03 August 2009

Hak Rakyat Dipertikaikan

Kelmarin, 1 Ogos 2009, telah tercatat satu lagi sejarah penting dalam perjalanan panjang perjuangan demokratik rakyat Malaysia apabila demonstrasi anti-ISA berjaya dilaksanakan, walaupun tidak sepenuhnya mencapai matlamat.

Demonstrasi anti-ISA dipimpin Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Pakatan Rakyat dan kehadiran kecil kumpulan pro-ISA itu walau bagaimanapun, seperti yang sepatutnya, lebih tertumpu pada anti-ISA yang bertentangan dengan pandangan kerajaan.

Pelbagai kritikan telah dilemparkan pihak pemerintah dan penyokongnya kepada demonstrasi itu, tanpa mengambil kira hak rakyat negara ini untuk berhimpun seperti yang menjadi amalan di negara-negara demokrasi seluruh dunia.

Pihak anti-ISA dituduh dengan pelbagai tuduhan, daripada mengganggu ketenteraman, menyusahkan peniaga-peniaga hingga motif-motif di sebalik perhimpunan itu.

Apapun tuduhan yang dilemparkan, isu utama yang perlu dinilai ialah hak rakyat untuk bersuara dan respons pemerintah terhadap perhimpunan itu.

Sama ada demonstrasi menentang ISA 1 Ogos lalu bermotif politik tertentu, contohnya mengalih perhatian daripada kes dakwaan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti didakwa penentang pembangkang, itu soal lain.

Perlu diakui, demonstrasi-demonstrasi besar yang dijalankan pembangkang seperti Bersih pada 2007 dan anti-PPSMI beberapa bulan lalu sememangnya ada motif lain selain apa yang menjadi tuntutan utama.

Kerajaan BN juga mempunyai kepentingan tertentu dalam melaksanakan banyak program baharu, selain daripada yang dinyatakan secara rasmi dan diulang-ulang pengulas dan penyokong parti-parti menguasai kerajaan.

Soal utama ialah hak rakyat (semua rakyat Malaysia, bukan “rakyat” seperti dimaksudkan sebuah akhbar, yang dikatakan disusahkan oleh demonstrasi itu) untuk berhimpun menyatakan suara mereka.

Hal ini, akibat pengajaran dan pembelajaran budaya politik autoritarian dan berasaskan bahasa kuasa selama terutamanya hampir 30 tahun lalu, telah dinafikan pihak berkuasa dan dilihat sebagai sesuatu yang sangat negatif.

Menjelang mana-mana demonstrasi, media dikuasai parti pemerintah akan menguar-uarkan kebimbangan tentang keselamatan dan pelbagai ancaman, seiring dengan kenyataan-kenyataan pemimpin kerajaan tentang bahaya ancaman itu.

Hakikatnya, sebahagian besar pembangkang mempunyai kepentingan supaya demonstrasi melibatkan mereka berlangsung dengan aman dan mereka tidak hilang sebarang kawalan, terutama melibatkan demonstrasi yang besar.

Pembangkang lebih terdedah kepada persepsi negatif dan akan lebih banyak rugi sekiranya demonstrasi anjuran mereka terlibat dengan kekacauan atau keganasan. Selain tangkapan pihak berkuasa dan banyak kesusahan lain, pembangkang sangat perlu menjaga imej sebagai pihak yang bertanggungjawab dan bersedia untuk mentadbir negara.

Dengan segala kawalan dan kekangan yang disediakan oleh pihak pemerintah, mereka tidak sepatutnya menuding jari kepada pembangkang kerana kekacauan yang berlaku pada 1 Ogos. Kawalan yang sewajarnya dengan kerjasama pembangkang dapat memudahkan perjalanan demonstrasi anti-ISA itu.

Rancangan GMI dan penentang ISA sangat mudah, iaitu berkumpul dan bergerak ke Istana Negara untuk menyerahkan tuntutan. Sekiranya ini dibiarkan berlangsung dengan aman, dan dengan syarat penganjur dan peserta himpunan memberi kerjasama, ia akan mudah dilaksanakan, tanpa perlu drama berlebihan dan tindakan keras pihak berkuasa.

Pemerintah masih berdegil dengan sikap autoritarian mereka yang enggan memberi ruang kepada sebarang tindakan demokratik rakyat. Sikap ini terus memberikan imej buruk kepada negara, lebih-lebih lagi apabila kejadian itu dilapor media luar negara.

Pemerintah perlu sedar imej mereka telah lama buruk di peringkat antarabangsa ekoran sikap seperti ditunjukkan dalam demonstrasi-demonstrasi. Apa yang dilakukan pada 1 Ogos memburukkan lagi imej mereka, walaupun pada masa sama cuba menangani kemerosotan sokongan ini dengan pelbagai cara.

Kedua-dua pemerintah dan pembangkang kini terlibat dalam persaingan menyampaikan mesej kepada rakyat dan dunia. Sehingga kini, pembangkang lebih ke hadapan dan pemerintah jauh ketinggalan, akibat apa yang dilakukan seperti di demonstrasi anti-ISA.

Tetapi apa yang lebih penting daripada permainan imej itu ialah hak demokratik rakyat untuk berhimpun dan menyatakan suara mereka tanpa diperlihatkan sebagai pengacau dan gerombolan yang mengganggu ketenteraman dan merosakkan harta benda awam.

Tindakan parti pemerintah terus menyekat rakyat dengan keras tanpa ada sebarang tanda untuk memberi ruang hanya akan mempercepatkan tamatnya tempoh kekuasaan mereka.

No comments:

Post a Comment