04 December 2009

Zakaria Bukan Lagi Pengurus Selangor

Tiada kejutan dalam skuad Selangor bagi mengharungi musim baru Liga Bola Sepak Malaysia (Liga M).

Seperti dijangka, Liew Kit Kong, Farderin Kadir, Safiq Rahim, Bunyamin Umar, Azrine Efendy Saduddin dan penjaga gol, Iqbal Suhaimi sah menjadi anggota skuad Selangor musim depan.

Namun, apa yang mengejutkan ialah pengurus pasukan Selangor sejak Jun 2008, Zakaria Ab. Rahim tiada lagi dalam senarai pendaftaran untuk musim baru dengan ketua jurulatih, K. Devan akan menggalas juga tugas selaku pengurus pasukan.

Timbalan Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad berkata, Zakaria bakal diletakkan di bahagian pemasaran untuk menarik penaja- penaja bagi tujuan penjenamaan semula FAS.

Devan beramah mesra dengan pemain-pemain baru Selangor Iqbal, Azrine, Federin dan Kit Kong di padang SUK, Shah Alam semalam.

"Ini bukan hukuman. Ia mungkin suatu andaian saja. Kita buat semua ini mengikut sistem kita. Kontrak dia akan berakhir penghujung Mei tahun depan," katanya pada sidang media di Wisma FAS di Kelana Jaya malam tadi.

Namun, tindakan tersebut pasti menimbulkan tanda tanya kerana sepanjang Zakaria menguruskan pasukan, Selangor telah muncul naib juara Piala FA dan Piala Malaysia pada 2008 dan muncul juara tiga piala, Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih musim ini.

Sementara itu, dengan kemasukan enam pemain baru, Selangor melepaskan tujuh pemain lama iaitu K. Nanthakumar, Nasril Nourdin, Sanjos Sundawat, S. Sritharan, Fazli Baharudin, Fadzirul Zakaria dan Fauzan Dzulkifli untuk beraksi dengan pasukan lain musim depan.

Tiada perubahan ketara dalam barisan kejurulatihan dengan Rosedy Nadzir dan P. Maniam kekal sebagai penolong jurulatih manakala Azmin Azram Abdul Aziz dilantik sebagai jurulatih penjaga gol yang baru menggantikan Azlisham Ibrahim.

No comments:

Post a Comment