16 June 2010

Kehilangan Sebutir Lagi Permata PAS

Pagi semalam pukul 8 , aku dgn adik aku terus gerak ke Markaz PAS Taman Melewar untuk menghadiri solat jenazah utk jenazah arwah Ustaz Hassan Shukri seperti yang aku telah nyatakan dalam entri sebelum ini. Dalam pukul 8.20 pagi kami sampai, deretan kereta telah memenuhi di sepanjang bahu jalan di situ. Tengok dari luar markaz, ramai manusia telah memenuhi ruangan halaman rumah arwah.

Kami masuk ke kawasan berdiri sambil menunggu lagi orang ramai yang mahu datang untuk bersama-sama dapat menyolatkan jenazahnya. Ketika itu, pimpinan yang aku nampak Presiden PAS-Tuan Guru Ustaz Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS-Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Naib Presiden PAS-Salahuddin Ayub dan Mahfuz Omar, Bekas Mufti Perlis-Ustaz Asri, Mantan Menteri Besar Perak Pakatan Rakyat Dato’ Seri IR Nizar Jamaluddin, Pesuruhjaya PAS Perak-Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Idris, dan pembesar-pembesar luar negara.

Dalam pukul 8.45 pagi, ramai Unit Amal Malaysia mengiringi seseorang tokoh masuk ke halaman rumah, rupa-rupanya mereka sedang mengiringi Mursidul Am PAS-Tuan Guru Nik Aziz. Hadirin yang tengah duduk semua berdiri menghormati kedatangan beliau. Tuan Guru Nik Aziz terus masuk ke rumah untuk melihat jenazah. Selepas 10 minit Tuan Guru keluar dan kami hadirin terus berdiri untuk melakukan solat jenazah. 7 minit selepas para jemaah berdiri membuat saf, jenazah dibawa keluar dari rumah untuk disembahyangkan. Limpahan manusia memenuhi ruangan untuk solatkan jenazahnya. Allahuakbar! Turut kelihatan yang hadir sebelum solat ialah YB Sharir Samad-wakil rakyat Shah Alam dan Menteri di Jabatan Perdana menteri-Dato’ Seri Jamil Khir.

Selesai solat, giliran kedua solat jenazah dilakukan bagi sesiapa yang tidak dapat menyembahyangkannya lagi kerana terlalu ramai orang. Selesai solat jenazah giliran kedua itu, jenazah mahu dimasukkan ke dalam van jenazah. Saat itu, orang ramai berebut-rebut mahu mengangkat jenazahnya. Itulah tanda orang yang disayangi ramai. Allah memuliakannya sehingga di saat kematiannya. Tapi sewaktu itu aku dan adik aku terus bergegas ke motor untuk mengiringi jenazahnya ke tanah perkuburan. Perjalanan ke sana lancar kerana Unit Amal Malaysia mengawal sepanjang laluan dengan memberhentikan kenderaan-kenderaan awam. Sungguh ramai yang mengiringi jenazah ke tanah perkuburan.

Setibanya di situ, jenazahnya dimasukkan ke liang lahad. Dan talkin terus dibacakan. Saat itu aku nampak ramai yang mengalirkan air mata. Mungkin mereka menghayati talkin itu di samping sedih atas pemergiaan Ustaz Hassan Shukri.

Dengan itu aku menyingkap serba sedikit tentang sejarah arwah Ustaz Hassan Shukri untuk pengetahuan pembaca. Arwah merupakan ahli Majlis Syura Ulama. Baru-baru ini Muktamar PAS berlangsung 11-13 Jun 2010 di Kota Bharu, Kelantan. Walaupun beliau sedang sakit, beliau tetap menghadiri muktamar itu. Dewan Pemuda Pas turut sempat menganugerahkan tokoh kepada beliau. Bagi sesiapa yang telah lama bersama Pas memang akan mengenal beliau. Beliau dianggap sebagai kamus PAS kerana beliau menjadi pakar rujuk dalam perlembagaan Pas. Beliau tahu semua tentang sejarah Pas kerana beliau terlibat dalam penubuhan Pas. Bendera Pas yang kini gah berkibar adalah hasil ideanya kerana ketika itu kerajaan mengharamkan penggunaan bulan dan bintang sebagai lambang.

Sehinggakan ke hari ini ideanya diterima untuk menggubal undang-undang terbaru Pas. Untuk maklumat, kini Pas telah mempunyai Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP). Anggota bagi DHPP ini adalah orang bukan Islam. Selama ini Pas tidak pernah mempunyai sokongan dari bukan Islam. Oleh kerana sambutan luar biasa dari orang bukan Islam terhadap Pas, tertubuhnya DHPP ini tetapi ia mempunyai syarat-syarat tertentu.

Kalau para pembaca terutamanya sahabat-sahabat aku ingin mendengar sejarah beliau dan mahu melihat suasana sebenar, buka Youtube dengan menulis ‘ KEHILANGAN SEORANG LAGI PERMATA BERHARGA ’ dan ‘ JENAZAH USTAZ HASSAN SHUKRI SELAMAT DIKEBUMIKAN ’. Dalam video yang bertajuk JENAZAH USTAZ HASSAN SHUKRI SELAMAT DIKEBUMIKAN itu aku ada, berbaju hijau putih berada di belakang imam yang tengah baca talkin tetapi wajah adik aku lagi banyak dirakamkan.

Kepada yang membaca entri ini, sekali lagi aku mohon sedekahkan al-Fatihah ke atas roh Ustaz Hassan Shukri. Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

~ AL-FATIHAH ~

No comments:

Post a Comment