12 March 2010

Tips Memberi Pandangan

Hakikat kejadian manusia mempunyai akal. Akallah yang membezakan antara manusia dan haiwan. Terdapat juga definisi lain pada manusia iaitu, haiwan anna-thik, haiwan yang mampu berkata-kata. Kita begitu unik dan istimewa dengan kelebihan akal kita, namun akal bukanlah satu-satunya unik yang benda yang kita perlu hargai dalam menentukan arah tuju hidup kita.

Dalam proses membuat pilihan, biasanya kita akan dibantu oleh tiga jenis penasihat. Akal, nafsu dan hati. Kepada penasihat manakah kita perlu cenderung mendengarnya? Contoh paling mudah, budaya menghisap rokok. Akal kesihatan memberitahu bahawa rokok itu membahayakan tubuh badan kita. Akal agama mengatakan bahawa ia pernah mendengar merokok itu haram. Akal ekonomi menasihatkan rokok sekarang makin mahal. Nafsu bergaya berkata, merokoklah, kerana merokok itu ada kelas yang tersendiri. Nafsu ekonomi pula berbisik, merokoklah, untuk memaksimumkan kepuasan diri.

Jika hanya bergantung kepada dua penasihat ini, maka ranaplah kita. Akhirnya, setelah ditimbangi oleh hati, hatilah yang membuat keputusan. Keputusan hati itu pula bergantung dengan sebanyak mana titik-titik hitam yang ternoda di tubuhnya. Jika elok hatinya, eloklah keputusannya, jika rosak hatinya rosaklah jua keputusan yang diterima.

Begitulah, walaupun akal itu hebat, tapi akal hanya membuat kita TAHU. Jika kita mengekang nafsu, maka lahirlah MAMPU. Kita hanya mampu mengekang nafsu sekiranya hati kita berupaya melahirkan MAHU. Maka, jika diperhatikan dengan teliti, rupa-rupanya akal ini tidak mampu membuat semua perkara.

Persamaan antara Bush dan ahmadineejad ialah mereka berdua mempunyai akal yang tinggi. Perbezaannya, hati yang baik atau sebaliknya. Kadang-kadang, dalam dunia blog ini, kita dapati ramai manusia yang mencetuskan pelbagai luahan idea. Ada yang bersifat menulis diari, ada yang meletakkkatan kata-kata puitis, ada yang menulis tazkirah dan ada pula yang menulis sebagai wadah luahan emosi. Kepelbagaian itulah yang membuatkan kita terus hidup. Dan semua yang menulis pula, mempunyai akal yang hebat-hebat belaka.

Namun, seperti penerangan di atas, akal bukanlah segala-galanya. Sebagai umat Islam, kita perlu merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah. Kadang-kadang kita menggunakan lesen pendapat untuk menyuarakan apa yang kita rasa benar. Kalau dalam hal keduniaan bolehlah, tapi jangan pula sehingga yang melibatkan isu-isu agama. Ingin jadi golongan muktazilahkah kita? Jangan terlampau ikutkan nafsu marah ketika menulis dan jangan dilayan sangat emosi ketika menulis, bukankah hilang separuh dari akal ketika marah?

Kita kurang berpuas hati dengan apa yang berlaku di sekeliling kita. Lalu, kita menulis di dalam blog atau kita bincangkan di forum. Isu itu pula berkaitan dengan keagamaan. Namun, pada kebiasaanya kita lebih mengutamakan emosi dan pandangan berbanding hujah-hujah dan dalil naqli. Kenapa kita selalu mendahulukan hujah-hujah akliah (logik) berbanding hujah-hujah naqliah (dari quran dan hadis).

Kadang-kadang, walaupun kita kita kurang arif dalam sesuatu perkara, lalu kita ingin menegur. Akal mengatakan, perkara itu kurang betul. Hati kita yang tercalit titik-titik hitam pula meragui niat hati orang lain. Lantas apa yang berlaku, perbincangan kosong yang berdasarkan pandangan semata-mata. Bukannya salah untuk menulis dengan penuh logik dan beremosi, tapi tetap jadikan quran dan hadis sebagai prioriti.

Kita bertanggungjawab terhadap apa yang kita tulis. Menggunakan logik akal semata-mata dan mengaitkan ayat al-quran yang tidak berkaitan dengan isu bukanlah etika seorang penulis muslim/muslimah yang sebenar. Jangan jadikan ayat ‘saya hanya berpandangan’ sebagai lesen untuk menulis. Memberi pandangan tidak salah, tapi biarlah berlandaskan quran dan sunnah. Memberi pandangan juga tidak salah, tapi jangan marah jika pandangan kita itu salah. Kita selalu marahkan puak liberalisme jika mereka berfikir sesuatu menurut akal mereka, tapi kalau beginilah keadaannya, maka apa kurangnya kita?

Contoh mudah dalam memberi pandangan:

Saya rasa kita perlu kuatkan industri rokok ini, kerana cukai yang kita kutip darinya amat tinggi.

Saya berpendapat, wajar untuk kita terlibat dalam aktiviti (tidak perlu dinyatakan) tersebut.

Aku rasa kita bolehlah tangkap gambar laki dan perempuan, ala, sekali sekala. Walaupun aku rasa apa yang aku lakukan itu salah, namun hati aku mengatakan ia tindakan yang wajar.

Tak perlulah solat zohor jamaah kat surau, nanti siapa nak kejut room mate aku? Baik aku solat kat bilik.

Jumpa abang angkat pun salah ke? Alahai, abang angkat je. Nak rapatkan ukhuwwah.

Cuba bayangkan, suatu hari, seorang hakim berkata, saya berpendapat, pencuri ini walaupun ternyata bersalah, tapi ia tidak boleh dihukum. Kerana dia terpaksa menanggung orang tuanya yang dhaif dan anak-anaknya yang ramai. Tergamamkah kita? Bukankah pendapatnya amat logik? Disebabkan terlampau menggunakan akal, hukum yang telah Allah nyatakan dalam Al-Quran sudah tidak menjadi relevan, pada pandangan mereka. Naúzubillah min zalik.

Bukankah Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda, Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat jika kami berpegang teguh kepadanya, kitab allah dan sunnah rasulnya. Allah taala juga telah berfirman, Jika kamu tidak mencapai kata sepakat dalam sesuatu perkara, maka kembalilah kepada Allah dan rasulnya, jika kamu benar-benar beriman terhadap allah dan hari akhirat.

Acapkali, kita terasa diri kita hebat setelah membari pandangan. Lalu bila ada pandangan lain yang bercanggah, kita membantah, meskipun pandangan itu berpandukan Quran dan Sunnah. Lalu, tanpa mengakui kesalahan diri, kita menggunakan ayat, Saya hanya berpandangan. Itu pandangan aku. Tidak salah untuk memberi pendapat, tapi biarlah pendapat itu berasaskan quran dan sunnah, bukan berdasarkan akal semata-mata. Janganlah pula kita menimbulkan sikap kurang rasa bersalah, menyedapkan hati sendiri dengan menggunakan akal.

Dahulukan apa yang perlu dahulukan, kemudiankan apa yang perlu dikemudiankan. Kita punya akal, lalu kita memberi pandangan. Kita punya hati, lalu kita menulis mengikut hati. Kita punya agama, tapi kenapa kita tak mahu mengikut agama? Moga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment