19 December 2010

14 Tahun Penantian

Akhirnya skuad bolasepak Malaysia mengakhiri penantian 14 tahun Malaysia untuk melangkah ke final Piala Suzuki AFF. Barisan pemain Malaysia telah menyingkirkan penyandang juara, Vietnam menerusi agregat 2-0 selepas perlawanan separuh akhir kedua berkesudahan 0-0.

Kejayaan ini mengulangi pencapaian terbaik negara yang kali terakhir layak ke final pada edisi sulung kejohanan 1996, di mana kita tumpas 0-1 kepada Thailand untuk muncul naib juara. Malah, kemaraan ini meletakkan Malaysia di landasan untuk melakar sejarah menjulang piala buat kali pertama. Harapan itu tidak mustahil kerana kita telah membuktikannya dengan merangkul emas Sukan SEA dalam tempoh 20 tahun di Laos, tahun lalu.

Menanti Malaysia di final yang akan berlangsung secara timbal balik pada 26 dan 29 Disember adalah pemenang di antara Indonesia dan Filipina. Indonesia menang 1-0 pada separuh akhir pertama.

Pujian harus diberikan kepada semua pemain yang bermain pada perlawanan malam tadi kerana mereka mempamerkan disiplin tinggi dan kesungguhan sepanjang 90 minit permainan berlangsung. Kita sememangnya berhak melayakkan diri ke perlawanan akhir apabila pemain kita berjaya menyerap tekanan dari dalam padang dan juga luar padang.

Stadium Nasional My Dinh, Hanoi menjadi saksi kesungguhan Malaysia mengekang asakan menggila tuan rumah yang berusaha mencari gol sebaik wisel permainan ditiupkan.

Skuad bimbingan Herique Calisto yang terdesak untuk mencari kemenangan selepas tewas 2-0 di Bukit Jalil mengatur asakan tanpa henti hingga tamat saingan.

Pujian selayaknya diberikan kepada skuad Harimau Malaya yang tidak tertekan dengan jeritan Vietnam! Vietnam!, sebaliknya disiplin dan kesungguhan membawa kepada kejayaan.

Jika pasukan Indonesia menjadi lawan Malaysia di final nanti, mereka pasti akan bermain di bumi Malaysia ini. Jadi sepertimana yang telah kami penyokong bolasepak Malaysia ikrarkan sebelum ini bahawa kami akan membalas 'budi baik' penyokong Indonesia yang mereka telah lakukan pada skuad Malaysia semasa perlawanan pembukaan lepas yang menyaksikan Malaysia tewas 1-5 pada Indonesia.

Kalau nak berentap, berentap cara jantan! Jangan bacul! Kami 'setia menunggu' kehadiran pemain Indonesia untuk beraksi di depan mata kami sendiri. Tungguuuuuuuuuu.....

1 comment: