21 December 2009

" aku bergurau je la " .....

Hidup kita memang selalu dipenuhi dengan gurau senda dengan orang di sekeliling , biasanya kawan - kawan . Mana ada orang yang bergurau dengan dirinya sendiri , betul tak ? Maknanya , bila kita bergurau senda , secara tak langsung ia akan melibatkan perasaan orang lain yang mendengar gurauan kita .

Biasanya , orang bergurau untuk menceriakan suasana . Takkan nak buat muka serius sepanjang masa . Macam kebanyakan orang mengatakan , “ Hidup mesti ceria ” .

Tapi, mari kita teliti , apa yang selalu ada dalam sesebuah gurauan ? Lawak yang direka - reka , cerita yang dibuat - buat , perli memerli dan kata mengata antara satu sama lain . Itu antara yang biasa kita temui . Jarang sekali orang bergurau tapi dalam masa yang sama dia tak menipu . Tak sah kalau bergurau , dia tak mengata - ngata ( secara bergurau ) kat orang lain .

Kebanyakan kita menganggap gurauan adalah perkara biasa . Ada juga yang menyangka menipu dibolehkan ketika bergurau sebab tak membahayakan orang di sekeliling kita . Kita juga pernah menganggap begitu kerana merasakan apa yang kita guraukan hanya mainan semata - mata , bukan betul - betul , dan bukan niat untuk betul - betul berbohong .

Betulkah persepsi macam ni ?

Pernahkah anda lihat orang yang ketawa terbahak - bahak , sampai katanya nak pecah perut dan sampai tak cukup udara nak bernafas ? Apa yang kita berfikir ? Pastinya orang tu baru saja lihat atau dengar satu jenaka atau gurauan yang sangat menggelikan hati . Betul tak ?

Kita akan ketawa apabila ada sesuatu yang menggeletek hati . Ya , itu memang sesuatu yang normal . Tapi , hakikatnya , di situlah akan timbulnya masalah . Gurauan yang melampau - lampau akan menyebabkan kita banyak ketawa .

Dalam Kitab Ihya’ Ulumiddin karangan Imam Ghazali , beliau menyenaraikan senda gurau sebagai salah satu unsur bahaya yang dibawa oleh lidah . Kata beliau :

“ Asalnya senda gurau itu tercela dan terlarang , kecuali sekadar sedikit yang dapat dikecualikan daripadanya . ”

Ini berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W. :

Maksudnya : “ Jangan engkau berbantahan dan bergurau dengan saudaramu ! ”

Kita dibolehkan bergurau senda tetapi jangan berlebih - lebihan . Kenapa ? Kerana ia akan mengundang banyak ketawa . Dan banyak ketawa akan mematikan hati . Dan mungkin akan menjatuhkan maruah diri . Kata Imam Ghazali :

“ Adapun berlebih - lebihan pada bergurau , maka akan mempusakai banyak tertawa . Dan banyak tertawa itu mematikan hati dan mewarisi kedengkian pada sesetengah keadaan . Dan menjatuhkan kehebatan diri dan kemuliaan . Dan apa yang terlepas dari hal - hal tersebut , maka tidak tercela ”

Sebagaimana diriwayatkan dari Nabi S.A.W. bahawa baginda bersabda :

Maksudnya: “ Sesungguhnya aku bersenda gurau dan aku tidak mengatakan , selain yang benar . ”

Kita biasa dengar :

“ Ish dia ni . Ketawa sampai tak ingat dunia ! ”

Hakikatnya begitulah keadaan orang yang ketawa berlebih - lebihan . Larut dalam dunia ketawanya . Sampai lupa dan tak sedar apa yang berlaku di sekelilingnya . Dan lebih parah lagi , ketawanya itu juga menunjukkan kelalaian dari mengingati akhirat .

Nabi S.A.W. bersabda :

Maksudnya : “ Jikalau kamu tahu apa yang aku tahu , nescaya pasti kamu banyak menangis dan sedikit ketawa . ”

Nilai Gurauan vs Nilai Persaudaraan

Ketawa memang seronok . Tapi menjadi bahan ketawa sangat menyakitkan hati . Hakikatnya , itulah yang selalu ada dalam sesebuah gurauan , mentertawakan orang lain.

Kita mungkin sekadar main - main , kata orang menyakat . Tapi , siapa tahu apa yang dirasai ‘ watak utama ’ kisah gurauan tersebut ?

Mungkin tak kisah , mungkin marah , mungkin kecil hati dan mungkin terus tak bertegur sapa .

Gurauan yang dianggap sekadar main - main boleh menjadi bibit kepada pergaduhan , pertengkaran , tak bertegur sapa dan permusuhan yang berpanjangan antara sesama Muslim . Begitu murahkah nilai persaudaraan dalam Islam sehingga kita sanggup menggadaikannya dengan kata - kata gurauan dan mainan yang langsung tiada nilai di sisi Allah ?

Rasulullah S.A.W. sendiri telah memberi amaran dalam sabda baginda :

“ Sesungguhnya orang yang berkata - kata dengan suatu perkataan untuk mentertawakan teman - teman duduknya , akan jatuh dalam api neraka , lebih jauh dari bintang surayya . ”

Sedarkah kita , ketika bergurau senda dengan rakan - rakan , kita mungkin dah berbohong ? Berbohong bukan maksud betul - betul bercakap bohong . Tapi , hanya sekadar cakap main - main ; atau kata orang sekadar mengacah saja .

