07 August 2009

FAM Bakal Tukar Format Lagi !!!

BELUM ada ketetapan.Demikian hasil pertemuan antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan wakil-wakil persatuan bola sepak negeri dan kelab berhubung format baru Liga Malaysia (Liga M) 2010 yang berlangsung di Wisma FAM,Kelana Jaya semalam.

Sebaliknya, wakil-wakil tersebut yang terdiri daripada setiausaha agung dan jurulatih itu diminta pulang berbincang dengan persatuan bola sepak negeri dan kelab masing-masing sebelum datang berbincang semula dengan FAM pada 15 Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JPT) FAM, Datuk Che Mat Jusoh berkata, sepanjang pertemuan semalam, pihaknya telah menyatakan cadangan serta syarat-syarat untuk pasukan negeri dan kelab bagi format Liga M musim 2010 dan seterusnya.

"Semua cadangan itu akan dibincangkan semula oleh wakil negeri dan kelab dan sebarang rumusan hendaklah dibentangkan pada 15 Ogos nanti.JKPT akan tentukan format baru tersebut dan selepas itu kita akan kemukakan ke Majlis FAM, barulah ia dimuktamadkan.

"Pelbagai syarat dicadangkan seperti deposit wang tunai RM500,000 untuk menyertai Liga Super, RM300,000 untuk Liga Perdana dan RM30,000 untuk Liga FAM musim depan."

Mungkin Liga Super hanya untuk negeri saja dan Liga Perdana untuk kelab saja atau Liga Super untuk kelab yang profesional dengan pemain import dan Liga Perdana untuk pasukan negeri dengan tumpuan kepada pembangunan.

"Atau mungkin juga format sedia ada ini akan kekal tetapi pengisiannya diperkasakan dengan syarat-syarat baru."Selain itu, cadangan lain, setiap pasu- kan perlu menyelesaikan apa-apa hutang mereka sebelum 31 Oktober depan.

Jika gagal, mereka tak dibenarkan beraksi musim depan," katanya pada sidang media semalam.

Apa yang pasti, Che Mat memberitahu, masalah kewangan dan pengurusan pasukan menjadi kriteria utama dalam menentukan format Liga M musim depan.

"Setakat ini kita ada tujuh pasukan negeri yang masih berhutang caruman dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Jumlah keseluruhan hutang itu ialah RM6.2 juta.

"Jadi kita boleh buat ketetapan bahawa hutang KWSP ini dan juga hutang-hutang gaji tertunggak pemain perlu diselesaikan jika mereka mahu beraksi dalam Liga M musim depan," tegasnya.

Pada Kongres FAM ke-46 yang berlangsung 21 Jun lalu, Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah menerusi titahnya yang disampaikan Timbalan Presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad, mahukan format Liga M dirombak musim depan.

Ia bagi memastikan saingan lebih menarik dan pada masa yang sama mampu mengatasi masalah kewangan yang dihadapi pasukan-pasukan bertanding ketika ini.

No comments:

Post a Comment