17 July 2010

Piala Dunia Yang Mengecewakan

Piala Dunia sulung di benua Afrika yang telah berakhir bukan sahaja menyaksikan Sepanyol berjaya muncul juara tetapi turut berjaya menjulang nama Afrika sebagai penganjur yang hebat.

Namun di sebalik kejayaan itu, sebenarnya wujud kegagalan besar apabila kualiti bola sepak yang dipersembahkan sepanjang 31 hari pertandingan itu boleh dipertikaikan.

Memang pujian tinggi melangit perlu diberikan kepada Afrika Selatan yang berjaya menyediakan stadium moden yang hebat, sambutan yang hangat, tahap keselamatan yang tinggi serta keseriusan mereka menutup mulut pengkritik yang celupar.

Tetapi agak malang, segalanya serba tidak menjadi di atas padang apabila tidak banyak gol berjaya dihasilkan, corak permainan yang kurang menarik, kemalapan prestasi pemain bintang dan kegagalan pasukan pilihan menyinar.

Semuanya menyumbang kepada mutu bola sepak yang mengecewakan biarpun hati peminat bola sepak sedikit terubat apabila menyaksikan perlawanan akhir menarik antara Sepanyol dan Belanda.

Jaringan gol tunggal dan kemenangan empat minit sebelum masa tambahan tamat, merungkai penyudah yang diimpikan selepas puas menyaksikan pertarungan fizikal di antara kedua-dua pasukan sehingga menyaksikan 13 kad kuning dan 1 kad merah dilayangkan sepanjang permainan.

Namun, hakikatnya tidak banyak gol berjaya dihasilkan pada Piala Dunia kali ini dan ia adalah aspek paling buruk dicatatkan apabila hanya 28 gol dijaringkan dalam 17 perlawanan pertama.

Ia kemudiannya berakhirnya dengan 145 gol daripada keseluruhan 64 perlawanan dengan purata 2.27 gol untuk satu perlawanan.

Pencapaian ini adalah yang kedua terburuk dalam sejarah Piala Dunia selepas purata 2.21 gol berjaya dijaringkan dalam satu satu perlawanan pada pertandingan tahun 1990 di Itali.

Kemungkinan antara faktor yang menyumbang kepada kekurangan jaringan ini adalah penggunaan bola ‘Jabulani’ yang dikritik hebat kerana sukar dikawal dan diramal gerakannya.

Namun, sebenarnya ada faktor lain yang lebih membimbangkan iaitu dari segi corak permainan negatif yang diamalkan pasukan bertanding kali ini.

Untuk pusingan awal, kebanyakan pasukan lebih berminat untuk bertahan daripada menyerang dan menekan lawan mereka dan ini dimanifestasikan menerusi enam keputusan seri daripada 13 perlawanan pertama.

Tambah mengecewakan apabila tenggelamnya pemain-pemain bintang yang sepatutnya menjadikan pentas Piala Dunia ini sebagai medan utama mereka mempamerkan kehebatan sebenar masing-masing.

Siapa sangka pemain seperti Lionel Messi, Wayne Rooney, Fernando Torres dan Kaka gagal menjaringkan gol walaupun sebiji? Atau kelibat Didier Drogba dan Cristiano Ronaldo yang tidak seberapa?

Adakah ia berpunca daripada keletihan akibat musim bola sepak yang terlalu panjang atau tekanan akibat diletakkan harapan yang terlalu tinggi atau tidak sempat pulih daripada kecederaan?

Segalanya kini menjadi misteri. Tidak banyak yang boleh diperkatakan tentangnya apatah lagi untuk membuktikannya.

Bagaimana pula dengan faktor cuaca? Pemain sepatutnya beraksi lebih bertenaga keranan cuaca adalah sejuk di Afrika Selatan. Malangnya ini tidak berlaku. Jadi ini satu-satunya alas an kukuh yang boleh diterima.

Seperkara lagi adalah tentang tersungkurnya lebih awal pasukan-pasukan yang dikatakan sebagai pilihan seperti England, Perancis, dan juara bertahan, Itali.
Nasib yang sama juga menimpa pasukan daripada benua Amerika Selatan seperti Argentina dan Brazil yang hanya mampu mara hingga ke suku akhir.

WELLDONE SOUTH AFRICA , GUDLUCK BRAZIL

No comments:

Post a Comment