15 May 2011

Bersabarlah Menghadapi Ujian

Hidup di dunia tidak lepas dari ujian dan dugaan dari Allah. Itu sudah menjadi rencah kehidupan manusia. Ada dua jenis bentuk ujian buat manusia, ujian dalam bentuk kesenangan dan ujian dalam bentuk kesusahan.

Cuma, acapkali apabila disebut ujian Allah maka rata-rata manusia beranggapan ujian itu adalah dalam bentuk bala dan musibah. Ramai yang lupa akan ujian kesenangan yang datang dalam pelbagai bentuk kekayaan, kekuasaan, kesihatan dan bermacam-macam lagi.

Bahkan ujian kesenangan sebenarnya lebih sukar kerana kebiasaannya manusia itu lupa kepada Tuhan tatkala dirinya mengecapi pelbagai kesenangan hidup. Apabila ditimpa kesusahan, kebanyakan manusia akan kembali menyeru Tuhannya.

Mengenai ujian kesusahan, firman Allah di dalam Surah al-Baqarah:

[155] Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:
[156] (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
[157] Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.

Maka antara ujian yang datang daripada Allah itu ialah timbulnya perasaan takut di hati, kelaparan, hilangnya harta benda, tanaman dan orang yang disayangi. Kebiasaannya apabila manusia ditimpa musibah, pastinya mereka akan berada dalam keadaan sedih, dukacita dan gusar. Tetapi manusia yang bersabar menghadapi ujian akan menerima khabar gembira.

Manusia yang sabar ialah mereka yang apabila ditimpa kesusahan akan segera ingat kepada Allah, dengan berkata, "Inna lillah wa inna ilayhi raji'un", bahawa hidup kita ini secara keseluruhannya adalah hak milik mutlak Allah - apa sahaja yang kita miliki, baik harta, kuasa, bahkan nyawa kita dan orang-orang yang kita sayangi kesemuanya adalah hak milik Allah. Maka pastinya Allah berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya ke atas segala yang dimiliki-Nya, dan akan tiba masa dan ketika di mana kesemuanya akan dikembalikan kepada-Nya.

Para 'ulama mengingatkan bahawa sabar itu mestilah berlaku pada pukulan pertama, iaitu ketika mula-mula musibah melanda. Bukannya seperti kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Manusia apabila mula-mula ditimpa musibah, ramai yang akan cepat melatah dan tidak redha dengan ketentuan tersebut. Setelah keadaan reda sedikit dan dia mula sedar bahawa dia tidak memiliki jalan keluar, barulah dia akan mula insaf, redha kepada ketentuan Tuhan dan berkata, "sabar sahajalah, nak buat macam mana lagi..."

Itu bukanlah konsep sabar yang sebenar. Sabar yang sebenar ialah pada detik pertama musibah melanda, lantas manusia yang bersabar terus redha dengan ketentuan Allah tanpa sedikit pun timbul rasa kecewa atau penyesalan. Mereka inilah yang akan mendapat khabar gembira tersebut walaupun dilanda kesusahan.

Apa pula bentuk khabar gembira itu? Pertama khabar gembira itu datang dalam bentuk selawat daripada Allah, iaitu mendapat keberkatan daripada Allah dan keampunan dari dosa-dosa.

Kemudian datang pula rahmat Allah melimpahi mereka. Sa'id ibn Jubayr rahimahullah, seorang tokoh Tabi'in mengatakan bahawa rahmat itu ialah pelindung daripada seksa azab neraka. Dan akhirnya mereka adalah orang yang benar-benar mendapat petunjuk daripada Allah. Orang yang mendapat petunjuk pula akan mendapat ganjaran yang banyak kerana mereka mengikut petunjuk Allah.

No comments:

Post a Comment