tabung Haji dan dimiliki oleh orang Melayu. Tetapi sekarang orang bukan Melayu boleh memiliki saham TH Plantation.

12. Menggabungkan syarikat-syarikat konglomerat orang Melayu iaitu; Sime Darby,Guthrie dan Golden Hope, dan sekaligus mengurangkan peluang orang Melayu daripada tiga syarikat kepada satu syarikat sahaja.

13. Memetik kenyataan Mufti Perak, Datuk Harussani � 250 ribu orang Melayu murtad. Semua ini adalah di bawah pemerintahan kerajaan Umno.

14. Mewujudkan Wilayah Iskandar yang menjadi zon bebas, maka orang-orang Singapura boleh masuk secara bebas ke sana.

15. Krisis Menteri Besar di Perlis dan Terengganu apabila Umno sendiri yang menentang keputusan Sultan di negeri berkenaan.

16. Membubarkan Kementerian Pembangunan Usahawan yang menjadi sumber bantuan usahawan-usahawan Melayu.

17. Memperkenalkan liberalisasi ekonomi, maka sekaligus menghapuskan Dasar Ekonomi Baru yang tujuannya membantu ekonomi orang-orang Melayu Bumiputra.

21 August 2009

Rekod penghinaan terhadap Islam oleh Umno-BN

Bukanlah suatu perkara sangat sukar bagi mana-mana pihak yang senantiasa mengikuti perkembangan isu-isu sosio-politik negara untuk merasionalkan maksud sebenar penegasan Mursyidul Am PAS berkenaan sikap DAP terhadap Islam yang hangat diperkatakan kini.

Ketika ditemui media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan negeri Kelantan di Kota Bharu pada Rabu (12 Ogos 2009), Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan menganggap tindakan beberapa pemimpin DAP yang boleh ditafsirkan sebagai menghina Islam tidak menghairankan. Baginya ia mungkin ekoran kefahaman mereka terhadap agama Persekutuan yang tidak begitu mendalam.

Tok Guru sebaliknya membandingkan tindakan pemimpin bukan Islam itu dengan penghinaan yang dibuat oleh sebilangan pemimpin Islam sendiri.

"DAP kalau hina Islam, pasal dia bukan Islam. Yang orang Islam tolak Islam itu lebih menghina Islam,"ulasnya.

Meski pun tidak menyatakan pemimpin Islam mana yang beliau maksudkan, tidak sukar diakui kenyataan beliau itu lebih ditujukan kepada para pemimpin Umno.

Apatah lagi itu bukan kali pertama Tok Guru meluahkan kekecewaannya terhadap parti tua itu yang disifatkannya terang-terang menolak ajaran Islam dan memilih kebangsaan sebagai dasar perjuangannya. Perbuatan Umno itu menyebabkan Islam tercemar dan disalah-ertikan kesuciannya, terutama oleh mereka yang bukan Islam.

Tidak syak lagi senarai penghinaan oleh para pemimpin Barisan Nasional (BN), khususnya Umno terhadap ajaran dan hukum Islam amat panjang. Ia boleh dikatakan berlaku saban tahun dan tidak terlepas dari perbahasan dalam masyarakat.

Kes paling banyak ialah percanggahan terbuka antara para pemimpin Umno dengan para ulama dan agamawan. Sebagai pengajaran apa kata kita tinjau kembali sebahagian daripada isu-isu dimaksudkan itu.

Pertama, isu rumah terbuka kongsi raya. Satu daripada 23 resolusi Muzakarah Ulama pada Jun 2006 menggesa kerajaan mengkaji semula amalan kongsi raya dan rumah terbuka bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Menurut kenyataan jawatankuasa muzakarah, resolusi itu bukan berniat memburukkan kepercayaan agama lain di negara ini. Sebaliknya ia merupakan perkara fikah bagi mempertahankan akidah umat Islam.

Ia dibuat ekoran keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan sebelumnya bahawa perbuatan merayakan perayaan agama lain boleh memesongkan akidah umat Islam dan membawa kepada kesyirikan (The Star, 16 Jun 2006).

Gesaan itu bagaimana pun disanggah secara terbuka oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim. Beliau sebaliknya menegaskan kementeriannya akan meneruskan program rumah terbuka kongsi raya kerana ia acara sosial yang diterima baik pelbagai kaum dan bukan upacara keagamaan yang boleh menggugat keimanan.

Bukan itu saja, Rais malah dipetik akhbar sebagai menempelak para ulama seraya menyifatkan pandangan mereka itu sebagai 'pemikiran sempit'.

"Mereka yang beranggapan sambutan itu tidak boleh diadakan saya anggap itu pemikiran sempit dan kami sedia bertelaah dengan mana-mana pihak berhubung isu itu," kata Rais (Berita Harian, 16 Oktober 2006).

Kedua, isu konsert hiburan keterlaluan. Mufti Perak, Dato' Seri (kini Tan Sri) Harussani Zakaria menegaskan semua konsert serta rancangan hiburan yang keterlaluan, termasuk Akademi Fantasia, Audition, Malaysian Idol dan Karnival Sure Heboh TV3 (kini Jom Heboh TV3) jelas bertentangan dengan hukum syarak.

Selain menggalakkan budaya berhibur di kalangan remaja, program berkenaan jelas membelakangkan hukum agama seperti meninggalkan solat, menggalakkan pergaulan bebas, pendedahan aurat dan menyelitkan unsur kebaratan.

"Adalah disyorkan karnival itu (Jom Heboh TV3) dihentikan sebagai merealisasikan konsep negara Islam Hadhari. Ini bukan masalah emosi tetapi kehormatan agama dan maruah bangsa. Budaya seperti ini terang-terang mencabuli budaya Melayu dan Islam,"kata Harussani (Berita Harian, 3 Ogos 2004).

Keputusan itu bagaimana pun dipersoalkan Menteri Penerangan, Dato' Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir. "Saya tidak nampak penganjuran konsert TV3 Sure Heboh ini salah. Tiada salahnya mengadakan sedikit hiburan untuk keluarga selepas mereka penat bekerja,"katanya, sepertimana dipetik Berita Harian pada tarikh sama.

Beliau selanjutnya meminta pihak yang membuat kenyataan mengharamkan sesuatu perkara agar mengkaji terlebih dahulu kesannya supaya tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat. Kenyataan itu boleh ditafsirkan sebagai menyindir golongan ulama, khususnya Mufti Perak.

Ketiga, konsep Islam Hadhari yang mengelirukan. Konsep itu diperkenalkan oleh Umno sejurus selepas Dato' Seri (Tun) Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih teraju negara daripada Tun Dr Mahathir Mohamad pada Oktober 2003.

Sejak diperkenalkan, Islam Hadhari tidak pernah sunyi dari pertikaian, terutama dari kalangan ulama dan cendikiawan Islam sendiri. Ia antara lain dianggap seumpama mengada-adakan sesuatu yang dilabelkan kepada Islam dan menyalahi sifat Islam itu sendiri yang sudah sempurna.

"Kita tidak boleh dengan mudah menggunakan perkataan Islam sebagai label, sebab ia boleh menimbulkan kekeliruan. Sebab itu sejak mula diperkenalkan dulu, orang bertanya: Kenapa Islam Hadhari? Dan mereka bertanya lagi: Apakah Islam yang ada sekarang tidak betul?,"ulas bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin (wawancara dengan Sinar Harian, 17 April 2008).

Menurutnya, ramai kalangan ulama yang tidak bersetuju dengan istilah Islam Hadhari."Mereka menyatakan pandangan mereka secara terbuka, tetapi mereka tidak didengar," sambungnya lagi.

Memang itulah sifat dan sikap Umno, dulu, kini dan selamanya. Ia memang sukar mendengar dan menerima pandangan pihak lain, termasuk dari ulama dalam perkara berkaitan Islam.

Keempat, wanita dibolehkan melacur jika terdesak. Itu kesimpulan yang dapat difahami dari pandangan Dato' Dr Mashitah Ibrahim. Bagi Umno beliau adalah seorang agama wanita dan dijulang menerusi forum perdana ehwal Islam serta diberikan tanggungjawab dalam kerajaan menerusi portfolio berkaitan Islam.

Namun bagi Ahli Parlimen Baling, Ustaz Taib Azamuddeen Mohd Taib yang pernah bertanding menentang Dr Mashitah di situ, jelitawan Umno itu ialah seorang 'ratu cantik'.

Okay, kesnya ialah Dr Mashitah melalui kolumnya di Harian Metro 21 Jun 2005 memberikan respons kepada satu soalan mengenai wanita (terutama ibu tunggal) yang terpaksa menjual diri untuk membesarkan anak.

Jawabnya, "mengikut istilah yang dipakai di sini, iaitu 'terpaksa' membayangkan wanita berkenaan terdesak melakukan perbuatan dilarang dan bukan dengan kehendak hatinya. Dia terdesak berbuat demikian demi menyelamatkan anak dan memberi makan".

Sambungnya lagi, "perkara dilakukan dalam suasana darurat terlepas daripada hukuman biasa. Dalam keadaan biasa, memang melacur itu haram. Tetapi jika terdesak dan darurat, ia dimaafkan".

Kenyataan itu mendapat reaksi tidak menyenangkan sebahagian besar umat Islam negara ini. Malangnya, reaksi itu tidak langsung mendorong Dr Mashitah menariknya balik. Umno pula bukan setakat tidak menegur keterlanjuran itu, malah semakin memberikan keistimewaan kepada Dr Mashitah.

Ketika membuat kenyataan itu beliau hanyalah Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri. Kini beliau naik satu anak tangga ke jawatan timbalan menteri menjaga portfolio sama. Mungkinkah anugerah itu sebagai penghargaan Umno atas 'fatwa'nya yang menghalalkan pelacuran itu?

Kelima, Kabinet menolak garis panduan hiburan berasaskan agama kerana bercanggah dengan Perlembagaan. Kes pada Mei 2005 ini satu lagi yang membabitkan Rais. Selaku Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, beliau berjaya meyakinkan Kabinet untuk menangguhkan pelaksanaan cadangan garis panduan hiburan yang dicadangkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Berbagai alasan diberikan bagi merasionalkan keputusan itu. Dikatakan perkara itu memerlukan kajian mendalam. Rais juga menyebutkan tentang adanya sebuah jawatankuasa dikenali sebagai Puspal, dibentuk pada 2001 di bawah kementeriannya. Baginya jawatankuasa itu telah melaksanakan tugasnya dengan baik memantau etika dan perlakuan pelakon, penyanyi dan anggota kumpulan muzik.

Difahamkan garis panduan hiburan itu antara lain melarang penyiaran atau persembahan hiburan ketika waktu solat. Ia juga melarang penggunaan istilah dan penulisan lirik yang bercanggah dengan Islam atau yang dianggap melalaikan pendengar. Penggubalan garis panduan itu turut melibatkan Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan.

Malangnya ia seakan ditolak mentah-mentah oleh kerajaan. Walau pun menggunakan istilah 'menangguhkan', tempoh penanggguhan itu tidak diketahui bila akan berakhir. Apa yang pasti setelah lebih empat tahun berlalu, rakyat belum diberitahu sejauh mana perkembangan 'kajian mendalam' oleh Rais itu.

Mungkin hasrat sebenar beliau dapat difahami dari kata-katanya ketika itu.

"Sebarang usaha untuk melaksanakan undang-undang yang hakikatnya berkaitan agama terhadap industri muzik dan hiburan sebagai lebih daripada polis moral yang amat mengikuti undang-undang.

Umno tolak hukum Islam

"Melaksanakan peraturan keagamaan seperti 'apa yang boleh dan tidak boleh dibuat', bertentangan dengan Artikel 8(a) Perlembagaan Persekutuan berkaitan prinsip kesaksamaan semua rakyat dalam undang-undang,"katanya (Berita Harian, 28 Mei 2005).

Ya, mungkin bagi Umno, wasiat Raja-Raja Melayu bahawa Islam itu Agama Persekutuan akan dijunjung hanyalah selagi mana Islam itu tidak bercanggah dengan peruntukan lain dalam Perlembagaan?

Keenam, Kabinet April lalu memutuskan anak-anak kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing semasa berkahwin walau pun ibu atau bapa memeluk Islam. Keputusan itu kemudiannya ditempelak para mufti dan agamawan sebagai membelakangkan kepentingan Islam. Mereka berpendapat Kabinet sepatutnya terlebih dahulu mendapatkan pandangan Islam sebelum membuat keputusan itu. Ia juga tidak diperkenankan Majlis Raja-Raja Melayu yang bersidang bulan lalu.

Ada banyak lagi contoh dalam senarai perkara yang boleh dikategorikan sebagai tindakan Umno yang bercanggah dan menghina Islam. Jika mahu dimuatkan kenyataan para pemimpin Umno yang menolak hukum Islam, khususnya hudud, ia akan menjadi terlalu panjang.

Ada sebuah buku bertajuk "Mahathir anti-Islam" diterbitkan Dewan Pemuda PAS Pusat (2002) memuatkan sebahagian kenyataan, terutama oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir mengenai perkara itu.

Sebagai kesimpulan, sudah tidak sukar diakui betapa sikap dan perbuatan sebilangan pemimpin Melayu-Islam sendiri sebenarnya yang menjadi punca penghinaan terhadap Islam, termasuk oleh bukan Islam. Sepertimana ditegaskan Tok Guru, apabila pemimpin Islam sendiri tidak menerima gagasan Islam dalam hidup atau sebagai dasar parti dan kerajaan yang mereka pimpin, apa peliknya bila bukan Islam mempertikaikan Islam?

Pisah agama dan politik tidak masuk syurga

Siapa ekstrem, antara ulama yang mahu memperbetulkan aqidah umat Islam atau orang yang mengaku Islam namun tidak sedar aqidah tergelincir?

Aqidah yakni pegangan hidup seseorang muslim. Ia akan menjadi rosak apabila mereka tidak yakin hukum hakam yang diturunkan oleh Allah kepada umat manusia.

Sedangkan dalam surah Al Maaidah:49 Allah berfirman yang bermaksud;

"Engkau hukumlah antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah dan janganlah engkau turut hawa nafsu mereka dan berwaspadalah terhadap mereka supaya jangan mereka menyesatkan engkau dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepada engkau."

"Jika mereka berpaling, ketahuilah bahawa hanya Allah mengkehendaki supaya mereka ditimpa seksaan kerana sebahagian dosa mereka sendiri. Sesungguhnya kebanyakan manusia orang-orang fasik."

Maka sesiapa yang engkar terhadap suruhan agama itu ianya secara jelas menzalimi dirinya sendiri.

Bekas pensyarah kanan pengajian Islam UKM, Dr Muhammad Muhd Daud berkata, sesiapa yang menolak ajaran yang terkandung dalam al Quran secara jelas telah tergelincir aqidahnya.

"Misalnya tindakan mengasingkan politik dan agama dalam pentadbiran negeri atau negara ia boleh merosakkkan aqidah seseorang.

"Begitu juga pemerintah yang beragama Islam tetapi tidak mahu melaksanakan hukum yang ditetapkan agama dan lebih parah lagi apabila pihak yang mahu melaksanakan Islam cuba dihalang melalui kuasa yang mereka miliki," katanya.

Akhbar (19 Ogos 2009) melaporkan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai ekstrem apabila menganggap dasar yang dibawa Umno (pisahkan agama dan politik) tidak akan membawa ahlinya ke syurga.

Ekoran itu pelbagai pihak mengecam Menteri Besar Kelantan itu. Antaranya Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang dilaporkan menyebut tiada nas dalam al Quran dan Hadis mensyaratkan seorang itu perlu menjadi ahli sesuatu parti sebelum boleh masuk syurga.

Dr Mohamad yang juga Adun Tendong berkata, dalam situasi sekarang semua orang tahu pihak mana yang berjuang mendaulatkan Islam dan kumpulan mana yang meminggirkan Islam.

Menurutnya pihak yang bersekongkol dengan pemerintah yang tidak ada cita-cita untuk menegakkan agama Islam tentunya akan lebih jauh daripada mendapat balasan syurga.

Bekas pemimpin pelajar Melayu di Universiti Al Azhar Mesir, Ustaz Abdullah Abdul Razak berkata, apabila sesebuah parti itu memisahkan politik dan iman sudah tentu ia tersasar jauh daripada landasan Islam.

"Politik adalah sebahagian amalan dalam agama. Ini kerana pada zaman Rasulullah saw masjid dijadikan pusat mentadbir, mengatur strategi perang dan mengurus zakat.

"Latihan perang juga diadakan di halaman masjid di zaman baginda. Dan usaha memisahkan agama dan politik dimulakan agama Kristian.

"Dalam agama Kristian orang kuat agama hanya dibenarkan berada di gereja dan pentadbiran negara diurus orang politik," katanya.

Beliau yang juga Ketua Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan berkata, apabila perkara pokok dalam Islam diketepikan sudah tentu ia merosakkan aqidah seseorang.

Dan katanya apabila aqidah rosak macam mana seseorang itu mahu mendapat balasan syurga di akhirat kelak.

Oleh itu, katanya kenyataan Mursyidul Am PAS mengenai mana-mana pihak yang mendokong parti yang memisahkan agama dan politik tidak akan masuk syurga adalah tepat sekali.

16 August 2009

Kasihku Pada Ramadhan

Ramadhan yang penuh makrifat,
Ramadhan ditunggu-tunggu,
Kembali menjengah hati setiap Muslim,
Memekarkan keberkatan dan kebesaran,
Yang Maha Kuasa.

Ramadhan yang menyejukkan hatiku,
Yang melembutkan kerasku,
Yang mendamaikan gelodak rasaku,
Yang menghilangkan amarahku,
Yang menghadiahkan penghargaanku,
Buat insan-insan tersayang,
Yang menambahkan cinta kasihku,
Pada Yang Satu.

Ramadhan,
Syarul Syiam,
Berikan aku kekuatan akal, fizikal, hati dan iman,
Jauhkan aku daripada perkara yang dikeji,
Yang mengurangkan keberkatan,
Ya Mutakkabir.

Ramadhan,
Syarul Qiyam,
Malam-malammu malam terindah dalam hidupku,
Malam-malam yang penuh ibadah,
Malam-malam yang penuh berkat lalu,
Haruskah aku membiarkan malam-malammu berlalu sepi,
Tanpa sujud syukurku pada
Ar-Rahman..
Ar-Rahim..

Ramadhan,
Syarul Quran,
Bait-baitmu adalah puisi agung,
Yang menyuntik penawar terbaik buat hati dan jiwaku,
Patah perkataanmu adalah keajaiban,
Adalah mukjizat dengan nikmat yang tertinggi,
Yang menjadi peganganku,
Penunjuk arah dalam langkah perjalananku,
Yang menyalurkan kasih suciku buat Yang Maha Agung.

Ramadhan,
Syarul Tarbiyah,
Hari-harimu adalah satu didikan buatku,
Yang menundukkan egoku,
Yang menghilangkan rasa dendamku,,
Yang menjernihkan segala keruh dihatiku,
Yang memupuk keinginanku menghayati sifat kekasih Allah,
Yang mulia di sisi-Nya.

Ramadhan,
Sarul Jihad,
Pada setiap langkahku,
Setiap degup nafasku,
Setiap denyut nadiku,
Setiap detik ingatanku,
Islam adalah matahari bagi hatiku,
Bulan bagi jiwaku,
Bintang bagi mataku.

Ramadhan,
Perjuanganku menggapai solehah baru bermula,
Pertemukan aku pada ketibaan-ketibaanmu mengiringiku sepanjang waktu,
Selama mana nafasku masih lagi menjadi milikku.

YA ALLAH,
Sesungguhnya Engkau mengetahui setiap bait puisi hatiku.

Wallahua'lam

Piala Malaysia: Selangor Peroleh Laluan Mudah

Saingan Piala Malaysia 2009 bakal menyaksikan pertembungan yang seimbang dalam setiap kumpulan.

Selangor berpeluang mencipta sejarah menjadi pasukan pertama merangkul empat gelaran semusim apabila menerima undian mudah dalam saingan Piala Malaysia yang bermula 26 September ini.Insyaallah.

Selepas menjulang Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super, Selangor diramal mudah untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia apabila diundi dalam Kumpulan D bersama KM Naza, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah.

Kumpulan A dibarisi Perlis, KL Plus, Pahang dan Melaka sementara Terengganu, Negeri Sembilan, Johor dan Sarawak berentap dalam Kumpulan B.

Kumpulan C pula dibarisi Johor FC, Perak, MyTeam dan Kuala Lumpur manakala Kumpulan D menampilkan Selangor, KM Naza, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah.

Kumpulan E pula membariskan Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Saingan peringkat kumpulan bakal berlangsung secara liga dua pusingan timbal balik dari 29 September hingga 13 Oktober depan.

Juara setiap kumpulan akan layak secara automatik ke suku akhir pada 20 dan 24 Oktober manakala hanya tiga pasukan di tempat kedua terbaik kumpulan akan turut melayakkan diri.

Mengikut jadual yang disediakan, suku akhir bakal mempertemukan juara Kumpulan A dan juara Kumpulan E manakala juara Kumpulan B, C dan D masing-masing akan bertemu tiga pasukan tempat kedua terbaik kumpulan.

Separuh akhir pula bakal berlangsung pada 27 dan 31 Oktober manakala perlawanan akhir dijadualkan 21 November.

15 August 2009

Coretan Kenangan 2008

Hari ni(15 Ogos 2009) genap setahun 15 hari dah berlalu.Kurang lebih setahun 15 hari yang lalu iaitu tarikh yang mungkin aku takkan lupa dan langkah bagi ianya lupa atau hilang dari ingatan aku,aku coretkan di sini untuk tatapan para sahabat sekalian dan pembaca-pembaca yang mengunjungi blog aku.

Pada setahun lebih yang lalu,aku buat pertama kalinya dalam hidup aku menceburkan diri ke sukan perempuan iaitu bola jaring.Dari kecik sampai ke besar aku memang anti game netball sebenarnya.Sebab bagi aku game netball ni senang,mudah,tak mencabar,tak membuatkan kita berpeluh,dan macam-macam lagi ah.Tapi disebabkan nafsu aku yang cenderung ke mana-mana sukan aku membuat keputusan untuk cuba bermain netball ni.

Pegh.mula-mula aku main susah giler tapi lama-lama aku dah dapat step.Aku main ni masa perlawanan sesama rakan sekelas di tingkatan 5 Saga/2008 antara para kaum lelaki vs para kaum perempuan.Benda ni bukan idea aku,tapi yang aku ingat Tiger lah yang ajak aku main.Dia cakap "Nas,petang ni turun ar lawan netball dengan perempuan".Dalam hati aku memang tak nak sebab aku an anti netball.Tapi sahabat wanita semua cabar,apa lagi turun ar petang tu.

Untuk makluman geng perempuan tu 'school team' untuk netball ni.So kita lelaki turun sebagai underdog ar.Geng perempuan mase tu Naf,Echah,Yana,Tabligh,Eka,Im,Zati.Lepas tu mereka tambah lagi school player dorang lagi iaitu Siti Dahlia dan Syafiqah.Geng lelaki plak Tiger,AhPeng,Fagh,Cumi,Thai Song,Ketung,Kasem,dan Mihat(aku).Dan refree kita orang guru kelas kita gak iaitu Pn.Nor Hafizah cikgu yang aku sanjung.Pada mulanya,kami pelajar lelaki diajar satu demi satu 'rules' netball oleh cikgu.Tapi selepas khatam kita start lawan.

So kita main lah,macam biasalah orang yang baru nak belajar berjalan bukan terus boleh berjalan,macam tu lah kami.Pergerakan kaki kami berterabur umpama langkah seribu.Macam-macam 'foul' kami buat dan di pihak perempuan dok ketawakan kami termasuk cikgu skali.Pegh aku cakap,keputusan perlawanan pertama cukup 'membanggakkan' kami.Kalau boleh diibaratkan seperti bola sepak umpama Sepanyol lawan Malaysia,kalau kelab plak umpama Manchester United lawan PDRM.faham-fam je lah resultnya.

Keesokan kelasnya mereka perli-perli kita.Lepas tu,Tiger apa lagi bahang ah telinga dengar.Tiger mintak repeat balik game uwh pihak mereka pun setuju.So kita masa tu dah pasang plan,bagi-bagikan posisi masing-masing.Wah,petang tu kami turun dengan semangat Harimau Malaya konon.Game pun bermula dan lepas habis apa resultnya?Kalau harimau dah nampak mangsa depan mata,faham-faham je lah.Baham semuanya dan kami berasa bangga kerana dapat menewaskan school team netball.Ahahaha.. Tergamam korang.

Tapi apa yang penting kat sini aku nak bagi tahu,tanggapan aku selama ni kat game netball adalah salah sama sekali.Ini kerana peluh aku bermain netball ni sama seperti aku main bola sepak.Fuh! Lenjun kot.Letih pun letih.

Lepas tu perlawanan demi perlawanan kami aturkan.Untuk maklumat kami adalah badge pertama yang telah buat rekod pelajar lelaki bermain bola jarig kat sekolah tu.Sehinggakan semasa sambutan hari kemerdekaan pasukan kami dijemput bermain sekali bersama team netball yang ada masa tu.Tapi masa hari tersebut aku tak berjuang bersama-samalah dan team lelaki dinobatkan Juara Bola Jaring Kemerdekaan.Kejayaan yang cukup membanggakan.

