Tajuk : Kemunculan Dajal dan Ya’juj Ma’juj
Penulis : Maulana Muhammad Ali
Penerbit : Pustaka Azhar, Johor Bahru, Johor (www.pustakaazhar.com)
ISBN : 978-985-40212-7-0 Harga : RM9.00
Cetakan : Pertama 2007, Kedua 2008 dan Ketiga 2009
Intisari Buku
Buku karangan Maulana Muhammad Ali ini terbahagi kepada 35 bab yang mana setiap satu babnya membicarakan secara inklusif berkaitan sesuatu hadith. Semua bahagian bab-bab ini dibahagikan berdasarkan hadith-hadith yang membicarakan tentang Dajjal dan Yakjuj Makjuj. Perbahasan tentang Dajjal di dalam buku digabungkan sekali bersama perbahasan berkenaan Yakjuj Makjuj kerana terdapat sebahagian hadith berkaitan Dajjal menerangkan bersama-samanya tentang Yakjuj Makjuj.
Setiap tajuk bagi setiap bab adalah diambil dari tema sesuatu hadith. Misalnya hadith yang berbunyi; Sabda Rasulullah SAW; “Orang terakhir yang datang kepada Dajjal ialah wanita.” Maka penulis ini telah menamakan satu bab dengan tajuk “Pengaruh Dajjal Terhadap Wanita.”
Ini satu pendekatan yang amat menarik dan berkesan kerana kebanyakan hadith-hadith Rasulullah tentang Dajjal mempunyai tema-tema yang amat jauh antara satu sama lain. Walaupun hanya setebal 116 mukasurat, penulis berjaya menyatukan intisari-intisari dengan padat dan berkesan dalam menghuraikan maksud sebenar di sebalik setiap hadith-hadith berikut.
Pandangan keseluruhan penulis buku
Penulis buku ini berpandangan bahawa Dajjal adalah suatu nama yang mewakili sesuatu bangsa dan ia bukanlah seorang manusia. Untuk mengukuhkan pandangan ini, Maulana Muhammad Ali telah mengemukakan hadith-hadith sahih yang mengisahkan tentang Dajjal yang biasa kita baca.
Di dalam bab yang bertajuk “Adakah Dajjal itu seseorang atau bangsa?”, penulis menghujahkan bahawa Dajjal itu adalah bangsa berdasarkan hadith di bawah; “Rasulullah sallallahu Alaihi Wassalam bersabda; Kamu akan bertempur dengan jazirah Arab, dan Allah akan memberi kemenangan kepada kamu, lalu kamu akan bertempur dengan Parsi, dan Allah akan memberi kemenangan kepada kamu, lalu kamu akan bertempur dengan Rom, dan Allah akan memberi kemenangan kepada kamu, lalu kamu akan bertempur dengan Dajjal, dan Allah akan memberi kemenangan kepada kamu.” Berdasarkan hadith sahih di atas, penulis menegaskan bahawa pengulangan kalimat Arab, Parsi dan Rom adalah sama maksud dengan Dajjal. Maka perkataan Dajjal itu adalah sebuah bangsa sama seperti yang dimaksudkan Nabi Muhammad tentang Rom, Arab dan Parsi.
Namun begitu, huraian di atas tidak pula dikaitkan dengan hadith sahih yang masyur iaitu berkenaan Tamim Ad-Dari yang berjumpa dengan Dajjal di sebuah pulau. Maulana Muhammad Ali tidak menghuraikan dengan jelas apakah makhluk yang bercakap dengan Tamim Ad-Dari itu adalah benar-benar makhluk bernyawa atau hanya sebuah konsep.
Hadith tentang Tamim Ad-Dari dihuraikan di dalam bahagian lain yang bertajuk "Tempat Tinggal Dajjal Pada Zaman Nabi." Huraian di situ agak tergantung kerana tafsiran hadith berkenaan tidak diberi connection pada bab “Adakah Dajjal itu seseorang atau bangsa?”
Kesimpulan
Namun demikian, buku ini bolehlah dikatakan sebagai suatu nilai tambah kepada dunia konspirasi Yahudi kerana ia cuba menyegarkan semula otak kita tentang betapa pentingnya mengambil berat hal ehwal Dajjal dan Yakjuj Makjuj. Walaupun tiada penemuan-penemuan baru dan mempunyai pandangan yang berbeza dengan blog ini, kami mengesyorkan anda mendapatkan buku ini sebagai satu tambahan pengetahuan.
Menyingkap hal ehwal Dajjal dan Yakjuj Makjuj tidak boleh hanya berpegang kepada pendapat seorang sahaja. Lebih banyak pendapat yang diterima lebih tercerna ilmu pengetahuan itu dan secara tidak langsung membuahkan satu ruang pendapat yang sihat lagi berilmu. InsyaAllah…
No comments:
Post a Comment