25 September 2009

Dendam Tak Sudah Selangor, Hijau Kuning!

Andai diberi pilihan, juara bertahan, Kedah menjadi pilihan pemain pertahanan Selangor, Asraruddin Putra Omar bagi lawan yang mahu ditemui dalam final Piala Malaysia 2009 pada 7 November ini.

Sebabnya begitu nyata buat mana-mana peminat Merah Kuning - Kedah adalah pasukan yang mengecewakan harapan Selangor dua kali musim lalu, dalam final Piala Malaysia dan Piala FA dengan keputusan sama 3-2.

“Jika diberi pilihan, saya mahu berjumpa Kedah di final. Ia adalah untuk membalas dendam terhadap dua kekalahan kami kepada mereka tahun lalu,” katanya.

Asra mungkin mendapati hajatnya ditunaikan selepas undian Piala Malaysia memisahkan kedua-dua pasukan itu sehingga ke final sekiranya Selangor dan Kedah muncul juara kumpulan masing-masing, D dan E.

Selain Kedah, bek kiri skuad bawah 23 kebangsaan itu melihat Kelantan sebagai salah satu ancaman terhadap hasrat Merah Kuning untuk melengkapkan sapuan bersih empat piala domestik musim ini.

“Kelantan mungkin salah satu pasukan yang mampu menggugat jika bertemu dalam suku akhir. Pada suku akhir, setiap lawan yang kami temui pastinya sukar,” kata pertahanan tinggi lampai yang menjadi antara tonggak skuad bimbingan K Rajagobal ke Sukan Sea Laos nanti.

Jagoan lembah Klang itu dilihat mempunyai laluan mudah dalam kumpulan D dengan mereka dijangka akan mengungguli saingan yang turut menampilkan Kuala Muda Naza selain Polis dan Sabah yang dijangka tidak mungkin memberi ancaman besar kepada kemaraan Selangor dan KM Naza ke suku akhir.

No comments:

Post a Comment