28 June 2010

Selamatkan Masjid Al-Aqsa

P/S: Artikel di bawah merupakan teks khutbah Jumaat bertarikh 11Jun2010 terbitan Unit Khutbah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). 1% diubahsuai 99% isi kekal. Baca dan menghayatinya. Aku sanggup ambil untuk berkongsi bersama pembaca kerana ketika khutbah ini dibaca khatib yang membacanya sebak. Jadi luangkan sedikit masa untuk membacanya, semoga Allah memberkati kalian. InsyaAllah.

Palestin telah melalui sejarah yang panjang dalam tamadun manusia dan menjadi rebutan kepada tiga agama. Namun demikian, Palestin mempunyai kedudukan yang istimewa di dalam setiap muslim sejak zaman berzaman. Keistimewaan seperti yang terdapat di dalam Al-Quran, hadith dan kitab-kitab sejarah ialah :

1. Sebagai kiblat pertama umat Islam
2. Terdapat Masjid Al-Aqsa iaitu masjid kedua yang dibina di atas muka bumi dan masjid ketiga paling suci selepas Masjid Al-Haram dan Masjid An-Nabawi
3. Tempat berlakunya Isra’ dan mikraj
4. Harta wakaf umat Islam sehingga ke hari kiamat
5. Tempat kelahiran anbia’

Kezaliman yang dilakukan oleh rejim zionis yang bermula pada tahun 1948 setelah terbina negara haram israel telah menyaksikan bukan sahaja isu-isu kemanusiaan semata-mata tetapi lebih daripada itu. Ia melibatkan isu akidah umat Islam, tanahair, maruah, dan peradaban.

Sesungguhnya bumi Palestin yang terdapat didalamnya kiblat pertama umat Islam adalah watan yang perlu dipertahankan oleh umat Islam seluruh dunia. Apatah lagi Masjid Al-Aqsa yang merupakan persinggahan Rasullullah S.A.W. sebelum dimikrajkan ke langit, sekarang ini terancam dengan apa yang dilakukan oleh yahudi laknatullah terhadap masjid yang mulia ini. Firman Allah dalam Surah Al-Isra’ ayat 1 , bermaksud :

“ Maha suci Allah yang telah menjalankan hambanya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin) yang kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui ”

Sejak berzaman lagi yahudi berusaha untuk meruntuhkan Masjid Al-Aqsa bermula dengan siri pengeboman terhadap masjid suci yang ketiga umat Islam pada 1 Mei 1980 setelah mereka berusaha untuk memusnahkan dengan membakarnya pada tahun 1969. Hari ini usaha meruntuhkan Masjid Al-Aqsa giat dijalankan dengan mengali terowong-terowong Masjid Al-Aqsa supaya masjid ini runtuh dengan sendirinya dan didirikan diatasnya Haikal Sulaiman (kuil yahudi) yang merupakan diantara matlamat mereka untuk menguasai Masjid Al-Aqsa. Kini Masjid Al-Aqsa dalam keadaan merbahaya. Zionis yahudi berusaha memastikan doktirin-doktirin thalmud, kitab yang menyeleweng yang mereka yakini dapat direalisasikan dengan proses pengyahudian dan projek-projek penempatan rumah-rumah haram.

Saudara sekalian,

Islam amat menghendaki umatnya bersatu menentang musuh tanpa mengenal sempadan dan warna kulit. Firman Allah dalam Surah Al-Hijarat ayat 15, bermaksud :

“ Sesungguhnya orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang yang percaya kepada Allah dan rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang yang benar (pengakuan imannya) ”

Apa yang memeritkan, tatkala masyarakat Islam seluruh dunia bangun memprotes apa yang dilakukan oleh oleh rejim zionis terhadap rakyat Palestin, pemimpin negara-negara Arab dan Islam seolah-olah merestui apa yang dilakukan oleh rejim zionis yang disokong oleh kuasa besar Amerika Syarikat dan Britan untuk melakukan apa sahaja kepada saudara mereka.

Dimanakah maruah umat Islam? Inilah diantara bahana yang berlaku apabila umat Islam terlalu bergantung dengan kuasa-kuasa besar dan bukannya kepada Allah. Sikap ini perlu dibebaskan daripada jiwa kita dan kita wajib mebantu rakyat Palestin dengan apa jua cara dan tindakan, yang bermula dengan doa kita kepada Allah sehinggalah kepada tekanan-tekanan yang boleh menyebabkan yahudi dihalau keluar dari negara yang mereka jajahi.

Sahabat yang dikasihi sekalian,

Masjid Al-Aqsa dikepung dan umat Islam yang berumur dibawah 45 tahun tidak dibenarkan bersolat di dalamnya. Selain daripada itu kezaliman dan penindasan rakus terus-menerus berlaku. Pembunuhan kejam menggunakan senjata-senjata moden yang dimiliki mereka dibenarkan oleh undang-undang. Mahkamah tinggi israel mengistiharkan keizinan untuk orang yahudi bersembahyang di Masjid Al-Aqsa. Ajaran yang dikeluarkan oleh paderi mereka ialah menyarankan agar warga israel membawa kitab thalmud tiga kali seminggu didalam Masjid Al-Aqsa.

Pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa Al-Mubarak oleh puak ekstremis yahudi dibawah pengawasan tentera israel berlaku pada hari Ahad 4 Oktober 2009 yang lalu. Pencerobohan yang dilakukan itu dicetuskan selepas 9 tahun Airil Sharon melaksanakan tindakan memalukan, berlaku pada perayaan yahudi ‘ Yom Kippur ’. Tindakan mereka ini telah menyebabkan 16 orang rakyat Palestin dimasukkan ke hospital dan 9 lagi di penjarakan. Masjid Al-Aqsa Al-Mubarak adalah tempat suci bagi umat Islam tidak boleh menerima sama sekali tentera israel bersama penduduknya melakukan jenayah yang kejam terhadap rakyat Palestin, komuniti muslim dan masjid sucinya.

Malangnya umat Islam masih leka dan terus menyokong bantuan-bantuan yang telah diberikan kepada israel melalui pembelian barangan makanan, rokok, mahupun perkhidmatan profesional yang secara jelas keuntungannya diberikan untuk membiayai negara israel. Dimanakah maruah umat Islam?

Wahai umat Islam semua,

Sesungguhnya kekejaman zionis pasti akan berulang dan terus berulang tanpa mengenal sesiapa yang menjadi sasaran. Utusan Malaysia bertarikh 24 Mac 2010 melaporkan Perdana Menteri israel, Benjamin Netanyahu dengan bangga menyatakan Baitul Al-Maqdis adalah ibu negara israel yang sah, dengan itu tiada halangan bagi israel untuk membina penempatan baru untuk penduduk yahudi berhampiran Masjid Al-Aqsa. Dimanakah kita sekarang? Adakah kita masih lalai dan leka? Adakah kita masih nyenyak tidur dengan mimpi-mimpi yang indah? Umat Islam pada hakikatnya sekarang ini sedang disibukkan dengan isu-isu remeh-temeh, dipesongkan fikiran mereka dengan sukan dan hiburan yang menghancurkan, kadang-kala artis lebih dikenali daripada Masjid Al-Aqsa.

Majalah ‘Hareth’ israel baru-baru ini telah mengeluarkan satu kenyataan yang mengejutkan umat Islam, iaitu pada tarikh 16 Mei 2010 Masjid Al-Aqsa akan siap dirobohkan dan terbinalah kuil yahudi diatas tapak yang sama. Adakah ini sesuatu yang mustahil? Untuk mencapai tujuan yang besar ini, israel tidak melakukannya dengan serta-merta, akan tetapi mereka melaksanakan dengan perlahan-lahan. Berita yang dilaporkan oleh radio israel pada 24 Mac 2010, pihak berkuasa israel meluluskan pembinaan penempatan haram yahudi sebanyak 1000 unit rumah didalam kota Baitul Al-Maqdis berhampiran Masjid Al-Aqsa.

Namun umat Islam seolah-olah hanyut dengan kemewahan dan budaya hiburan hedonisme khayal yang akhirnya mereka lupa dengan apa yang berlaku terhadap saudara-mara seakidah kita. Tusukan tajam jarum-jarum zionis melalui hiburan, telah menyebabkan pegangan akidah umat Islam semakin longgar. Justeru, perasaan ukhuwwah perlu disemai dan dibaja semula dengan iman dan Islam, agar apa yang berlaku di Palestin dirasai bersama sehingga menghasilkan tindakan-tindakan yang sesuai sebagai seorang muslim.

Saudara yang dirahmati Allah,

Disaat ini masjid-masjid lain di Palestin telah ditukarkan menjadi kuil-kuil yahudi, kelab-kelab malam, panggung wayang dan kandang-kandang lembu. Disaat ini umat Islam Palestin menanggung sengsara yang tidak terhingga dan tidak terkata, malah menjadi buntu siapakah pertolongan mahu dipinta. Dimanakah umat Islam? Adakah kita lupa pada kalimah syahadah yang sama-sama kita ucapkan? Adakah terdapat perbezaan antara dua kalimah syahadah umat Islam Palestin dengan umat Islam Malaysia? Jawapannya sudah tentu tiada bezanya. Bahkan solat kita sama, puasa kita sama, kiblat kita sama. Tuhan yang kita sembah juga sudah pasti sama, iaitu Allah yang Maha Esa. Akan tetapi persoalannya kenapa kita masih membiarkan mereka bersendirian mempertahankan Masjid Al-Aqsa?

Sahabat yang disayangi,

Bumi Palestin dinodai. Umat Islam Palestin dinafikan hak mereka. Rakyat Palestin menangis kesedihan kerana mereka serba kekurangan dari semua sudut, berlawan bersendirian dengan rejim zionis untuk mempertahankan Masjid Al-Aqsa yang mendapat sokongan dan dokongan dari dunia barat yang diketuai Amerika Syarikat.
Umat Islam perlu sedar, apakah yang hendak diharapkan daripada musuh-musuh Islam bagi mempertahankan dunia Islam? Umat Islam wajib bersatu berganding bahu tanpa membuang masa dan waktu, bangun mempertahankan Baitul Maqdis yang satu. Islam adalah teras kepada kesedaran ini dan bukannya hanya semangat yang ditiupkan kepentingan individu.

Umat Islam mesti dimotivasikan dan dibangunkan jiwa mereka dengan kitab suci Al-Quran. Itulah cara dan jalan terbaik bagi memastikan umat Islam terbela dan mendapat haknya dan tidak lagi diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam. Sesungguhnya kemenangan Islam itu memang pasti akan berlaku. Maka beruntunglah bagi mereka yang berusaha untuk mengembalikan semula kegemilangan Islam yang pernah dikecapi sebelum ini.

Hati kita dengan umat Islam di Palestin adalah terikat dengan ikatan akidah yang satu. Perjuangan rakyat Palestin dengan nyawa dan darah mereka adalah fardhu ‘ain dan kefardhuan jihad telah dilaksanakan oleh mereka. Sekiranya umat Islam Palestin berjihad menggunakan senjata dan ia merupakan fardhu ‘ain ke atas mereka, maka kefardhuan tersebut diganti dengan jihad harta dan sokongan moral kepada kita bagi membantu rakyat Palestin. Tidakkah ini satu perjanjian dan satu pertukaran yang menguntungkan kepada umat Islam di negara kita. Sesungguhnya bantuan kewangan bagi memenuhi keperluan umat Islam Palestin wajib ke atas kita semua.

Firman Allah di dalam surah al-Saf ayat 10-12 yang bermaksud:
“ Wahai orang yang beriman! Mahukah Aku(Allah) tunjukkan satu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya serta kamu berjihad di jalan Allah(membela dan menegakkan agama Allah) dengan harta dan diri kamu. Yang demikian itulah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui(hakikat yang sebenar). Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman Syurga yang mengalir dibawahnya beberapa sungai serta ditempatkan kamu di tempat tinggal yang baik di dalam Syurga Adn. Itulah kemenangan yang besar ”

No comments:

Post a Comment