Selepas itu,kami dah tidak berpeluang bermain lagi kerana sibuk dengan persiapan SPM.Selepas SPM kami juga cuba aturkan perlawanan lagi sebelum cikgu kami Pn.Nur Hafizah berpindah ke Sarawak bagi meneruskan tugasnya sebagai warga pendidik.Namun usaha kami menemui jalan buntu dan gagal kerana beliau begitu kesuntukkan masa kerana sibuk dengan urusan perpindahannya.Kami semua redha mungkin sebab mungkin ada hikmah disebalik semuanya tak jadi.

Tapi apa yang penting,yang berlalu jadikan sejarah.Biarlah kita semua berpisah ikut haluan masing-masing,tapi kita tetap pernah bersama-sama seronok pada suatu ketika.Semalam menjadi kenangan,esok menjadi harapan,hari ini menjadi kenyataan.Peganglah kata-kata tersebut.Jadikanlah coretan ini untuk mengimbau kisah kita bersahabat ketika di bangku sekolah.Mungkin bila nanti aku dah tiada samada tiada di bumi ini ataupun kita semua sudah terputus hubungan kunjungilah blog aku ni untuk jadikan renungan bahawasanya kita semua dahulu pernah berkawan.

Banyak lagi kenangan yang boleh aku coretkan.Jika aku diberi peluang akan aku coretkannya satu per satu.Insyaallah.Kat sini aku nak ambik kesempatan untuk mohon maaf kepada semua sahabat dan semua yang mengenali aku masa kat sekolah dulu jika sepanjang pengenalan kita aku ada buat salah dan silap yang tak sengaja dan mungkin disengajakan.Kepada Pn.Hafizah jika beliau berkesempatan membaca coretan ini,saya nak memohon sejuta kemaafan daripada cikgu jika sepanjang cikgu mengajar saya banyak kesalahan dan kesilapan yang telah saya lakukan.Untuk maklumat cikgu,cikgu adalah antara cikgu yang paling saya sanjung pertamanya kerana saya memang meminati subjek BM keduanya saya lihat cikgu curahkan segala ilmu dan teknik kepada kami semua.Tapi saya tak dapat membanggakan cikgu dalam SPM dengan subjek BM.Sampai sekarang saya tak dapat apa puncanya.Apa pun kita sebagai hamba hanya mampu merancang dan Allah juga merancang tetapi perancangan Allah adalah sebaik-baik perancangan.

Sekian.....

Adakah Kita Masih Terleka?

Pada 10 Ogos 2009 yang lalu,aku bangun seperti biasa dengan melakukan aktiviti yang sama setiap hari.Macam hari-hari yang lalu kami semua pergi sarapan bersama-sama.Bergurau-senda diselangselikan dengan gelak tawa.

Selepas kami berada di dalam kelas untuk belajar,ketua bahagian kami masuk kelas dan memberitahu sesuatu.Pada awalnya semasa beliau masuk,riak wajahnya tidaklah seperti biasa.Beliau dengan sebak memberitahu kelas kami bahawa salah seorang tenaga pengajar kami telah kembali ke rahmatullah disebabkan H1N1.Arwah juga merupakan teman rapat beliau,dan pada hari Selasa sebelumnya hari yang terakhir mereka keluar bersama-sama.Tetapi institut yang kami diami tersebut tidak diarahkan tutup oleh kerana arwah dijangkiti virus H1N1 itu di salah sebuah hotel terkemuka di Shah Alam.

Tepat jam menunujukkan pukul 3 petang suasana di institut itu gelap di dituni hujan yang begitu lebat.Semenjak aku berada di salah sebuah institut di Kuchai Lama,kualiti udara di kawasan Kuchai Lama dan kawasan sekitarnya memang teruk disebabkan jerebu.Apabila hujan mulai mencurah,aku rasa bagaikan rahmat kepada penduduk di situ.Ramai pelatih yang mengalami sakit-sakit seperti demam dan batuk mungkin kerana kualiti udara yang teruk itu.

Para tenaga pengajar sering mengatakan bahawa ini adalah antara tanda-tanda kiamat kerana asap keluar dari bumi.Pada masa yang sama tidak ada berita yang mengatakan negara jiran sedang alami kebakaran.Setelah 3 jam hujan yang begitu gah mencurahkan air ke muka bumi,kualiti udara di kawasan Kuchai Lama dan sekitarnya begitu bersih sekali.Sepanjang sebulan lebih aku berada di sana,tak pernah kualiti udaranya sebersih itu.Alhamdulillah,Allah telah membersihkannya dengan mengarahkan air membasahi bumi Kuchai Lama dan sekitarnya itu.

Pada saat itu,hati aku berdetik.. mungkin ada salah seorang penduduk di sini Allah telah makbulkan doanya supaya hujan turun.Dalam pada masa yang sama,aku terfikir.. jerebu(asap) ni wujud mungkin disebabkan dosa-dosa penduduk di situ termasuk aku sekali kot? Apa pun aku bersyukur kerana udara memang begitu bersih sekali.

Sehinggalah ke tengah hari keesokannya,jarak pemandangan sejauh 5KM begitu jelas.Kalau tak selama ini,jarak pemandangan 1KM pun sudah kabur.Pada jam 5 petang,tiba-tiba kualiti udar kembali pada sedia kala iaitu berjerebu.Ramai orang yang kembali mengeluh.Mana taknya,aku yang baru berada di sana pun terseksa dengan udara seperti itu.Aku terbayang-bayang seolah-olah ada yang tak kena.

Tetapi kami tetap mejalankan aktiviti seperti biasa kerana terpaksa.12 Ogos juga pagi dan malamnya hujan turun tetapi tidak langsung memberi kesan pada udara di situ.
Pada hari Khamis lalu,aku mendapat panggilan dari mak aku dengan perbualan yang sekejap beliau memberitahu bahawa vokalis kumpulan Rabbani iaitu Ustaz Asri(panggilan yang begitu disenangi)telah kembali ke rahmatullah semasa sedang berada di angkasapuri.Apa sempat aku ucapkan al-Fatihah.

Sepanjang pejalanan aku menuju ke kelas,teringat ceramah yang aku dengar.Penceramah itu mengatakan bahawasanya pada bulan Sya'aban dan Ramadhan akan berlaku banyak kematian.Kenyataan itu yang membuatkan aku keresahan.Jadilah sama-sama kita berdoa agar Allah panjangkan umur kita semua,memberkati kehidupan sepanjang hayat kita dikandung badan,dan jika ingin mematikan kita biarlah matikan kita dalam keadaan iman.

