25 September 2009

Jadual Ketat Menanti RED GIANT

SELANGOR bakal berdepan jadual ketat dalam misi mencapai sasaran awal menjuarai Kumpulan D saingan Piala Malaysia musim ini.

Skuad Red Giants itu akan beraksi tujuh perlawanan dalam tempoh 18 hari bermula Sabtu ini.

Selangor akan berdepan Sabah di Stadium Tawau, Sabtu ini diikuti dua pertemuan di Stadium Shah Alam bertemu PDRM (29 September) dan KM Naza (2 Oktober).

Dua hari kemudian, Selangor akan bertemu Singapura pula untuk perlawanan tahunan Piala Sultan Selangor di Stadium Jalan Besar, Singapura pada 4 Oktober.

Skuad kendalian K. Devan itu akan menyambung semula aksi Piala Malaysia bertemu Sabah di Stadium Shah Alam pada 6 Oktober.

Selangor bakal mengakhiri saingan Kumpulan D dengan menentang PDRM di Stadium Selayang pada 10 Oktober (Sabtu) sebelum bertemu KM Naza di Stadium Darul Aman, Alor Setar (13 Oktober).

Pengurus Selangor, Zakaria Ab. Rahim berkata, biarpun di atas kertas lawan mereka dalam Kumpulan D tidak begitu kuat, jadual padat dan perjalanan jauh ke Sabah, Singapura dan Kedah memerlukan kekuatan mental dan fizikal di kalangan pemainnya.

"Skuad Selangor kembali turun berlatih petang tadi (selasa 22 sep 2009) bercuti empat hari untuk menyambut Aidilfitri. Kita mempunyai tiga hari latihan penuh sebelum berlepas ke Tawau pada Jumaat ini.

"Saya yakin jurulatih pasti ada perancangan tersendiri untuk memantapkan pasukan.

"Kita akan lebih tumpukan latihan taktikal selepas latihan memantapkan fizikal diadakan sepanjang Ramadan lalu," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selangor bakal tampil dengan dua pemain Piala Presiden yang baru bagi mengisi slot pemain bawah 20 tahun dalam kesebelasan utama iaitu Khairul Anuar Khalid dan Zul Hisyam Safian bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan C. Premnath.

"Premnath terpaksa diketepikan untuk saingan Piala Malaysia ini atas sebab-sebab peribadi.

"Jadi kita bawa masuk Khairul dan Zul Hisyam bagi menyertai 24 pemain senior lain," jelas Zakaria.

Selepas tamat saingan peringkat kumpulan pada 13 Oktober, pasukan-pasukan yang layak ke suku akhir mempunyai rehat selama seminggu kerana perlawanan suku akhir pertama hanya akan berlangsung pada 20 Oktober diikuti suku akhir kedua (24 Oktober).

No comments:

Post a Comment