Soalnya , betul ke kita tak boleh menipu walaupun dengan hanya niat untuk bergurau ? Nama pun gurauan , jadi kita bukan berniat untuk betul - betul menipu , hanya sekadar main - main dan tak memudharatkan sesiapa . Dan biasanya , last sekali , kita mesti akan cakap ,

“ Aku main - main je la … ”

“ Aku tipu kau je tadi . Saja nak tengok macam mana reaksi kau . ”

Kalau diikutkan logik akal pendek kita , mungkin pandangan tu nampak macam betul . Tapi , mari kita teliti sabda Rasulullah S.A.W. :

“ Hendaklah kamu jujur . Sesungguhnya kejujuran menunjuk kepada kebaikan . Dan kebaikan menunjuk kepada syurga . Seorang lelaki terus jujur dan mencari kejujuran sehinggalah dia dicatatkan di sisi Allah sebagai seorang yang sangat jujur . Berwaspadalah terhadap dusta . Sesungguhnya dusta menunjuk kepada kejahatan . Dan kejahatan menunjuk kepada neraka . Seorang lelaki terus berdusta dan mencari pendustaan sehingga dia dicatat di sisi Allah sebagai seorang yang sangat berdusta . "

Dalam sabda Rasulullah S.A.W yang lain :

“ Celakalah orang yang memperkatakan sesuatu agar orang lain ketawa , lalu dia berdusta . Celakalah untuknya . Celakalah untuknya . ”

Apa pun tujuan kita , pendustaan sesekali tidak dibenarkan walaupun hanya untuk bergurau dan berjenaka . Islam mengharuskan gurau senda , keceriaan dan hiburan jiwa , tetapi tidak menjadikannya sebagai pembuka jalan kepada kita untuk berdusta .

Jadi , kalau nak bergurau , pastikan gurauan kita tak ada unsur - unsur penipuan dan pendustaan . Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. :

Maksudnya : “ Sesungguhnya aku bersenda gurau dan aku tidak mengatakan , selain yang benar . ”

Macam mana cara yang betul untuk bergurau ? Mari kita susuri sirah Nabi Muhammad S.A.W. , bagaimana cara baginda bergurau senda dengan orang - orang di sekeliling baginda .

Suatu hari , seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah S.A.W. , meminta tunggangan daripada baginda kerana hendak pulang ke negerinya . Apabila Nabi mendengar permintaan lelaki itu , baginda bersabda : “ Sesungguhnya aku akan menunggangkanmu di atas anak unta . ” Padahal , pada waktu itu Nabi berkata demikian hanya dengan tujuan untuk bergurau.

Apabila lelaki itu mendengar kata - kata Nabi , dia merasa susah hati kerana memikirkan bagaimana anak unta yang kecil dan lemah boleh ditunggang untuk perjalanan yang jauh . Lalu , lelaki itu berkata , “ Apa yang boleh aku buat dengan seekor anak unta ? Kalau kamu berikan pada aku , tentulah menjadi beban dan hanya menambahkan kesusahan saja , sebab ia masih kecil dan tidak boleh ditunggang . ”

Maka Rasulullah S.A.W. berkata , “ Adakah yang melahirkan unta itu selain daripada unta betina ? Maka itulah yang mahu aku berikan kepadamu iaitu unta besar yang asalnya dilahirkan oleh ibunya . ”

Lihat bagaimana cara Rasulullah S.A.W. menjaga adab - adab dalam bergurau senda . Baginda tidak sesekali menipu orang yang diajak bergurau , sebaliknya cara baginda ada ‘ seninya ’ yang tersendiri .

Apa yang dapat perhatikan dalam kisah di atas dan beberapa kisah lain , Rasulullah menggunakan kaedah “ double meaning ” dalam gurauan baginda , iaitu satu kalimah tetapi mempunyai ataupun boleh difahami dalam dua maksud dan keadaan yang berbeza . Jadi , cara sebegitu akan mengelakkan kita daripada berbohong ketika bergurau .

Sayyidina Umar r.a. pernah berkata :

“ Tahukah kamu mengapa dinamakan gurau senda ( al-muzaah ) dengan kata - kata al - muzaah ? ” ( maksud asal al - muzaah : alih ) .

Mereka itu menjawab : “ Tidak ! ”

Maka Umar r.a. menjawab :
“ Kerana senda gurau ( al - muzaah ) itu , mengalihkan orang yang bergurau daripada kebenaran . ”


Jadi , berwaspadalah kita dalam setiap gurauan dan kata - kata kita . Setiap apa yang dituturkan oleh kita akan dipertanggungjawabkan ke atas diri kita di akhirat kelak . Gurau senda mampu menghiburkan jiwa dan boleh mengeratkan hubungan sesama Muslim , tapi andai tidak kena caranya , gurau senda boleh melontarkan kita ke dalam azab neraka . Na'uzubillahi min dzalik .

~ Wallahu a'lam ~

No comments:

Post a Comment