Tentang jerebu itu,mungkin Allah telah memberi amaran kepada sekalian umat bahawa umur dunia ini sudah tua.Bila-bila masa saja bumi akan hancur punah.Allah ada berfirman "...bumi tidak akan rosak jika tangan manusia itu sendiri yang melakukannya...".Buktinya Allah turut berfirman "...aku turunkan manusia ke bumi supaya mentadbirkannya..."

p/s:sejak daripada ceramah yang aku dengar sehingga artikel ni ditulis sudah lebih 50 kematian yang aku dapat tahu.Sekian!

07 August 2009

Hadis Palsu REJAB & SYA'ABAN

Agama wajib dipelihara ketulenannya supaya tidak berlaku campur aduk antara rekaan manusia dan perintah Allah dan Rasul-Nya. Jika agama boleh direka cipta, maka wahyu sudah tentu tidak diperlukan, juga Rasul tidak perlu diutuskan. Oleh itu Islam mengharamkan pembohongan di atas nama agama.

Dalam persoalan hadis, ramai kalangan kita yang begitu tidak berdisiplin dalam memetik hadis-hadis Nabi s.a.w., begitu juga dalam menghuraikannya. Sebahagiannya langsung tidak mengambil berat persoalan kethabitan iaitu kepastian di atas ketulenan sesebuah hadis.

Apa sahaja yang dikatakan hadis terus sahaja dibacakan kepada masyarakat tanpa meneliti takhrij dan tahqiq (keputusan) para ulama hadis terhadap kedudukannya.Lebih malang ada yang menyangka apa sahaja yang dikatakan hadis maka pastinya sahih dan wajib diimani.

Dengan itu apa sahaja yang mereka temui daripada buku bacaan, yang dikatakan hadis maka mereka terus sandarkan kepada Nabi s.a.w. tanpa usul periksa, sedangkan mereka lupa akan amaran yang diberikan oleh baginda Nabi s.a.w. dalam hadis yang mutawatir: “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain).“Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka).

Misalnya di tanah air kita, didapati apabila munculnya bulan Rejab dan Syaaban maka hadis-hadis palsu mengenai bulan-bulan tersebut akan dibaca dan diajar secara meluas. Antaranya hadis: “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku.

”Ini adalah hadis palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha‘if, m.s. 95, cetakan: Maktab al-Matbu‘at al-Islamiyyah, Halab, Syria). Nama penuh Ibn Jahdam ialah Ali bin Abdillah bin Jahdam al-Zahid.

Ibn Jahdam meninggal pada tahun 414H. Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadis palsu mengenai solat Raghaib (iaitu solat pada Jumaat pertama bulan Rejab). (lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-‘Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5, m.s. 173, cetakan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut).

Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H) menyebut: Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi).Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka.Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. Alhamdulillah. (Ibn al-Salah, ‘Ulum al-Hadis, m.s. 99)

Golongan penceramah, imam, khatib, dan media massa pula, ada menjadi ejen menyebarkan hadis-hadis palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut.Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H): Hadis-hadis mengenai solat Raghaib pada Jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w.Begitu juga semua hadis mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w.

Demikian juga hadis-hadis mengenai solat pada malam Nisfu Syaaban (kesemuanya adalah palsu).Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).Sebenarnya hadis sahih mengenai kebaikan malam Nisfu Syaaban itu memang ada, tetapi amalan-amalan tertentu khas pada malam tersebut adalah palsu.

Hadis yang boleh dipegang dalam masalah Nisfu Syaaban ialah: “Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain).

Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. (jilid 3, m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma‘arf, Riyadh).Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan khas tertentu pada malam tersebut bukan dari ajaran Nabi s.a.w.

Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Syaaban: “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam.”Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid.

Mereka membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi‘in dan tabi’ tabi‘in). Ia satu doa yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan sunah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya.

Ibadat

Perhimpunan (malam Nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidaah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas.

Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidaah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidaah, dan setiap yang bidaah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, fatawa Mu‘asarah jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).

Inilah kenyataan Dr. Yusuf al-Qaradawi, seorang tokoh ulama umat yang sederhana dan dihormati.

Namun dalam masalah ini beliau agak tegas kerana ia bercanggah dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.Justeru, hadis-hadis palsu mengenai Rejab dan Syaaban ini hendaklah dihentikan dari disebarkan ke dalam masyarakat. Kita perlu kembali kepada agama yang tulen.Hasil dari memudah-mudahkan dalam hal seperti ini maka muncullah golongan agama yang suka mendakwa perkara yang bukan-bukan.

Saya menyeru diri sendiri, para penceramah, ustaz-ustaz, media elektronik dan cetak, bahkan semua pihak yang membaca sesuatu hadis memastikan kesahihannya dahulu. Semoga Rejab dan Syaaban tahun ini tidak dibaluti dengan pembohongan terhadap Nabi s.a.w.

Lawak Bodoh Menteri Wilayah

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin buat lawak lagi. Beberapa hari lalu beliau mendakwa para peniaga di Kuala Lumpur kerugian antara RM100 juta hingga RM200 juta angkara kekecohan yang berlaku pada Himpunan Mansuhkan ISA, 1 Ogos lalu.

Bagaimanapun dalam kenyataannya 6 Ogos lalu, Nong Chik mendakwa kerugian yang ditaksirkan hanyalah RM20 juta sahaja.

Bagaimanapun beliau yang mahir 'mengajak wanita untuk mengikutnya ke tandas' menambah beberapa impak negatif lain daripada kesan demonstrasi anti-ISA Sabtu lalu, iaitu kehilangan pendapatan akibat pelancong tidak datang dan pelabur asing enggan melabur.

"Hari ini saya sudah berjumpa dengan 20 persatuan peniaga yang menghantar memorandum dan tuntutan. Saya rasa, sudah hampir RM20 juta sudah yang saya dapat.

"Tetapi ramalan saya itu kerugian keseluruhannya (RM100 juta hingga RM200 juta), termasuk kehilangan pendapatan pada masa akan datang apabila pelancong tidak datang, khususnya di Kuala Lumpur.

"Pelabur asing pun enggan datang," katanya.

Begitulah mudahnya ahli korporat Umno itu membuat congakan kerugian seperti mana mudahnya pemimpin-pemimpin Umno menghabiskan ratusan juta peruntukan pembangunan kerajaan bagi projek-projek membazir. Buktinya? Lihat sajalah apa yang dilakukan Dato' Idris Jusoh ketika menerajui kerajaan negeri Terengganu.

Memang menghairankan mengapakah ekonomi negara kita ini begitu sensitif pada pandangan peniaga, pelancong dan pelabur. Hanya dengan demonstrasi selama tiga jam negara sudah menerima kesan ekonomi yang teruk. Itu belum dikira kesan kejatuhan sistem kewangan ekonomi global!

Di negara-negara jiran seperti Thailand dan Indonesia, demonstrasi kerap berlaku. Malah di Thailand demonstrasi berlangsung berminggu-minggu hingga berbulan-bulan. Di Indonesia, bukan sahaja demonstrasi malah letupan bom menggegarkan ibu kota Jakarta dan bandar pelancongan Bali.

Bagaimanapun tidak pula menteri di dua buah negara itu sibuk-sibuk mengumpulkan tuntutan daripada para peniaga untuk diserahkan kepada penganjur demonstrasi ataupun rangkaian al-Qaeda dan Jamaah Islamiah yang didakwa sebagai dalang insiden letupan bom itu.Kerja-kerja lawak ini hanya dilakukan oleh menteri-menteri BN yang sudah kehilangan modal untuk berhadapan dengan kebangkitan rakyat.

Jika Raja Nong Chik benar-benar prihatin dengan nasib peniaga di ibu kota beliau sepatutnya meminta mereka mengemukakan tuntutan kepada pihak polis khususnya FRU yang bertindak semberono mengkucar-kacirkan perhimpunan aman itu dengan cota, seni pertempuran tanpa senjata dan semburan meriam air.

Malah ada saksi-saksi yang melihat bagaimana trak meriam air FRU secara berwewenang dihalakan ke gerai, warung dan restoran tempat orang ramai menjamu selera. Kucar-kacir pada hari itu bukan disebabkan para demonstran, tetapi berpunca daripada sikap tidak bertoleransi polis (zero tolerance) yang pastinya datang daripada arahan orang politik.Nong Chik dengan mudah menafikan kemungkinan kerajaan untuk membayar kerugian peniaga.

"Pada masa ini, saya rasa (kerajaan) tidak patut terlibat. Ini bukan kesilapan pihak kerajaan, tetapi (kesilapan) mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya.
Siapa sebenarnya tidak bertanggung jawab? Demonstran atau polis yang di bawah kuasa kerajaan?

Pihak mana sebenarnya yang menyekat laluan masuk ke ibu kota, menyebabkan kesesakan lalulintas dan mengganggu kelancaran himpunan aman itu jika tidak polis. Dan pihak mana pula yang mengarahkan polis untuk tidak bersikap toleran jika bukan Kementerian Dalam Negeri yang diterajui Hishamuddin Hussein, Naib Presiden Umno?

Nong Chik kononnya mahu menjadi pemudahcara bagi para peniaga yang kerugian. Kalau sekadar jadi pemudahcara, serah sajalah perkara itu kepada mana-mana NGO. Buatlah kerja lain yang lebih berfaedah untuk penduduk di Wilayah Persekutuan.

Seperkara lagi, tolonglah jangan menutup jalan-jalan di ibu kota untuk apa-apa raptai sempena Hari Kebangsaan, Hari Wilayah, Le Tour De Langkawi dan sebagainya. Kadang-kadang tempoh penutupan jalan itu lebih lama daripada demonstrasi anti-ISA.

Tindakan ini akan menyebabkan para peniaga di ibu kota kerugian ratusan juta ringgit, para pelancong enggan datang berkunjung dan para pelabur tidak mahu melabur. Itu ikut teori ekonomi mudah Raja Nong Chik!

FAM Bakal Tukar Format Lagi !!!

BELUM ada ketetapan.Demikian hasil pertemuan antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan wakil-wakil persatuan bola sepak negeri dan kelab berhubung format baru Liga Malaysia (Liga M) 2010 yang berlangsung di Wisma FAM,Kelana Jaya semalam.

Sebaliknya, wakil-wakil tersebut yang terdiri daripada setiausaha agung dan jurulatih itu diminta pulang berbincang dengan persatuan bola sepak negeri dan kelab masing-masing sebelum datang berbincang semula dengan FAM pada 15 Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JPT) FAM, Datuk Che Mat Jusoh berkata, sepanjang pertemuan semalam, pihaknya telah menyatakan cadangan serta syarat-syarat untuk pasukan negeri dan kelab bagi format Liga M musim 2010 dan seterusnya.

"Semua cadangan itu akan dibincangkan semula oleh wakil negeri dan kelab dan sebarang rumusan hendaklah dibentangkan pada 15 Ogos nanti.JKPT akan tentukan format baru tersebut dan selepas itu kita akan kemukakan ke Majlis FAM, barulah ia dimuktamadkan.

"Pelbagai syarat dicadangkan seperti deposit wang tunai RM500,000 untuk menyertai Liga Super, RM300,000 untuk Liga Perdana dan RM30,000 untuk Liga FAM musim depan."

Mungkin Liga Super hanya untuk negeri saja dan Liga Perdana untuk kelab saja atau Liga Super untuk kelab yang profesional dengan pemain import dan Liga Perdana untuk pasukan negeri dengan tumpuan kepada pembangunan.

"Atau mungkin juga format sedia ada ini akan kekal tetapi pengisiannya diperkasakan dengan syarat-syarat baru."Selain itu, cadangan lain, setiap pasu- kan perlu menyelesaikan apa-apa hutang mereka sebelum 31 Oktober depan.

Jika gagal, mereka tak dibenarkan beraksi musim depan," katanya pada sidang media semalam.

Apa yang pasti, Che Mat memberitahu, masalah kewangan dan pengurusan pasukan menjadi kriteria utama dalam menentukan format Liga M musim depan.

"Setakat ini kita ada tujuh pasukan negeri yang masih berhutang caruman dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Jumlah keseluruhan hutang itu ialah RM6.2 juta.

"Jadi kita boleh buat ketetapan bahawa hutang KWSP ini dan juga hutang-hutang gaji tertunggak pemain perlu diselesaikan jika mereka mahu beraksi dalam Liga M musim depan," tegasnya.

Pada Kongres FAM ke-46 yang berlangsung 21 Jun lalu, Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah menerusi titahnya yang disampaikan Timbalan Presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad, mahukan format Liga M dirombak musim depan.

Ia bagi memastikan saingan lebih menarik dan pada masa yang sama mampu mengatasi masalah kewangan yang dihadapi pasukan-pasukan bertanding ketika ini.

