26 June 2010

Hanya Pada Nama

Datangnya Islam adalah sebagai pelengkap kesempurnaan kehidupan seorang manusia. Islam boleh diibaratkan ‘software’ yang paling sesuai bagi menggerakkan kehidupan manusia. Tanpa Islam, manusia bagaikan mayat hidup tanpa tujuan. Manusia akan menjadi rosak lantaran diresapi atau dijangkiti ‘virus’ dunia hasil suntikan syaitan laknatullah. Allah s.w.t itu Pencipta manusia. Dia juga yang menjadikan alam sekitarnya, haiwan, tumbuh-tumbuhan, daratan, lautan, bumi, bintang dan langit. Semuanya bagi kemudahan manusia. Jadi, Allah itu Maha Mengetahui apa yang baik, yang boleh memberi manfaat kepada manusia dan Dia juga Maha Memahami apa yang buruk, yang boleh memudharatkan manusia. Allah mengutuskan para nabi dan Rasul sebagai mentor untuk memudahkan manusia memahami kehidupan yang sebenar yang digariskan oleh Allah. Agar manusia keluar dari kesesatan dan kegelapan ke arah jalan yang betul.

Al-Quran itu dan kitab-kitab lain diturunkan sebagai buku panduan manusia. Di dalamnya penuh dengan ilmu untuk mentadbir bumi dan alam serta peraturan-peraturan kehidupan yang mesti diikuti, dan jika diingkari manusia itu akan mengalami kerosakan. Ibaratnya, seorang pereka robot. Dia yang menciptakan robotnya, maka dia mengetahui di manakah kelebihan dan kelemahan robot tersebut. Bagi memastikan robotnya itu digunakan dengan baik, lalu dibuat satu buku panduan. Yang mana buku tersebut mengandungi cara-cara pemasangan komponen yang betul, peraturan-peraturan pengendaliannya yang tepat serta batasan menggunakannya. Disertakan juga program-program atau software yang sesuai untuk menggerakkan robot tersebut.

Jika disalahgunakannya atau tersilap memprogramkannya, maka robot itu akan rosak dan gagal berfungsi. Begitulah juga manusia, yang memerlukan Islam sebagai cara kehidupan. Jika mengambil selain daripada Islam sebagai cara hidup, mereka akan rosak akhlaknya, pemikirannya serta kehidupannya. Kerana mereka telah tergelincir daripada fitrah kehidupan manusia. Inilah yang melanda ummat Islam kini. Islam hanyalah terletak pada sesuatu perkara sahaja. Islam umpama pakaian, jika diperlukan, maka ia akan diambil. Jika tidak, mereka akan menanggalkannya bahkan dibuang jauh-jauh. Begitu jua dengan Al-Quran. Hanyalah sebuah buku hiasan di rak-rak. Hanya berguna jika berlaku kematian dan majlis tertentu sahaja. Al-Quran juga umpama wajib bagi kanak-kanak untuk membacanya sampai tamat 30 juzuk dan harus atau tidak perlu bagi yang dewasa membacanya. Kalau ditanya, “kenapa kau tak baca al-Quran?. Jawabnya mudah, “ aku dah tamat laa”. Inilah senario masyarakat Islam di Malaysia ini. Makin hari, makin jauh daripada budaya dan ajaran Islam yang suci. Islam hanya tinggal pada nama, bukan pada amali. Semakin hari semakin terhakis sikit demi sedikit daripada diri. Budaya hiburan melampau pula menjadi tempat di hati. Bagaimanalah hidup hendak diberkati. Jika Islam hanya diingat tika hendak mati. Buat diri yang alpa.

No comments:

Post a Comment