ISU KHAS : KEMERDEKAAN MALAYSIA

Sebelum pemasyhuran kemerdekaan Tanah Melayu dibuat, pada 30 Ogos 1957 pukul 12.00 tengah malam di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur, telah diadakan upacara menurunkan bendera Union Jack bagi menandakan berakhirnya penjajahan British di Tanah Melayu dan lahirnya sebuah negara baru yang berdaulat, setaraf dan setimpal dengan semua negara-negara yang berdaulat di dunia. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sambil disaksikan sendiri oleh Tunku Abdul Rahman.

Pada 31 Ogos 1957 bertempat di stadium yang baru dirasmikan iaitu Stadium Merdeka, Kuala Lumpur telah menyaksikan peristiwa bersejarah bagi Tanah Melayu iaitu secara rasminya penyerahan pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu daripada pemerintahan British kepada warganegara Tanah Melayu.

Hujan lebat yang turun sejak 3 pagi menyukarkan pergerakan dan sehingga 6.30 pagi, stadium masih belum dipenuhi oleh pengunjung. Ini menyebabkan upacara telah ditangguhkan selama sejam dan pengumuman majlis bermula kedengaran bukan pada pukul tujuh seperti yang dijangka tetapi pada pukul lapan. 2,000 orang tentera Persekutuan menumpang di sekolah-sekolah berhampiran stadium sebelum itu berarak dalam hujan dan tujuh batalion yang membuat perarakan ketika itu iaitu Rejimen Persekutuan, Skuadron Isyarat, Skuadron Jurutera, Tentera Laut Diraja Tanah Melayu, Tentera Laut Simpanan Diraja Tanah Melayu dan Askar Sivil Persekutuan.

Pada pukul 8, para media telah diberi pengumuman untuk bersedia dan semua peralatan kamera dan media ketika itu dipasang dengan perlindungan plastik atau pelapik kalis air lain di sekitar padang yang lembap. Kebetulan, hujan reda yang memungkin segala persiapan sebelum upacara bermula dapat dijalankan dengan mudah. Pengunjung bertambah ramai untuk menyaksikan upacara bersejarah ini.

Antara kumpulan pengunjung yang tiba di stadium adalah Kadet, Pengakap Laut (dengan pakaian putih, topi putih dan seluar pendek berwarna biru), Pandu Puteri (berpakaian biru muda), Pengakap (dengan kain skaf, berwarna merah dan emas, merah dan hitam, merah dan biru, merah dan putih), Pasukan Briged St. John's Ambulance dan Palang Merah British turut mengambil tempat di sisi stadium manakala kumpulan pancaragam dan pengawal kehormat berada di susur terowong masuk.

Kemudian, tetamu-temamu kehormat mula tiba Lord Chancellor dari England berpakaian yang sama seperti ketika dia menjadi hakim Mahkamah Tinggi Persekutuan. Pemangku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan merupakan Raja Melayu yang pertama berangkat tiba diikuti Tengku Mahkota Johor (dalam pakaian uniform tentera baginda) yang menggantikan Sultan Johor, Sultan Perak (berpakaian berwarna krim), Sultan Terengganu (berpakaian emas bersama merah gelap dan hijau), Sultan Kelantan (berpakaian emas pucat), Sultan Kedah (berpakaian biru dan perak) Raja Perlis (berpakaian emas), Sultan Pahang (berwarna merah senduduk dan dan perak) serta yang akhir sekali, baginda Yang di-Pertuan Agong yang berpakaian perang serta memakai keris yang baru. Setiap daripada baginda diiringi bunyi nafiri dan berdiri di bawah payung kuning keemasan sambil Yang di-Pertuan Agong berjalan ke tempat duduk baginda. Pengunjung stadium masih lagi berdiri apabila Duke of Gloucester masuk sambil diiringi Sir Donald MacGillivray. Dengan ketibaan semua tetamu diraja, upacara Pengisytiharan dimulakan.

Adikung Duke membawa watikah perlembagaan yang menyatakan pengunduran daripada perlindungan British terhadap negeri-negeri Melayu dan kedaulatan terhadap Pulau Pinang dan Melaka. Raja-raja Melayu mula melangkah ke pentas dan Duke mengambil tempat di depan pentas sambil menerima hormat diraja sambil diiringi oleh Sir Donald MacGillivray. Ketika itu merupakan kali terakhir satu-satu upacara negara menyanyikan lagi kebangsaan British di Persekutuan Tanah Melayu. Kemudian, baginda Duke membacakan perutusan daripada baginda Ratu Elizabeth II akan pernyataan baginda yang mengalukan kemasukan Persekutuan ke dalam Komanwel dan mendoakan kejayaan negara ini.

Kemudian, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman bangun dari tempat duduknya dan menerima watikah perlembagaan sebagai lambang penyerahan kuasa pemerintahan sepenuhnya kepada Persekutuan Tanah Melayu. Duke mengambil tempat duduk dan Tunku mulakan ucapannya dalam bahasa Inggeris. Setelah Tunku mengucapkan penghargaan kepada Great Britain akan pertolongan untuk mencapai kemerdekaan, beliau mula membaca teks "Pengisytiharan Kemerdekaan".

Pengisytiharan itu disambut dengan laungan "MERDEKA" 7 kali sebagai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama di hadapan 20 ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan Raja-rajanya serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel dan negara-negara asing lainnya. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan dengan iringan Lagu Kebangsaan Negaraku yang buat pertama kalinya diperdengarkan secara rasmi dalam sebuah negara baru. Diikuti pula selepas itu dengan seruan azan sebagai simbolik lahirnya sebuah negara yang baru dan tembakan meriam seratus satu das.

Dengan bunyi nobat nafiri, Yang di-Pertuan Agong diiringi oleh Duke of Gloucester, berangkat pergi dari pentas diikiuti oleh pemerintah Melayu yang lain, Perdana Menteri dan Sir Donald MacGillivray. Kemudian, Doa Selamat dibacakan bagi memohon keberkatan dan keredhaan Allah terhadap sebuah negara yang baru dilahirkan.

Dengan pengisytiharan itu, maka berakhirlah penjajahan Inggeris dan kuasa Baginda Ratu ke atas Persekutuan Tanah Melayu termasuk Pulau Pinang dan Melaka iaitu sejak lebih 170 tahun. Pada hari itu juga Pesuruhjaya Tinggi British terakhir di Persekutuan Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivray dan isterinya telah meninggalkan negara ini dan pulang ke England.

Merdeka! Merdeka! Merdeka! Hayatilah Semangat Kemerdekaan Negara Kita yang Tercinta!